SHAH ALAM - Pengunjung bazar Ramadan pada tahun ini merungut kerana terpaksa berbelanja lebih dari RM20 seorang untuk membeli juadah berbuka.
Tinjauan Sinar Harian di Bazar Ramadan Seksyen 13 Shah Alam mendapati, perbelanjaan itu melibatkan juadah berbuka termasuk makanan, minuman dan juga kuih-muih.
Pengunjung bazar Ramadan, Norhani Nazim, 25, berkata, dia mengeluarkan belanja sebanyak RM30 untuk membeli sekeping piza, sebotol besar air tebu dan beberapa keping kuih-muih.
"Saya beli satu nasi lauk kambing RM17, air buah (RM5) dan kuih akok (RM5)," katanya.
Seorang guru, Wardah Fazli, 25, berkata, hampir keseluruhan juadah berbuka di bazar berkenaan adalah mahal berbanding tahun lalu.
"Macam satu nasi harga RM9 ke RM10. Nasi dalam harga itu biasanya nasi kerabu, nasi kukus atau nasi ayam.
"Harga air pula dalam RM3 hingga RM5, contoh macam air teh ais atau teh hijau,” ujarnya.
Menurut Wardah, harga minuman ditentukan berdasarkan kuantiti air yang dijual sama ada dalam bentuk plastik besar atau cawan plastik.
Pegawai bank, Mohamad Afiq Anuar, 33, mengakui terdapat peningkatan harga pada juadah puasa berbanding tahun lalu.
Mohamad Afiq yang menetap di Seksyen 22 berkata, harga ayam antara bahan yang mengalami kenaikan harga pada tahun ini.
"Contohnya ayam panggang dulu harga dalam RM20 atau RM19 tetapi sekarang dalam RM29. Setakat ini, harga ayam antara ketara yang saya nampak meningkat.
"Macam saya, biasanya saya akan beli kuih-muih sahaja, sebab di rumah dah ada orang yang tolong masakkan.
"Harga kuih ini selalu dalam RM10. Antaranya char kuey tiaw, kuih tepung pelita atau pau kacang,” katanya.
Harga makanan di bazar Ramadan mahal
Sementara itu di Alor Setar, harga makanan di bazar Ramadan di daerah ini didapati mahal sedikit berikutan kenaikan harga bahan mentah di pasaran ketika ini.
Pengunjung, Nordiani Abd Rahman, 38, berkata, wang RM50 sekarang sudah tidak cukup untuk membeli makanan di bazar Ramadan.
Nordiani berkata, dia yang teringin menikmati makanan dijual ketika bulan puasa ini juga tidak melepaskan peluang mengunjungi bazar Ramadan.
"Bagaimanapun wang RM50 dibawa memang tidak cukup apabila saya lihat makanan seperti takoyaki sahaja cecah RM6 hingga RM12, roti john pula RM8, air bungkus antara RM4 hingga RM5 dan tepung pelita RM3.
"Bayangkan saya beli nasi dua bungkus dengan air bungkus dan kuih-muih pun sudah cecah RM50,” katanya.
Menurut usahawan itu, dia merasakan memasak di rumah lebih baik terutamanya sekiranya memiliki anak ramai berbanding membeli di bazar Ramadan berikutan pengalaman dilalui itu.
Sementara itu, seorang suri rumah, Nur Aliya Hamid, 32, berkata, dia beli makanan di bazar Ramadan seperti air tebu RM5, martabak RM6, roti john RM7 dan nasi kerabu pula RM8.
Nur Aliya berkata, dia mendapati harga makanan tertentu di bazar Ramadan kini naik antara 50 sen hingga RM2 berbanding tahun lepas.
"Misalnya martabak hanya RM5 tahun lepas namun naik RM6 tahun ini, namun saya faham kerana ada bahan mentah naik seperti telur dan bawang,” katanya.
Bagi suri rumah, Siti Masrurah Suhaimee, 32, dia mendapati ramai peniaga yang jujur apabila makanan dijual di bazar Ramadan sedap dan segar.
"Cuma harga terlalu tinggi membuatkan saya dan suami terkejut dengan kiraan keseluruhan perbelanjaan.
"Air jagung RM8, dua bungkus nasi ayam yang berharga RM10 setiap satu, dan dua potong sederhana besar tepung talam pula RM5 dengan perbelanjaan untuk kami berdua berjumlah RM33.
"Mungkin ini kali pertama dan terakhir kami berbelanja di bazar Ramadan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca