ISU kanak-kanak atau remaja ketagih telefon pintar untuk pelbagai tujuan termasuk bermain PUBG sudah lama membebani ibu bapa di seluruh dunia.
Jumlah yang mati akibat terlalu lama menghabiskan masa melayari telefon pintar juga cukup membimbangkan.
Pada tahun 2017, sebuah universiti di Kanada, McGill University melakukan penyelidikan melibatkan 37,000 responden bagi mengkaji tabiat kanak-kanak atau remaja yang ketagihan telefon pintar.
Berdasarkan kajian universiti ketiga terbaik di Kanada itu, kanak-kanak atau remaja China menduduki senarai pertama ketagihan telefon pintar di dunia.
Agak mengejutkan kerana kanak-kanak atau remaja Malaysia menduduki ranking ketiga berdasarkan penyelidikan McGill University.
Justeru, penulis agak terpempan apabila membaca laporan khas South Chinese Morning Post (SCMP) terbitan 25 Mac lalu.
Laporan tersebut mendedahkan tindakan seorang ibu tunggal di Hong Kong nekad meminta anak perempuannya menggunakan telefon model lama untuk mengatasi masalah ketagihan peranti pintar yang dialami.
Ibu berkenaan menyatakan kepada wartawan SCMP betapa anak berusia 11 tahun itu menghabiskan terlalu banyak masa menonton pelbagai filem atas talian.
Tindakan tersebut menyebabkan anaknya itu ketinggalan jauh dalam pembelajaran sehariannya.
Begitupun, sekitar 300 netizen di Hong Kong menyelar tindakan ibu berkenaan. Mereka bimbang wujud potensi anak perempuan wanita terbabit berdepan masalah dibuli atau diejek rakan sekelas kerana menggunakan telefon bimbit model lama.
Penulis difahamkan murid tersebut hanya boleh membuat dan menerima panggilan selain kalkulator serta jam penggera sahaja.
Sebenarnya, masalah ini membelenggu ramai ibu bapa di Malaysia. Penulis mendapati ada kanak-kanak atau remaja yang makan mata asyik melayari telefon pintar masing-masing.
Persoalannya, adakah kanak-kanak atau remaja yang ketagihan untuk melayari telefon pintar termasuk untuk bermain PUBG harus disekat daripada berbuat demikian. Haruskah mereka dihukum dengan hanya boleh menggunakan telefon jenis lama?
Seorang netizen di Hong Kong percaya tindakan ibu tunggal tersebut boleh menimbulkan impak besar kepada perasaan anak perempuannya.
Seterusnya netizen berkenaan menegaskan zaman sudah berlalu untuk ibu bapa cuba mengongkong anak-anak mereka.
Seorang netizen lain percaya murid berusia 11 tahun itu bakal berdepan kesan trauma psikologi seumur hidupnya kerana tidak lagi hidup di zaman batu!
Penulis tertarik untuk mengkaji permasalahan ini. Ramai sahabat juga sentiasa berdepan dengan masalah ini.
Persoalannya, apakah kesan trauma psikologi boleh bertahan seumur hidup hanya kerana ketagihan kepada telefon pintar?
Pakar psikologi percaya ketagihan telefon pintar boleh memberi beberapa kesan negatif terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan. Dalam beberapa kes, ia boleh menyebabkan trauma psikologi berpanjangan.
Teknologi telefon pintar sebenarnya cepat obsolete (usang). Bagaimanapun, ia boleh memberi satu kesan positif sekiranya semua aplikasi yang baik digunakan secara positif.
Penulis percaya teknologi telefon pintar bukan dibuat untuk merosakkan masa depan anak-anak atau remaja di seluruh dunia. Sebaliknya ibu bapa mesti berperanan sebagai gatekeeper atau guru disiplin.
Sekiranya anak-anak atau remaja dilihat terlalu ketagih kepada telefon pintar, tindakan drastik secara berhemah mesti segera dilakukan.
Sebenarnya ada beberapa ayat dalam al-Quran yang menitikberat peranan ibu bapa dalam memelihara kesihatan dan kesejahteraan anak-anak.
Surah at-Tahrim ayat (66:6) misalnya, menekan kepentingan menjaga diri dan keluarga daripada bahaya dan bencana serta kemungkinan bahaya mendapat masalah mental dengan terjemahannya bermaksud;
"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai ALLAH terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”
Sebagai permulaan, bagi mengatasi masalah ketagihan telefon pintar, penulis berharap ibu bapa wajar menghentikan tindakan memberi hadiah peranti jenama terkini kepada anak-anak sebagai tanda kasih sayang.
Penulis percaya ketagihan telefon pintar boleh menyebabkan sekurang-kurang tujuh kesan ketara kepada murid atau remaja.
Mereka bakal berdepan masalah kemurungan dan kemahiran komunikasi juga akan terjejas. Penulis percaya remaja yang mempunyai gejala ketagihan telefon pintar akan mengalami gangguan tidur dan mood.
Selain itu, jangka tempoh perhatian menurun (reduced attention span) turut bermasalah. Begitu juga dengan fungsi kognitif bermasalah.
Kanak-kanak atau remaja yang ketagihan telefon pintar akan sentiasa mengasingkan diri selain sukar membuat keputusan kritikal.
Kesimpulannya, ketagihan telefon pintar ialah satu masalah yang akan sentiasa membelenggu ibu bapa di seluruh dunia.
Ia masalah yang mesti ditangani dan bukan dilepaskan begitu sahaja!
* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)
Klik di sini untuk terus membaca