SHAH ALAM - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mengenal pasti dua faktor kenaikan harga makanan di bazar Ramadan iaitu bekalan makanan kurang dan kos sewa tapak tinggi.
Sehubungan itu Presidennya, Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata, pengguna tidak wajar menuding jari kepada penjual yang menaikkan harga makanan.
"Kita perlu faham konsep bekalan dan permintaan. Jika permintaan tinggi tetapi bekalan kurang, maka tidak hairanlah para peniaga menaikkan harga juadah.
"Jadi untuk tidak memberi bebanan kepada rakyat, kerajaan perlu menyediakan bahan mentah yang mencukupi di negara kita sebelum kita mengeksport hasil makanan ke luar negara,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima 99 aduan berkaitan harga makanan yang dijual di bazar Ramadan seluruh negara selepas lima hari umat Islam berpuasa.
Marimuthu berkata, peningkatan harga makanan itu mungkin disebabkan oleh kadar sewa tapak berniaga terlalu ‘mencekik darah’.
Jelas beliau, sekiranya harga sewa terlalu mahal, tidak mustahil harga sewa itu dialihkan kepada pengguna kerana golongan itu merupakan pihak terakhir dalam sistem rantai jual beli makanan.
Pada masa sama beliau turut menasihati peniaga untuk menjual makanan dengan harga berpatutan.
"Kita tidak boleh mengawal harga makanan yang sudah siap dimasak tetapi ia perlu dijual dengan harga yang masuk akal.
"Peniaga tidak sepatutnya membiarkan pembeli membayar harga makanan yang tidak setimpal dengan kualiti, contohnya karipap berintikan ‘angin’ dan kemudian tauhu sumbat yang hanya menggunakan sedikit timun dan tauge,” jelasnya.
Pada masa sama beliau berharap agar para peniaga mengutamakan dan tidak mengabaikan tahap kualiti makanan yang ingin dijual kepada pelanggan.
PPIM desak pantau, ambil tindakan jual makanan mahal
Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak kerajaan untuk membuat pemantauan dengan lebih kerap dan mengambil tindakan segera bagi mengawal harga makanan di bazar Ramadan yang dijual terlalu mahal.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, ini kerana pihaknya menerima aduan daripada pengguna yang menyatakan bahawa harga makanan naik mendadak berbanding tahun lalu.
"Isu kenaikan harga barang bukanlah satu perkara baharu tetapi kebelakangan ini, kenaikannya begitu tinggi.
"Dalam hal ini, permasalahan itu perlu dilihat secara menyeluruh kerana mungkin wujud pelbagai isu termasuklah kenaikan harga barang mentah dan pihak yang sengaja menaikkan harga lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Nadzim berkata, kerajaan perlu mengawal harga barangan supaya tiada pihak mengambil kesempatan terhadap peniaga-peniaga kecil.
Jelas beliau, apabila harga barangan tidak terkawal, ia secara tidak langsung menekan peniaga untuk mendapatkan bekalan bahan mentah.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan peniaga supaya mengutamakan kualiti makanan dan tidak hanya mengejar keuntungan semata-mata.
Klik di sini untuk terus membaca