GERAK kita mestilah gerak pahlawan. Atau gerak perajurit ke medan perang. Fikiran jangan merewang, hati jangan bercabang. Mata fokus ke hadapan.
Jangan peduli pada apa juga bisikan. Abaikan segala panggilan dan ajakan. Jangan dijeling ke kiri dan ke kanan. Jalan terus menuju sasaran.
Jangan peduli pada apa juga bunyi. Apa juga bau biarkan saja berlalu pergi. Fokus hanya pada apa yang dicari.
Senjata yang dibawa mesti dijaga serapi yang boleh. Bawa hanya cukup-cukup, jangan bawa lebih. Jangan simpan di dompet, masukkan ke dalam poket. Kalau diikat pastikan kuat-kuat, kalau digenggam pastikan rapat-rapat.
Itulah petua yang ingin saya kongsikan dengan sesiapa sahaja yang mahu berkunjung ke bazar Ramadan. Jika petua ini dituruti, anda berpeluang melangkah pulang sebagai pemenang. Jika tidak bersedialah untuk berada dalam senarai orang-orang yang kecundang.
Mungkin ramai tidak menyedari selain melawan lapar dan dahaga serta perkara-perkara lain yang boleh membatalkan, atau mengurangkan fadilatnya, puasa wajib sebulan yang sedang kita jalani sekarang ini juga bermakna berperang melawan keinginan di bazar-bazar Ramadan.
Ini bukan sekadar analogi, tetapi kenyataan. Berkunjung ke bazar Ramadan hampir tidak ada bezanya dengan pergi ke medan perang. Ia menuntut keberanian, ia juga memerlukan pertarungan. Ia benar-benar satu peperangan.
Pada masa dahulu peperangan itu tidaklah begitu sengit. Kita tidak perlu membawa banyak senjata. Dengan hanya empat lima senjata yang nilainya seringgit setiap satu kita sudah boleh membawa balik bermacam-macam jenis musuh.
Kalau plastiknya disangkut di jari, mungkin tidak cukup jari kedua-dua belah tangan. Jika isteri ikut sekali mungkin terpaksa tumpang sangkut di jarinya. Tetapi sekarang keadaan berbeza.
"Tahun lepas bajet itu terpaksa dinaikkan menjadi RM40. Masih boleh beli benda yang sama minus nasi untuk isteri yang kebetulan gusar sebab lengannya bertambah besar.
"Tetapi tahun ini nampaknya RM50 pun tak cukup untuk membeli juadah yang sama,” keluh seorang kawan pada hari pertama Ramadan.
Keluhan itu datang tepat pada masanya; ketika saya baru lepas membaca berita nasi ayam berempah berharga RM15 sebungkus di sebuah bazar Ramadan di Selangor; ketika saya cuba bersangka baik yang si penjual mungkin menggunakan ayam hutan atau ayam serama sebab itu dia perlu menjual dengan harga yang mahal.
Pengalaman sendiri yang saya lalui dua tiga hari berturut-turut selepas itu mengesahkan keluhan kawan saya. Tiga empat bazar Ramadan yang disinggahi mendepankan saya dengan realiti yang sama; harga kebanyakan juadah naik dengan ketara berbanding dengan tahun lepas.
Kalau ada pun yang belum naik, ia hanyalah kes-kes terpencil, itu pun kebanyakannya dijual dengan saiz yang lebih kecil.
Saya bernasib baik kerana sempat melalui zaman harga kuih hanya 20 sen setiap satu, mi kari atau laksa seringgit setengah sebungkus dan mihun goreng masih boleh dibeli dengan harga 50 sen.
Waktu itu dengan bermodalkan RM1.50 sen anda sudah boleh berbuka puasa dengan segelas sirap, sebungkus nasi lemak dan sepotong dua kuih. Sekarang ini dengan modal yang sama anda hanya layak makan roti canai tepi jalan, kemudian minum air paip di tepi jalan juga – jika ada.
Berdasarkan pengiraan kasar saya, untuk berbuka dengan juadah yang ‘sedikit mengikut selera’ seseorang itu perlukan RM15 hingga RM20. Jadi bayangkanlah jika dalam satu keluarga ada lima enam orang. Itu pun pengiraan dibuat berdasarkan selera marhaen. Selera kayangan saya tidak tahu sebab belum pernah sampai ke sana.
Secara umum orang akan berkata, kalau tahu mahal kenapa tidak masak sendiri? Ada dua jawapan di situ, pertama, setiap orang mempunyai sebab tersendiri untuk melakukan sesuatu dan tidak semestinya dia melakukannya dengan hati yang rela. Kedua, isunya bukan kenapa beli juga, tetapi kenapa mahal sangat?
Kita tidak boleh salahkan penjual sebab mereka ada alasannya. Paling lazim tentulah sebab kenaikan kos bahan mentah. Bila masuk bab itu kita tidak perlu lagi bertanya pada peruncit, pemborong, pembekal, apatah lagi agensi-agensi kerajaan yang berkaitan tentang sebab musababnya.
Daripada bertanya kepada mereka lebih baik menyanyi lagu ‘Bangau Oh Bangau’.#dus
*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat
Klik di sini untuk terus membaca