PASCA Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), terdapat tiga perhimpunan mega membabitkan segmen masyarakat Melayu dan Islam yang dipercayai menjadi faktor tercetusnya ketidakstabilan kerajaan Pakatan Harapan (PH), sekali gus membawa kejatuhan... Klik di sini untuk terus membaca

PASCA Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), terdapat tiga perhimpunan mega membabitkan segmen masyarakat Melayu dan Islam yang dipercayai menjadi faktor tercetusnya ketidakstabilan kerajaan Pakatan Harapan (PH), sekali gus membawa kejatuhan kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Mac 2020.

Tiga perhimpunan itu ialah Perhimpunan Anti-ICERD (Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum) pada 8 Disember 2018, Kongres Maruah Melayu (6 Oktober 2019) di Stadium Melawati, Shah Alam serta Himpunan Penyatuan Ummah antara UMNO dan Pas (14 September 2019).

Di sebalik gerakan penganjuran tiga perhimpunan mega berlandaskan alasan mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam itu, Kongres Maruah Melayu dilihat menarik perhatian ramai pemerhati politik.

Hal ini kerana kongres itu yang menghimpunkan kesemua parti politik utama Melayu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum itu serta empat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) utama, mengejutkan banyak pihak kerana turut dihadiri oleh Dr Mahathir sendiri.

Sebilangan pengkritik negarawan terulung itu mendakwa penganjuran kongres dipelopori ramai pemimpin pro Dr Mahathir pada ketika itu − termasuklah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin − sebenarnya merupakan strategi tersirat bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) itu untuk menjatuhkan kerajaan PH dari dalam.

Pandangan itu dipersetujui Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad yang memaklumkan penganjuran Kongres Maruah Melayu ketika itu sememangnya mendapat 'restu' daripada Dr Mahathir.

"MPM terlibat dengan penganjuran kongres itu secara tidak langsung. Bagaimanapun apabila Dr Mahathir menggunakan platform itu untuk mengkritik dan memperlecehkan kaum Melayu, kami agak terkilan.

"Kami merasakan seolah-olah NGO-NGO Melayu ketika itu menjadi alat beliau untuk memenuhi kepentingan politik peribadi, sedangkan kongres itu sepatutnya dijadikan platform membentangkan draf proklamasi yang menaikkan semangat orang Melayu Islam,” katanya kepada Sinar Premium.

Kini selepas berakhirnya PRU15, seteru ketat Dr Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 dengan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu pula berada dalam posisi tidak menguntungkan apabila beliau dan Pejuang kalah teruk pada pilihan raya lalu.

Justeru, apabila Dr Mahathir cuba mewujudkan himpunan Majlis Proklamasi Orang Melayu ala Kongres Maruah Melayu dan berterusan menggunakan sentimen Melayu dan Islam untuk mengkritik Anwar, Hasan melihat tindakan itu bukan bertujuan untuk menjadikan Dr Mahathir 'juara Melayu'.

Hakikatnya, Hasan melihat gerakan politik terbaharu Dr Mahathir itu sekadar mahu membolehkan beliau kembali popular, tanpa mengira natijahnya mengundang kritikan atau manfaat kepada rakyat Malaysia.

"Mengenai Majlis Proklamasi Orang Melayu pula, saya percaya himpunan itu terbatal atas faktor program itu tidak mendapat sokongan majoriti NGO dan parti Melayu yang semakin muak dengan sikap Dr Mahathir.

"Saya sudah teliti draf kandungan himpunan terbaharu direncana Dr Mahathir dan tiada sebarang perkara menarik dan mampu menaikkan semangat orang Melayu untuk menjadi lebih baik. Kita sudah ada Wasiat Raja-Raja Melayu sebagai panduan.

"Tak guna laung proklamasi Melayu, tetapi tiada undang-undang atau akta melindungi hak orang Melayu. MPM dengan majoriti NGO Melayu turut memutuskan untuk tidak lagi menyertai mana-mana perhimpunan orang Melayu bersifat populis,” tegas Hasan.

Gerakan politik terkini direncana Dr Mahathir turut dikaitkan dengan konflik peribadi berpanjangan di antara beliau dan Anwar.

Konflik peribadi berterusan

Bagi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Emir Research, Datuk Dr Rais Husin pula, 'kebangkitan' terkini Dr Mahathir yang konsisten menyerang Kerajaan Perpaduan mungkin disebabkan faktor konflik peribadi berpanjangan di antara beliau dan Anwar.

Tegasnya, perkara itu jelas dilihat menerusi keengganan Dr Mahathir memenuhi perjanjian transisi penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar sewaktu pentadbiran kerajaan PH dahulu, meskipun mereka pada awalnya dikatakan sudah ‘berdamai’.

Datuk Dr Rais Hussin

"Apa pun alasan Dr Mahathir untuk kembali relevan, sebarang bentuk sentimen politik berasaskan kaum dan agama perlu dihentikan sekurang-kurangnya buat sementara waktu.

"Dengan kerajaan perlu menumpukan usaha pemulihan ekonomi negara, semua pemimpin politik jangan sekadar hendak menjatuhkan sesama sendiri hanya atas faktor dendam peribadi.

"Saya tidak nafikan Dr Mahathir masih punya pengaruh kuat ke atas orang Melayu bersandarkan jasa besar beliau kepada negara, tetapi Dr Mahathir tidak boleh bersikap takbur dengan mengatakan masa hadapan kaum Melayu akan susah tanpanya. Masa hadapan kaum Melayu tidak boleh bergantung kepada seorang individu sahaja,” jelas Rais.

Perjuangan konsisten

Di sebalik kritikan dilemparkan terhadap Dr Mahathir, seorang penganalisis politik veteran sebaliknya mempunyai pandangan berbeza.

Bekas Ketua Sekretariat Kongres Maruah Melayu, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling berkeyakinan Dr Mahathir sentiasa konsisten dalam memperjuangkan isu-isu berkepentingan Melayu dan Islam sejak beliau menulis buku kontroversi, The Malay Dilemma (Dilema Melayu) hampir 40 tahun lalu.

"Saya ada dengar ura-ura Dr Mahathir aktif semula politik pun kerana beliau hendak pastikan Tanah Melayu (Malaysia) benar-benar menjadi hak milik orang Melayu. Kalau sekadar dorongan politik peribadi, Dr Mahathir tidak perlu susahkan diri sebegitu.

"Saya tidak fikir Dr Mahathir bertujuan hendak jatuhkan sesiapa dan kerajaan mana sekalipun. Cuma bila kerajaan itu dilihat gagal menjaga kepentingan kaum Melayu, maka beliau akan tampil mengkritik.

"Saya bersetuju sekiranya Perikatan Nasional (PN) kembali bekerjasama dengan Dr Mahathir untuk mempertahankan hak kedaulatan kaum Melayu dan Islam di negara ini. Jika PH masih gagal memartabatkan hak kepentingan orang Melayu pada masa depan, tidak mustahil juga perubahan kerajaan akan berlaku,” dedah Zainal.

Klik di sini untuk terus membaca