SHAH ALAM - Semua pihak harus menyambut baik keputusan pucuk pimpinan tertinggi supaya Barisan Nasional (BN) bergabung dan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di Melaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh bersikap terbuka dengan cadangan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya BN Melaka membuka pintu kerjasama dengan PH untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda UMNO itu berkata, perkara itu tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa sebaliknya mesti dibuat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan selesai dalam tempoh tiga bulan lagi.
"Jika BN-PH menang dalam PRN dan berjaya membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan, maka sudah pasti kerajaan Melaka juga perlu berbuat demikian,” katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang memberikan bayangan Melaka mungkin akan menyaksikan pembentukan sebuah Kerajaan Perpaduan selari dengan kerjasama BN-PH di peringkat persekutuan.
Dr Muhamad Akmal berpandangan, pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka bukannya mustahil untuk dilaksanakan jika semua pihak memberikan kerjasama sepenuhnya dan akur dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi parti masing-masing.
"Kita kena lihat dulu adakah PH akan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Selangor sebagai exco atau memegang jawatan penting dalam kerajaan negeri jika mereka menang banyak kerusi dalam PRN nanti.
"Jika PH boleh melantik pemimpin BN sebagai exco di Selangor maka tidak salah jika kita mengikut jejak langkah mereka dengan melantik ADUN PKR dan DAP sebagai exco atau anggota pentadbiran di Melaka,” jelasnya.
Sementara itu ADUN Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar juga menyambut baik perancangan dibuat pucuk pimpinan parti dan kerajaan negeri jika ia memberi manfaat kepada rakyat dan kestabilan kerajaan negeri.
"Kalau ada perubahan untuk ke arah lebih baik maka sebagai orang bawahan kita kena akur kepada arahan parti.
"Bagaimanapun, tidak semestinya rombakan menteri kabinet dan exco kerajaan negeri berlaku secara besar-besaran kerana ada juga melibatkan pertukaran portfolio menteri dan exco serta tidak perlu diperbesarkan,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca