SEMUA orang memerlukan rumah kediaman atau tempat tinggal, tidak kira sama ada orang itu miskin atau kaya. Bagi orang maha kaya lagi berada, ia bukan masalah buat mereka. Namun, bagi orang miskin, sebuah pun kalau ia milik mereka, saya... Klik di sini untuk terus membaca

SEMUA orang memerlukan rumah kediaman atau tempat tinggal, tidak kira sama ada orang itu miskin atau kaya. Bagi orang maha kaya lagi berada, ia bukan masalah buat mereka.

Namun, bagi orang miskin, sebuah pun kalau ia milik mereka, saya pasti sudah mencukupi. Selain rumah sebagai tempat berteduh, mereka memerlukan tempat yang selamat dan terlindung daripada segala bahaya.

Masalah yang mendepani kita, yang ingin dibincangkan dalam kolum ini adalah mengenai rakyat miskin dengan pendapatan isi rumah hanya cukup-cukup menampung kehidupan. Ramai juga berada di bawah garis kemiskinan.

Yang menjadi masalah lebih besar kerana ramai daripada mereka tinggal di bandar-bandar besar dan tidak berkemampuan membeli rumah, rata-ratanya dibina oleh pemaju perumahan yang sudah tentu membina rumah untuk dijual bagi mendapat keuntungan.

Sudah pasti pemaju perumahan tidak akan membina rumah untuk dijual pada harga jauh lebih murah daripada kos pembinaan hanya semata-mata bagi membolehkan orang miskin memiliki rumah.

Itu sudah bertentangan dengan logik orang berniaga kecuali jika mereka diberi subsidi oleh pihak kerajaan. Maka, apakah pilihan yang ada bagi rakyat miskin di bandar?

Jika mereka masih tinggal di kampung, mungkin mereka boleh terus punya tempat berteduh.

Rata-rata rumah Melayu kampung lama dibina secara vernakular yang membolehkan dengan mudah untuk rumah tersebut dibesarkan apabila ahli keluarga bertambah.

Itu tidak mungkin berlaku jika mereka tinggal di rumah flat dalam bandar.

Apa yang tinggal bagi orang miskin di bandar adalah sama ada membina rumah setinggan secara haram di atas tanah milik kerajaan atau menjadi gelandangan.

Adakah gambaran seperti itu yang kita ingin tonjolkan kepada dunia luar bahawa Malaysia yang aman damai dan maju makmur dengan berpuluh bangunan pencakar langit tetapi mempunyai ramai gelandangan?

Apa juga keputusan diambil oleh rakyat miskin yang berjuang untuk terus hidup di tengah kota besar ini sudah tentu memerlukan perhatian kerajaan.

Rakyat terbanyak yang lebih bernasib baik juga saya pasti tidak akan dapat bersenang lenang terutama apabila mengetahui nasib menimpa mereka yang harus tidur di kaki lima jalan.

Bak kata Adam Smith - No society can surely be flourishing and happy, of which the far greater part of the members are poor and miserable.

Sebab itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Khazanah Research Institute (KRI) terutama Dr Suraya Ismail dan pasukan penyelidik beliau yang telah menghasilkan satu laporan komprehensif baru-baru ini.

Ia mengenai kajian ke atas beberapa Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan tajuk ‘Kesejahteraan Kediaman Golongan Miskin Bandar’.

Matlamat akhirnya, hasrat daripada penemuan kajian itu bukan sahaja untuk mencari penyelesaian kepada semua masalah yang ada tetapi lebih penting bagi mewujudkan tempat kediaman yang dapat menjamin kesejahteraan hidup rakyat miskin.

Saya sempat terlibat sama membantu Dr Suraya dan pasukannya pada peringkat permulaan semasa merangka kajian serta kerja lapangan dilaksanakan, sebelum saya dipinjamkan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke Jabatan Perdana Menteri.

Kajian oleh KRI bagi saya secara peribadi adalah usaha mendalami masalah yang saya kenal pasti di permukaan dalam kajian KITA-MESRA yang saya lakukan antara 2009 hingga 2011.

Kebanyakan andaian dalam kajian awal saya itu dapat saya lihat menerusi hasil penemuan kajian KRI.

Saya harap ia akan dibaca oleh pembuat dasar negara dan saya juga berharap pihak KRI akan memberi salinan laporan mereka kepada semua ahli Parlimen.

Mungkin juga ada keperluan untuk sesi penerangan dibuat kepada semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi negeri-negeri yang mempunyai PPR.

Penting untuk mereka faham, apakah isu sebenar yang mendepani kita semua dalam konteks kediaman golongan miskin bandar. Laporan kajian itu boleh juga dimuat turun di www.KRInstitute.org.

Semoga pihak kerajaan akan mengguna input daripada kajian tersebut untuk merangka satu dasar yang benar-benar menunjukkan sifat ihsan ke atas golongan miskin.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff ialah Pengarah di UM LEAD, Universiti Malaya. Beliau pernah menjadi Felo Utama di KITA, UKM, Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM

Klik di sini untuk terus membaca