SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) menyasarkan untuk menang lebih 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terutama kawasan majoriti Melayu, sekali gus membolehkan mereka merampas pentadbiran kerajaan Selangor, dalam pilihan raya negeri (PRN)... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) menyasarkan untuk menang lebih 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terutama kawasan majoriti Melayu, sekali gus membolehkan mereka merampas pentadbiran kerajaan Selangor, dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, jumlah berkenaan termasuklah 25 kerusi majoriti Melayu dan lima kerusi DUN yang kini dikuasai oleh Bersatu dan Pas di Selangor.

Berikutan itu, Razali berkata, pihaknya sudah lama membuat persiapan rapi kerana Selangor adalah antara negeri tumpuan utama PN pada PRN nanti selepas kejayaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Razali berkata, tindakan itu perlu kerana PN menjangkakan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah dijangka membubarkan DUN masing-masing pada minggu akhir bulan Jun depan, sekali gus memberi laluan kepada PRN diadakan.

"Setiap hari kita buat kiraan dan membuat pelbagai gerak kerja serta bertemu rakyat di peringkat akar umbi termasuk di bulan Ramadan bagi mencetuskan gelombang hijau dan menarik sokongan pengundi supaya mengundi calon PN, pada PRN nanti.

"Justeru, saya yakin dan percaya bahawa rakyat dan pengundi akan memilih PN, sekali gus membolehkan kita merampas pentadbiran negeri Selangor daripada Pakatan Harapan (PH) pada PRN nanti," katanya kepada Sinar Premium.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sejauh mana persiapan PN bagi menghadapi PRN membabitkan enam negeri dan usaha merampas Selangor daripada pentadbiran PH.

RAZALI


Untuk rekod, DUN Selangor mempunyai 56 kerusi dengan 41 daripadanya dikuasai PH, diikuti PN (7), Barisan Nasional (5) dan Parti Pejuang Tanah Air (3).

Bagaimanapun, kerusi Batang Kali milik Pejuang diisytiharkan kosong oleh DUN Selangor, berikutan wakil rakyat berkenaan, Harumaini Omar gagal hadir diri tanpa kebenaran, semasa persidangan dewan melebihi enam bulan, iaitu sejak 28 Julai tahun lalu.

Lima kerusi dikuasai PN ialah DUN Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Selat Kelang, Sijangkang dan Dengkil.

Razali berkata, PN yakin mampu merampas Selangor kerana majoriti pengundi Melayu kini menolak kerjasama antara UMNO dan PH, selain tidak berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gagal menunaikan janji manifesto PRU15 dan menangani isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup sekarang.

Ditanya sama ada PN sudah memuktamad senarai nama calon poster boy atau bakal Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan jika gabungan pembangkang berjaya merampas pentadbiran negeri berkenaan, Razali menegaskan perkara itu, belum diputuskan.

"Kita juga belum memutuskan siapa bakal menjadi Pengarah Pilihan Raya PN di Selangor dan Negeri Sembilan biarpun PN sudah menyelesaikan lebih 80 peratus pembahagian kerusi bakal ditandingi Bersatu, Pas dan Gerakan dalam PRN nanti," katanya.

Beliau berkata, semua parti komponen PN sudah menyerahkan senarai nama calon bakal bertanding dalam PRN di enam negeri berkenaan, namun ia belum dimuktamadkan dan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi gabungan pembangkang terbabit.

Klik di sini untuk terus membaca