MINSK - Rusia didakwa cuba menjejaskan kestabilan Belarus dan menjadikan sekutunya sebagai 'tebusan nuklear' selepas Presiden Vladimir Putin mengumumkan Moscow telah membuat perjanjian untuk menempatkan senjata nuklear taktikal di... Klik di sini untuk terus membaca

MINSK - Rusia didakwa cuba menjejaskan kestabilan Belarus dan menjadikan sekutunya sebagai 'tebusan nuklear' selepas Presiden Vladimir Putin mengumumkan Moscow telah membuat perjanjian untuk menempatkan senjata nuklear taktikal di wilayah tersebut.

Aktivis politik Belarus, Sviatlana Tsikhanouskaya menyifatkan langkah itu bercanggah dengan kehendak rakyat dan mencerminkan 'penaklukan' Minsk di bawah kawalan Moscow.

"Penempatan senjata nuklear taktikal di Minsk secara langsung melanggar perlembagaan dan bercanggah dengan status negara bukan nuklear seperti dinyatakan dalam Deklarasi Kedaulatan Belarus 1990," ujar Tsikhanouskaya lagi.

Putin bagaimanapun menegaskan keputusan beliau tidak akan melanggar Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear.

Ketua Majlis Keselamatan dan Pertahanan Negara di Kiev, Oleksiy Danilov menggelar perjanjian itu sebagai 'langkah ke arah ketidakstabilan dalaman' di Minsk selain memaksimumkan tahap persepsi negatif dan penolakan awam terhadap Kremlin dan Putin dalam komuniti di negara tersebut.

Rusia merancang untuk menyelesaikan projek pembinaan kemudahan simpanan khas senjata taktikal nuklear di Minsk menjelang 1 Julai depan.
Rusia merancang untuk menyelesaikan projek pembinaan kemudahan simpanan khas senjata taktikal nuklear di Minsk menjelang 1 Julai depan.

Sementara itu, Penasihat Kanan Presiden Ukraine, Mykhailo Podolyak pula berpendapat keputusan Putin sudah boleh diramal.

"Beliau sengaja menyebut tentang senjata nuklear taktikal di Belarus kerana bimbang jika Rusia kalah dalam peperangan dengan Ukraine.

"Apa yang beliau boleh buat adalah menakutkan orang ramai dengan taktik lapuk seperti itu," sindirnya menerusi Twitter pada akhir minggu lalu.

Jurucakap Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Oana Lungescu juga senada dengan Ukraine.

"Retorik nuklear Rusia adalah sangat berbahaya dan tidak bertanggungjawab. NATO akan sentiasa berwaspada dan mengawasi situasi tersebut dengan teliti.

"Kami tidak melihat sebarang perubahan dalam kedudukan nuklear Moscow yang boleh mengancam kesiapsiagaan pakatan kami. Tuduhan Rusia tentang perkongsian nuklear NATO benar-benar mengelirukan.

"Sekutu kami menghormati sepenuhnya komitmen antarabangsa. Kremlin yang sebenarnya melanggar perjanjian kawalan senjata mereka," ujarnya.

Difahamkan, Putin yang mendapat julukan 'Tsar moden' telah berulang kali membuat ancaman nuklear selepas ia melancarkan 'operasi khas' ke atas Ukraine pada Februari 2022.

Tetapi, ia adalah pertama kali beliau mengumumkan rancangan untuk menempatkan senjata nuklear di negara lain ketika konflik bersama Ukraine memasuki fasa baharu yang lebih sengit.

"Tidak ada apa yang luar biasa tentang langkah diumumkan Moscow. Amerika Syarikat (AS) telah bertindak sedemikian selama beberapa dekad.

"Sejak sekian lama, Washington sudah menempatkan senjata nuklear taktikal di negara sekutu mereka. Oleh itu, Kremlin dan Belarus juga sebulat suara untuk melakukan perkara yang sama tanpa melanggar kewajipan antarabangsa mengenai kawalan senjata nuklear," kata Putin pada akhir minggu lalu.

Josep Borrell
Josep Borrell

Kremlin pertahan rancangan asal

Kremlin pada Isnin menegaskan ia tidak sesekali akan mengubah rancangan yang diumumkan Putin walaupun berdepan kritikan Barat yang mengancam untuk mengenakan pusingan sekatan baharu ke atas Moscow.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa hari selepas Ukraine menggesa mesyuarat tergempar diadakan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) sebagai bantahan terhadap langkah kontroversi tersebut.

"Reaksi cemas mereka tidak akan mempengaruhi pelan asal kami," kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov merujuk kepada perjanjian bersama Lukashenko yang bersetuju untuk melakukan perkara sama.

Belarus dalam satu kenyataan memaklumkan ia memberi lampu hijau terhadap langkah tersebut demi untuk mengukuhkan keselamatan dan keupayaan pertahanan negara itu susulan menerima tekanan Barat yang tidak pernah berlaku sebelum ini. - Agensi

INFO

- Menurut Persekutuan Saintis Amerika, Moscow mempunyai 5,977 kepala peledak nuklear dan berkeupayaan untuk menyerang sasaran di mana-mana sahaja di seluruh dunia. AS mempunyai jumlah lebih sedikit iaitu 5,428 buah.

- Pusat Kawalan Senjata dan Pengawalan Senjata Nuklear menganggarkan Washington memiliki kira-kira 100 senjata nuklear iaitu bom graviti bawaan udara yang ditempatkan di pangkalan terletak di lima negara seluruh Eropah dan berada di bawah kawalan AS.

- Presiden Belarus, Alexander Lukashenko mengadakan referendum pada Februari 2022 untuk membatalkan status negara bukan nuklear. Tetapi, pembangkang menolak proses pungutan suara tersebut.

- Minsk pernah membenarkan Rusia menggunakan wilayah mereka untuk latihan ketenteraan sebelum ia melancarkan operasi ketenteraan ke atas Ukraine.

Klik di sini untuk terus membaca