SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International disemak semula, membuktikan hujah terdapat kekhilafan perundangan dalam... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International disemak semula, membuktikan hujah terdapat kekhilafan perundangan dalam perbicaraan kes adalah tidak berasas.

Peguam, Yusmadi Yusoff berkata, dari segi perundangan, keputusan itu menunjukkan bahawa aspek Rule Of Law (kedaulatan undang-undang) di Malaysia masih berfungsi dengan tiada siapa di negara ini yang mengatasinya.

Jelas bekas Ahli Dewan Negara itu, langkah memastikan aspek kedaulatan undang-undang dijunjung semua pihak amat penting bagi membolehkan keyakinan rakyat dan pelabur asing terhadap sistem perundangan Malaysia semakin kukuh.

"Implikasinya, keputusan terkini Mahkamah Persekutuan perlu dilihat sebagai satu petanda baik kepada rakyat yang mahukan Malaysia kembali bergerak ke hadapan dan mempunyai satu sistem perundangan diyakini serta dihormati masyarakat dunia.

"Usaha ini hanya boleh berlaku sekiranya semua pihak terlibat dalam sistem perundangan negara berusaha keras dan mempertahankan integriti perundangan dijunjung rakyat.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan secara majoriti 4-1 menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Keputusan majoriti itu dibacakan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat.

Vernon berkata, mahkamah mendapati tidak berlaku kegagalan dalam proses keadilan ketika pendengaran prosiding rayuan akhir kes pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International berjumlah RM42 juta oleh panel hakim Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lalu.

Satu lagi peluang

Sementara itu, Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa dan Penasihat Utama Singapura di Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia, Dr Oh Ei Sun mengunjurkan laluan Najib untuk kembali bebas masih terbuka kerana berkesempatan menerima permohonan pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, beliau mengakui 'jalan' itu pastinya berliku susulan masih ada banyak lagi kes perbicaraan mahkamah berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi bekas Ahli Parlimen Pekan tersebut.

"Paling penting, kita dapat melihat implikasi pertukaran kerajaan sejak tahun 2018 benar-benar memberi kesan positif kepada institusi kehakiman negara yang kini dilihat tersangat bebas dan tidak dipengaruhi campur tangan badan eksekutif.

"Keputusan terkini kes Najib ini juga membuktikan institusi kehakiman tidak bermasalah untuk membuat keputusan yang kadangkala bukan memihak kepada kerajaan dan menariknya, situasi berkenaan berlaku dalam pentadbiran empat Perdana Menteri selepas Najib termasuk Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya.

Bagaimanapun, Ei Sun meminta agar rakyat tidak membandingkan implikasi kes Najib dengan kes Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan pasport antarabangsa dan pasport diplomatik secara kekal bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi di luar negara.

"Saya fikir kecaman terhadap institusi kehakiman bersandar keputusan itu tidak adil kerana panel hakim pastinya melihat peluang Ahmad Zahid untuk melarikan diri ke luar negara adalah sangat tipis kerana sudah menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Perdana Menteri,” luahnya.

Di sebalik keputusan terkini mahkamah tidak memihak kepada Najib, Ei Sun masih melihat pengaruh Najib dalam UMNO dan landskap politik negara tersangat kukuh dan kuat.

"Sama ada suka atau tidak, Kerajaan Perpaduan masih perlu pengaruh Najib untuk membentuk kuasa politik yang lebih berpengaruh dalam mendepani cabaran Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kelak.

"Keputusan mahkamah ini saya jangka masih sukar menghakis pengaruh Najib dalam kalangan pengikutnya dan majoriti rakyat negara ini. Justeru, Anwar mahupun Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO perlu urus pengaruh Najib ini dengan sebaiknya,” tambah Ei Sun.

Klik di sini untuk terus membaca