SHAH ALAM - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka daripada DAP bersepakat menyerahkan isu penentuan kuota pelantikan jawatan Exco Kerajaan Negeri Melaka kepada pucuk kepemimpinan parti itu dan Pakatan Harapan (PH) Pusat. Hal ini... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka daripada DAP bersepakat menyerahkan isu penentuan kuota pelantikan jawatan Exco Kerajaan Negeri Melaka kepada pucuk kepemimpinan parti itu dan Pakatan Harapan (PH) Pusat.

Hal ini berasaskan janji Barisan Nasional (BN) untuk membentuk Kerajaan Perpaduan pertama di negeri berkenaan susulan peletakan jawatan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Ali pada Rabu, dengan ADUN Lendu itu disahkan bakal digantikan Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada Jumaat.

ADUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata, beliau secara peribadi langsung tidak dimaklumkan mengenai isu pertukaran jawatan Ketua Menteri Melaka lebih awal, sama ada di peringkat parti mahu pun Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, beliau mengharapkan usaha pembentukan Kerajaan Perpaduan atau Madani di peringkat negeri di Melaka benar-benar direalisasikan demi mengukuhkan semangat Kerajaan Perpaduan dari segenap aspek.

"Mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan pertama di Melaka selepas pelantikan Ketua Menteri baharu kelak, saya pun tidak dilibatkan dalam sebarang perbincangan di antara pihak DAP, PH dengan BN sekiranya ada.

"Sejujurnya saya mengharapkan janji pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dapat direalisasikan supaya Ketua Menteri baharu dapat memperkasakan peranan semua ADUN termasuk meluluskan inisiatif pemberian peruntukan sama rata termasuk ADUN pembangkang.

"Soal agihan jawatan Exco mahu pun jawatan Kerajaan Negeri lain, saya akan serahkan kepada kepemimpinan DAP dan PH Pusat untuk berunding dan buat keputusan terbaik," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

CHEE YEE
CHEE YEE
CHEE YEE

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan parti itu sudah menghantar nama Ab Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, UMNO juga sudah mengutuskan warkah kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, untuk menerima peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri.

Ketika ditanya sama ada Sulaiman ada memaklumkan sebab peletakan jawatan, Ahmad Zahid berkata, ia disebabkan masalah kesihatan.

Terdahulu, Ahmad Zahid memberi bayangan akan berlaku perubahan struktur pentadbiran kerajaan negeri menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada tahun 2021, PH hanya mampu memenangi lima kerusi DUN daripada keseluruhan 28 kerusi DUN.

Lima ADUN PH yang menang adalah Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) dan PH Melaka, Adly Zahari yang juga ADUN Bukit Katil serta empat ADUN daripada DAP iaitu Leng Chau Yen (ADUN Bandar Hilir); Allex Seah Shoo Chin (ADUN Kesidang); Chee Yee dan Low Chee Leong (ADUN Kota Laksamana).'



Sementara itu, ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong mendedahkan beliau tidak menjangkakan langkah pertukaran jawatan Ketua Menteri Melaka oleh BN dilaksanakan lebih awal daripada tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang bakal diadakan pada pertengahan tahun ini.

"Walaupun ada desas-desus Ketua Menteri Melaka bakal ditukar, saya tidak menyangka ia berlaku lebih awal walaupun ada mengunjurkan ia mungkin direalisasikan selepas PRN enam negeri.

"Bagi saya, pentadbiran kerajaan Melaka di bawah Sulaiman adalah amat baik dan kami tiada masalah dengan beliau. Cuma kami menghormati keputusan pelantikan Ketua Menteri baharu dan berharap agar segala perkara bermanfaat dilaksanakan Sulaiman dapat diteruskan Ketua Menteri baharu kelak.

"Soal agihan jawatan Exco dan jawatan lain dalam kerajaan, saya fikir lebih baik perkara itu diserahkan kepada DAP dan PH Pusat untuk berunding dan buat keputusan lanjut," jelasnya.

CHEE LEONG

Klik di sini untuk terus membaca