YANG Mulia Dalai Lama ke-14 ialah pemimpin agama terulung untuk komuniti Buddha Tibet dan disanjung tinggi bukan sahaja penganut Buddha dalam mazhab lain, malah ramai bukan Buddha di kebanyakan negara. Beliau diberikan Anugerah Kedamaian... Klik di sini untuk terus membaca

YANG Mulia Dalai Lama ke-14 ialah pemimpin agama terulung untuk komuniti Buddha Tibet dan disanjung tinggi bukan sahaja penganut Buddha dalam mazhab lain, malah ramai bukan Buddha di kebanyakan negara.

Beliau diberikan Anugerah Kedamaian Nobel pada 1989 atas usahanya mempromosikan pe-nyelesaian damai dan saling menghormati dalam memelihara warisan sejarah serta budaya orang Tibet.

Pada 20 Mac lalu, beliau telah menerima kunjungan hormat oleh satu rombongan dari Malaysia yang terdiri daripada wakil empat badan bukan kerajaan Muslim iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN), IMAN dan ISIP serta tiga NGO yang merentas komuniti iaitu INSAF, Global Peace Mission (GPM) dan Projek #BangsaMalaysia.

Sebelum sampai di kediaman Dalai Lama di Dharamsala, negeri Himachal, India, rombongan tersebut sempat melawat Gurdwara Emas di Amristarc, negeri Punjab.

Di situ terletaknya salah sebuah dapur komuniti terbesar di seluruh dunia, Guru Ram Das Langar yang menyediakan 100,000 sajian sayur-sayuran setiap hari secara percuma.

Lawatan ke Dharamsala atas undangan Dalai Lama adalah susulan daripada Dialog Eco Islam-Buddhisme https://www.ibedconf.com/ yang berlangsung secara online pada 15 hingga 16 Januari 2022, sebuah usaha daya mulia oleh ABIM dan rakan-rakan Buddha.

Yang berucap dalam dialog peradaban itu, selain Dalai Lama dan Dr Reza Shah Kazemi yang merupakan pengasas Journal Islamic World Report, termasuk juga tokoh-tokoh keilmuan dan kerohanian dari Malaysia.

Dialog tahun lalu membincangkan tentang pemeliharaan alam dan ekologi di bumi, dengan manusia berfungsi sebagai khalifah daripada perspektif Islam dan Buddhisme.

Dalam pertemuan kali ini, Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam bicara pembukaannya menyeru lebih banyak usaha untuk menghadapi perubahan iklim, mendalami kelestarian dan memperluaskan dialog harmoni antara agama.

Selepas itu, Muhammad Faisal turut menghadiahkan Dalai Lama dengan sebuah songkok hitam. Dalai Lama dengan gembiranya memakai songkok tersebut sepanjang pertemuan itu.

Beliau berkata, memakai topi berwarna hitam adalah salah, mengikut salah satu tafsiran Buddisme Tibet yang ketat tetapi beliau memakainya kerana interaksi silang budaya itu bermakna besar dan lebih penting.

Sebelum itu, semua tetamu termasuk wakil-wakil ABIM diberi selendang Tibet, khata yang berwarna putih.

Maka, wujudlah gambaran yang harmoni dan menarik, dengan Dalai Lama bersongkok hitam dikelilingi oleh tetamu-tetamu Malaysia berkhata putih.

Bagi yang berfikiran sempit, perbezaan antara komuniti tidak kira agama, kaum atau bahasa – perlu dibesar-besarkan untuk menunjukkan keunikan dan keagungan pihak sendiri sehingga kita susah berkasih sayang sebagai saudara dalam kemanusiaan (ukhuwah insaniah).

Sedangkan, krisis yang melanda – pandemik, banjir dan kekurangan makanan – mengancam kita semua tanpa perbezaan.

Bagi yang berlapang dada, perbezaan agama, kaum dan bahasa tidak memisahkan kita kerana kita memang dicipta berbeza supaya dapat saling berkenalan. Memahami insan lain tidak bermaksud kita perlu bersetuju dan menjadi seperti mereka.

Dalai Lama dan rakan-rakan ABIM memberi teladan - kita boleh kekal kukuh dengan iman kita dan bersilaturahim dengan saudara kita yang tidak seagama. Semoga lebih ramai lagi insan dikurniakan dengan keyakinan dan keramahan yang sama.

* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway

Klik di sini untuk terus membaca