SHAH ALAM - Penganalisis tidak menolak kemungkinan krisis politik Melaka bakal berakhir dengan pertukaran Ketua Menteri daripada Datuk Seri Sulaiman Md Ali kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penganalisis tidak menolak kemungkinan krisis politik Melaka bakal berakhir dengan pertukaran Ketua Menteri daripada Datuk Seri Sulaiman Md Ali kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dalam masa terdekat.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, krisis pertukaran Ketua Menteri itu mungkin adalah sebahagian daripada pembersihan parti susulan keputusan pemilihan UMNO yang menyaksikan kem Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menang sebahagian jawatan penting.

Beliau berkata, usaha menjatuhkan Sulaiman dari kerusi Ketua Menteri sudah lama bermula, namun beliau dapat bertahan demi keharmonian dalam UMNO.

Bagaimanapun, Hisommuddin berkata, keadaan kini sudah berubah selepas pemilihan UMNO lalu menyaksikan majoriti jawatan tertinggi parti dimenangi oleh pemimpin yang dikatakan sehaluan dengan Ahmad Zahid.

Tangkap layar video memaparkan Ab Rauf (kiri) dan Sulaiman (dua dari kiri) yang dimuat naik di Facebook.

"Jika Ketua Menteri sekarang tidak sehaluan dengan Presiden UMNO, maka beliau mungkin akan ditukarkan dengan Ab Rauf yang merupakan orang kanan Ahmad Zahid. Jadi saya berpandangan krisis ini akan berakhir dengan peletakkan jawatan Sulaiman selaku Ketua Menteri Melaka.

"Sebenarnya Ahmad Zahid bersikap terbuka dan masih boleh mengekalkan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka jika beliau sanggup tunduk dan taat setia kepada pucuk pimpinan tertinggi parti," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Dalam pada itu, Hisommuddin berpandangan, Ahmad Zahid perlu melakukan pembersihan kerana UMNO sekarang menghadapi cabaran besar susulan kekalahan teruk dialami mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, tambahan pula tarikh pilihan raya negeri (PRN) semakin hampir.

Azmi
Azmi

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan berkata, beliau berpandangan bahawa sukar untuk mengaitkan isu pembersihan dalaman dilakukan UMNO dengan proses pertukaran Ketua Menteri Melaka.

Namun begitu, Azmi menegaskan, beliau menolak fakta bahawa proses pertukaran Ketua Menteri Melaka berkenaan tidak akan berlaku tanpa restu daripada Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO.

Azmi berkata, beliau juga tidak menolak kemungkinan proses pertukaran Ketua Menteri Melaka berkenaan berlaku kerana Sulaiman dikatakan bukan berada dalam kem Ahmad Zahid tetapi orang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Malah, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Melaka bakal dirombak supaya selari dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

"Jika tiada krisis pertukaran Ketua Menteri Melaka ini maka masalah dalaman UMNO akan menjadi reda sekali gus membolehkan BN kembali kuat. Saya juga tidak nampak kenapa Sulaiman akan keluar dari UMNO biarpun beliau mungkin terpaksa berundur daripada kerusi Ketua Menteri Melaka.

"Ini kerana jatuh bangun beliau dalam politik termasuk dilantik sebagai Ketua Menteri selama dua penggal adalah kerana jasa UMNO," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca