DALAM Belanjawan 2023, sektor pendidikan - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mendapat peruntukan sebanyak RM70.5 bilion iaitu 18.2 peratus daripada keseluruhan belanjawan (RM388.14 bilion). KPM... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM Belanjawan 2023, sektor pendidikan - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mendapat peruntukan sebanyak RM70.5 bilion iaitu 18.2 peratus daripada keseluruhan belanjawan (RM388.14 bilion).

KPM mendapat sebanyak RM55.2 bilion (78.3 peratus daripada sektor pendidikan), manakala KPT mendapat RM15.3 bilion (21.7 peratus daripada sektor pendidikan).

Jumlah 18.2 peratus ini baik, apabila dibandingkan, contohnya, dengan negara-negara OECD iaitu 7 hingga 17 peratus.

Peruntukan KPM yang lebih tinggi daripada KPT adalah sesuai dengan amalan negara-negara OECD iaitu 14 hingga 27 peratus.

Bagaimanapun, peruntukan untuk universiti-universiti teknikal, politeknik-politeknik dan kolej-kolej komuniti adalah kecil jika dibandingkan dengan fokus yang diberikan kepada TVET dan keperluan sebenarnya.

Apabila membahaskan peruntukan ini, adalah penting untuk ia dilihat dalam kerangka besarnya, iaitu keberkaitan antara sumber-sumber kewangan/perbelanjaan dengan impak ke atas pembelajaran, akses kepada pendidikan dan iklim pembelajaran.

Pada 28 Mac lalu, ketika membahaskan peruntukan ini (peringkat jawatankuasa), saya menggariskan beberapa perkara penting:

• Bersetuju dengan cadangan YB Puchong agar kerajaan mencari sumber-sumber kewangan selain daripada peruntukan awam.

Contohnya, KPM memiliki banyak tanah yang tidak digunakan. Ia boleh dijadikan modal untuk merundingkan sumber-sumber kewangan lain.

• Kedua-dua kementerian harus bekerjasama dalam pembangunan dasar serta penilaian dan pengurusan prestasi, dan mengelakkan berlakunya pertindihan atau perlumbaan negatif sesama sendiri.

• KPT perlu menggariskan inisiatif-inisiatif untuk mengembalikan kegemilangan universiti tempatan, contohnya, ketika Universiti Malaya (UM) dipimpin Profesor Diraja Ungku Aziz dan fakulti undang-undangnya dipimpin Profesor Ahmad Ibrahim; dan seterusnya bersaing di pentas antarabangsa kini.

• KPM perlu mengkaji prestasi Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Kluster dan lain-lain.

• Meningkatkan profesionalisme pemimpin institusi dan pensyarah/guru dalam pelbagai bidang. Di samping tentang tugas hakikinya, dua bidang yang penting ialah pertama, teknologi: supaya menguasai teknologi terkini dan menangani kesan-kesan sampingan yang negatif.

Dan kedua, kokurikulum iaitu sebagai penasihat, jurulatih, pengadil dan pegawai teknikal, supaya matlamat melahirkan insan bersepadu benar-benar dicapai.

• Meneliti kedudukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Adakah masih mengekalkan matlamat dan objektif-objektif asalnya, termasuk penajaan daripada OIC dan negara-negara Islam lain?

• Menambah pertukaran mahasiswa iaitu belajar satu/dua semester di universiti luar negeri. Supaya memiliki pandangan sarwa global dan daya saing yang mantap.

• Kemudahan pendidikan khas di sekolah-sekolah perlu diperluaskan, iaitu dari segi kewujudannya di setiap daerah dan menumpu kepada jenis orang kurang upaya (OKU) yang agak tertinggal, contohnya, pekak bisu.

• Prestasi Sekolah-sekolah Sukan KPM dan Pusat-pusat/Program-program Sukan IPT perlu ditingkatkan, manakala pelajar yang memiliki bakat dan prestasi tinggi diberikan lebih fasilitasi.

• Bidang-bidang kokurikulum yang selalu kekurangan peruntukan, contohnya debat, hendaklah dibantu.

* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang

Klik di sini untuk terus membaca