KUALA LUMPUR - UMNO mencadangkan nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu. Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah mengutus warkah cadangan... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - UMNO mencadangkan nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah mengutus warkah cadangan itu kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

"Dengan ini parti mencadangkan bagi warkah itu Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri baharu,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana Kebangsaan di Parlimen pada Khamis.

Ia susulan peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri ke-12, pada Rabu.

Ditanya sebab Sulaiman meletak jawatan, Ahmad Zahid berkata, ia dilakukan atas faktor kesihatan.

Pada Rabu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengesahkan Sulaiman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

Menurut beliau, Sulaiman telah menyerahkan surat peletakan jawatan itu semasa pertemuan di pejabatnya di Parlimen, pada Rabu.

Sementara itu, mengulas sama ada barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan turut dibarisi wakil Pakatan Harapan,

Ahmad Zahid berkata, beliau berharap perkara itu dapat dilaksanakan dengan mengambil semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.

"Saya yakin semangat itu akan dihilirkan ke Melaka supaya optik yang baik dapat diperlihatkan kepada bukan sahaja rakyat di Melaka tetapi juga rakyat keseluruhannya,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Zaidi Johari mengesahkan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka akan diadakan di Dewan Sri Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri di sini pada jam 3 petang hari ini.


PROFIL

Nama: Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

Asal: Melaka

Tarikh Lahir: 20 September 1961

Isteri: Datin Seri Suzie Eryanty Mohd Suleiman

Jawatan dalam Parti:Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka

Kerjaya politik:

- Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Melaka (11 Mei 2020–5 September 2021)

- Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Negeri Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka (26 November 2021–29 Mac 2023)

- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka (2018- kini)

- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara (20 November 2021-kini)

Kerjaya Korporat:

- Bekas Pengarah Europlus Berhad pada Oktober 1998 sehingga 28 Februari 2002

- Naib Presiden Kumpulan Europlus Berhad sehingga 1 Januari 2004

- Pengarah dan pengasas Asia Lab Sdn Bhd.

Letak jawatan kerana desakan hati - Sulaiman

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menafikan beliau didesak oleh mana-mana pihak untuk meletakkan jawatan, sebaliknya keputusan itu dibuat kerana desakan hati yang datang daripada nalurinya.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, sekarang masa yang tepat untuk beliau kembali kepada kehidupan normal untuk berbakti kepada masyarakat di DUN Lendu.

Jelasnya, hasrat meletakkan jawatan itu sebenarnya telah beberapa kali disuarakannya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bukannya secara tiba-tiba.

"Dah lama buat keputusan (letak jawatan), dulu pernah cakap cukup sepenggal...dah penat, berilah orang lain peluang.

"Tak ada (desakan), desakan hati saya datang dari naluri,” katanya.

Tambah beliau, tidak kira siapa pun yang bakal menggantikannya, beliau berharap orang itu dapat memegang amanah berkenaan sebaik mungkin.


KONTROVERSI JAWATAN KETUA MENTERI MELAKA

2 MAC 2020

Barisan Nasional (BN) Melaka mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu menerusi gabungan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan masing-masing satu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PKR dan DAP.

9 MAC 2020

ADUN Lendu daripada BN, Datuk Sulaiman Md Ali dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-12.

4 OKTOBER 2021

Pakatan Harapan (PH) mengumumkan kerajaan negeri Melaka yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah hilang majoriti selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan kepada kerajaan negeri sedia ada.

20 NOVEMBER 2021

Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dan Melaka menjadi milik tunggal BN setelah gabungan itu memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.

21 NOVEMBER

Sulaiman yang dinamakan sebagai calon Ketua Menteri jika BN menang pada PRN Melaka sekali lagi mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka.

8 Mei 2022

Tular khabar angin yang mendakwa Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka. Ia bagaimanapun dinafikan sendiri oleh Sulaiman dan menyatakan bahawa ia adalah fitnah yang tidak berasas.

26 Disember 2022

Krisis politik di Melaka sekali lagi melanda apabila terdapat desas desus yang mengatakan Sulaiman bakal berundur pada 3 Januari bagi memberi laluan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagi memegang tanggungjawab itu. Sulaiman yang ketika itu sedang bercuti sekali lagi menafikan mengenai spekulasi terbabit.

7 Januari 2023

Ab Rauf dan Sulaiman menegaskan sekali lagi bahawa khabar angin mengenai pertukaran Ketua Menteri Melaka merupakan ‘cakap-cakap’ politik yang cuba dibangkitkan oleh sesetengah individu berkepentingan.

27 Mac 2023

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan akan berlaku perubahan struktur pentadbiran kerajaan negeri menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka.

29 Mac 2023

Ahmad Zahid mengumumkan peletakan jawatan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka.

Klik di sini untuk terus membaca