SIAPA sangka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh,61, seorang anak tani dari Kampung Jeram, Masjid Tanah dan pernah bekerja sebagai juruteknik pendingin hawa lebih 40 tahun lalu, kini diangkat sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13. Ahli Dewan Undangan... Klik di sini untuk terus membaca

SIAPA sangka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh,61, seorang anak tani dari Kampung Jeram, Masjid Tanah dan pernah bekerja sebagai juruteknik pendingin hawa lebih 40 tahun lalu, kini diangkat sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) pada jam 3 petang Jumaat, susulan keputusan peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada Rabu.

Terdahulu, pengumuman Ab Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu dibuat Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari yang memaklumkan pelantikan itu berdasarkan Perenggan (a), Fasal 2, Perkara 7, Perlembagaan Negeri Melaka.

Menyelusuri sejarah kehidupan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah itu, Ab Rauf pernah melanjutkan pelajaran di sebuah institut latihan kemahiran tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Kampung Pandan,Melaka pada tahun 1978 sewaktu zaman remajanya.

Selepas menamatkan pengajian di institut berkenaan, Ab Rauf kemudiannya bekerja sebagai seorang juruteknik pendingin hawa sebelum menceburi bidang perniagaan pada usia seawal 20-an.

Menjangkau usia 32 tahun, Pengerusi UMNO Melaka itu terus mengorak langkah dalam karier perniagaannya apabila bergelar tokoh korporat susulan memiliki sebuah syarikat bekalan minyak yang besar di Malaysia.

Tidak terhenti setakat itu, bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka itu juga pernah menjadi bekas Pengarah dan Naib Presiden Kumpulan Europlus Berhad - sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia - sebelum mengambil keputusan berani untuk terjun dalam bidang politik.

Karier politik Ab Rauf mula menyinar semasa era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden UMNO pada tahun 2009.

Ab Rauf (dua kanan) bersama Sulaiman (dua kiri).
Ab Rauf (dua kanan) bersama Sulaiman (dua kiri).
Ab Rauf (dua kanan) bersama Sulaiman (dua kiri).
Ab Rauf (dua kanan) bersama Sulaiman (dua kiri).

Beliau yang pada ketika itu merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bintang, diberi peranan politik besar yang pertama setelah dilantik sebagai Setiausaha Kerja UMNO bagi menggantikan bekas penyandangnya, Brigadier Jeneral (B) Datuk Husainay Hashim.

Di bawah pentadbiran Presiden UMNO sedia ada, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Ab Rauf diberi peranan politik lebih besar apabila memegang pelbagai jawatan parti termasuklah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO serta Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Pengerusi UMNO Melaka sehingga kini.

Meskipun sudah berkecimpung dalam dunia politik lebih 30 tahun, Ab Rauf hanya berkesempatan untuk bertanding julung kali pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun 2021 di kerusi DUN Tanjung Bidara.

Mendapat tentangan sengit wakil Perikatan Nasional (PN) yang juga calon Ketua Menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ab Rauf mengenepikan cabaran getir pertembungan tiga penjuru apabila memenangi kerusi DUN berkenaan dengan majoriti tipis 364 undi.

Berikutan itu, beliau dilantik sebagai Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Negeri Melaka sebelum akhirnya dipilih pucuk kepimpinan tertinggi UMNO menjadi Ketua Menteri baharu menggantikan Sulaiman yang meletak jawatan atas faktor kesihatan.

Pelantikan Ab Rauf itu hakikatnya diselubungi pelbagai spekulasi termasuklah gerakan menukarkan Sulaiman selaku Ketua Menteri Melaka yang dikatakan sudah dirancang pihak tertentu sejak Mac 2020.

Situasi itu semakin memuncak apabila empat ADUN BN diketuai bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menarik sokongan terhadap Sulaiman pada 5 Oktober 2021, sekali gus memaksa PRN diadakan pada 20 November 2021.

Bagaimanapun, Sulaiman terselamat apabila BN menang 21 daripada 28 kerusi DUN dalam PRN Melaka, sekali gus diberikan kepercayaan kekal sebagai Ketua Menteri Melaka.

Sulaiman dan Ab Rauf

Berikutan itu, pada Mei 2021, timbul dakwaan kononnya Sulaiman dipaksa pihak tertentu menandatangani surat perletakan jawatan.

Bagaimanapun pada 12 Mei 2022, Sulaiman mengeluarkan satu kenyataan media bagi menafikan pihaknya telah melepaskan jawatan Ketua Menteri.

Malah, Sulaiman yang juga ADUN Lendu menegaskan dakwaan itu tidak benar serta berniat mengganggu gugat kestabilan kerajaan negeri dipimpinnya sejak BN memenangi PRN Melaka.

Tidak lama selepas itu, spekulasi bahawa Sulaiman akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka sekali lagi timbul pada Januari lalu, namun beliau pantas menafikan dakwaan berkenaan dengan menyifatkannya sekadar 'khabar angin'.

Terdapat desas-desus pada ketika itu mendakwa Ab Rauf kononnya sudah mendapat restu daripada pucuk kepimpinan UMNO Pusat untuk mengambil alih jawatan Sulaiman.

Selain itu, terdapat laporan mengatakan tiga Exco Kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan Sulaiman bakal ditukar termasuklah ADUN Rembia, Muhammad Jailani Khamis yang lantang mengkritik Ab Rauf.

Untuk rekod, Sulaiman dilantik sebagai Ketua Menteri susulan peristiwa Langkah Sheraton pada Mac 2020, diiringi dakwaan beliau kononnya 'dikawal' oleh individu tertentu dalam UMNO Melaka.

Setelah lebih setahun mengharungi pelbagai spekulasi mengenai kedudukannya, Sulaiman akhirnya mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Ketua Menteri ke-12 untuk memberi laluan kepada Ab Rauf menggalas tanggungjawab berat itu.

Dengan Melaka mencatat sejarah tersendiri apabila menerima tiga Ketua Menteri baharu dalam tempoh lima tahun, adakah krisis politik dan peralihan kuasa di negeri itu akan berakhir setelah Ab Rauf diberi tanggungjawab besar sebagai Ketua Menteri baharu?

Klik di sini untuk terus membaca