SHAH ALAM - Kerajaan perlu mempunyai mekanisme pengawalan pelarian dan hala tuju yang jelas berhubung setakat mana Malaysia mampu untuk menampung golongan itu. Pakar Undang-undang Migrasi Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mempunyai mekanisme pengawalan pelarian dan hala tuju yang jelas berhubung setakat mana Malaysia mampu untuk menampung golongan itu.

Pakar Undang-undang Migrasi Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Salawati Mat Basir berkata, sekiranya tidak dilakukan, negara ini akan terus berdepan dengan konflik menangani etnik Rohingya yang semakin ‘membiak’.

Malah, beliau turut membidas kerajaan yang disifatkan lambat bertindak dalam mengawal etnik itu yang kini mula membentuk satu koloni yang besar.

"Kita tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967. Kalau secara zalim, tak perlu beri mereka masuk pun sebab kita bukan sebahagian daripada konvensyen itu. Jadi, bukan tanggungjawab kita sebenarnya untuk membantu.

"Tapi atas dasar kemanusiaan dan agama, kita beri mereka masuk. Masalahnya apabila diberi masuk, mereka selesa dan dianggap pendatang asing tanpa izin (PATI) iaitu tidak dilindungi, tidak boleh bekerja dan sebagainya. Ini menyebabkan mereka bekerja secara haram dan terlibat dengan kegiatan jenayah sebab mahu hidup.

"Jadi, asasnya adalah apa sebenarnya mekanisme kita terhadap pelarian? Adakah sebenarnya kita akan terus membiarkan mereka masuk dan baru terfikir masalah akan datang atau terus kasihan dengan mereka.

"Apa sebenarnya pendirian kerajaan terhadap pelarian yang kini berjumlah lebih 200,000 orang di Malaysia ini?” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Untuk rekod, Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di Malaysia.Mengikut Akta Imigresen, pelarian dianggap PATI, berisiko ditangkap dan dihantar pulang ke negara asal.

Sementara itu, kata Salawati, Malaysia yang terlalu ‘baik hati’ membenarkan pelarian masuk namun tiada mekanisme pengawalan sehingga golongan itu hidup berselerak.

"Mereka masuk dan akan bina koloni sendiri sebab sudah rasa selesa. Sudah terlambat untuk kita tempatkan mereka di suatu lokasi lain.

"Mereka sudah beranak pinak di Malaysia dan kita tidak beri hak untuk bekerja dan kesihatan, sebab itu mereka ‘kacau’ orang dengan meminta sedekah. Bukankah itu akan menyebabkan imej kita terjejas?” soalnya.

Tambah Salawati, negara dunia ketiga seperti Amerika Syarikat dan New Zealand tak mahu pelarian Rohingya ini kerana beragama Islam dan tidak berpendidikan tinggi.

"Kita akan terus berdepan dengan masalah ini sampai bila-bila sebab Malaysia adalah destinasi mereka dan ada ramai saudara mara di sini.

"Ingat tragedi Wang Kelian, kenapa sampai begitu?” soal beliau lagi.

13,280 PATI ditahan sejak Januari

Seramai 13,280 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara sejak 1 Januari lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 6,253 orang ditahan menerusi pelbagai siri operasi, manakala 7,027 orang adalah penahanan di pintu masuk serta serahan agensi penguat kuasa lain.

Antara warga asing yang ditahan dalam operasi di sekitar Klang, baru-baru ini. (Gambar kecil: Ruslin)
Antara warga asing yang ditahan dalam operasi di sekitar Klang, baru-baru ini. (Gambar kecil: Ruslin)
Antara warga asing yang ditahan dalam operasi di sekitar Klang, baru-baru ini. (Gambar kecil: Ruslin)
Antara warga asing yang ditahan dalam operasi di sekitar Klang, baru-baru ini. (Gambar kecil: Ruslin)

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tangkapan berkenaan adalah hasil daripada 2,254 operasi serta 26,118 pemeriksaan dilakukan pihaknya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik setakat 27 Mac lalu, PATI warga Indonesia adalah yang tertinggi iaitu seramai 6,253 orang, diikuti Bangladesh (837 orang).

Menurutnya, warga Myanmar termasuk etnik Rohingya pula merekodkan seramai 812 tangkapan, disusuli Filipina (390) dan Thailand (385). "Selebihnya melibatkan PATI dari India, Nepal, Pakistan, Kemboja, Vietnam dan lain-lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Ruslin berkata, imigresen turut menahan 75 majikan terdiri daripada 71 warga tempatan, dua Thailand dan masing-masing seorang Kemboja dan Bangladesh kerana melindungi PATI.

Ujarnya, seramai 1,134 pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) turut diperiksa sepanjang tempoh tersebut.

Untuk rekod, seramai 22,671 PATI ditahan dalam operasi sepanjang tahun 2020, diikuti 12,462 dan 22,804 orang masing-masing pada tahun 2021 dan 2022.

Klik di sini untuk terus membaca