HANYA tiga hari selepas mengumumkan tiada lagi pelepasan cukai untuk pencarum Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) mulai Tahun Taksiran 2023, kerajaan memutuskan pula akan melanjutkan pelepasan tersebut hingga tahun 2024.
Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim menerusi hantaran di Facebook menyatakan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju melanjutkan pelepasan cukai tersebut setelah mendengar keluh-kesah rakyat.
Sebelum ini, kerajaan memaklumkan tiada lagi pelepasan cukai individu sehingga RM8,000 untuk simpanan bersih tahunan dalam SSPN dengan sebab banyak pelepasan lain telah diberikan.
Antaranya pelepasan cukai dan potongan cukai individu termasuk pengurangan sebanyak dua peratus ke atas cukai pendapatan individu, pelepasan cukai perbelanjaan perubatan yang ditingkatkan daripada RM8,000 ke RM10,000 dan pelepasan yang lain.
Buat masa ini, pengumuman Perdana Menteri itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada ramai pencarum SSPN terutama golongan ibu bapa yang menabung untuk masa depan pendidikan anak-anak mereka, namun hakikatnya ia mungkin akan kembali dimansuhkan selepas had masa tamat.
Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia, Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berpendapat, adalah lebih baik insentif pelepasan cukai untuk pencarum SSPN dikekalkan.
"Insentif pelepasan cukai untuk pencarum SSPN ini merupakan satu bentuk rangsangan fiskal untuk menggalakkan dan meningkatkan tabungan isu rumah terutama bagi menjaga kebajikan pendidikan anak-anak di masa depan.
"Walaupun ia boleh ditarik sekiranya dirasakan perlu oleh kerajaan dan pencarum juga boleh mencari alternatif simpanan lain, namun adalah lebih baik jika insentif cukai tersebut dikekalkan,” katanya kepada Sinar Premium.
Menurutnya, dengan pemansuhan potongan cukai pada tahun 2024, SSPN perlu mengkaji semula regulasi atau peraturan deposit mereka untuk memastikan orang ramai terus mencarum.
Felo Penyelidik Kanan, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Shankaran Nambiar pula berpendapat, adalah ideal jika kerajaan boleh meneruskan insentif pengecualian cukai kepada pencarum SSPN ini untuk tempoh masa tidak terbatas.
"Hal ini bagi menggalakkan rakyat terus menabung untuk pendidikan anak-anak di masa depan.
"Untuk melakukannya, kerajaan perlu mengkaji semula dasar cukai dan pada masa sama perlu meningkatkan hasil cukai. Mungkin kerajaan juga perlu memikirkan untuk mengembalikan cukai barang dan perkhidmatan (GST),” ujarnya.
Beliau berkata, dalam situasi kos sara hidup semakin meningkat dan menyukarkan orang ramai menabung terutama untuk pendidikan, kerajaan harus mengusahakan insentif yang boleh mengurangkan beban kewangan dan meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Sementara itu, pakar kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad tidak menolak kemungkinan akan ada pemansuhan insentif pelepasan cukai melibatkan entiti selain SSPN pada masa akan datang.
Katanya, ketiadaan pelaksanaan GST menyebabkan kerajaan perlu berusaha keras untuk menjana pendapatan negara.
"Justeru, saya melihat kemungkinan akan ada lagi pertimbangan untuk pemansuhan pelepasan cukai lain di masa akan datang, misalnya pelepasan cukai yang diperoleh menerusi pembayaran zakat,” katanya.
Risiko
Menurutnya, SSPN turut berdepan berisiko mengalami pengurangan dana sekiranya pencarum kehilangan minat untuk terus mencarum berikutan insentif pelepasan cukai SSPN yang tidak lagi dilanjutkan.
"Ambil contoh pencarum SSPN daripada golongan T20 misalnya, mereka tidak perlu terlalu bergantung kepada pembiayaan pendidikan untuk anak-anak, sebaliknya caruman SSPN bertujuan untuk mendapatkan manfaat pemotongan cukai tersebut.
"Jika sudah kehilangan manfaat tersebut, tidak mustahil mereka akan mengeluarkan wang masing-masing dan berhenti mencarum,” kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca