PANAS bulan puasa tidak dapat menandingi hangatnya polemik kes mahkamah dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini. Pada Jumaat, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Presiden UMNO itu untuk mendapatkan... Klik di sini untuk terus membaca

PANAS bulan puasa tidak dapat menandingi hangatnya polemik kes mahkamah dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini.

Pada Jumaat, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Presiden UMNO itu untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes SRC International Sdn Bhd (SRC).

Berikutan itu, keputusan beliau bersalah dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta susulan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC adalah kekal.

Ramai yang tertanya-tanya, apa nasib dan hala tuju Najib di sebalik tirai besi? Adakah dinding penjara bakal menjadi pemisah antara Bossku dan penyokong tegarnya?

Masih relevankah pengaruh Najib pada saat penyokong-penyokong kuatnya dilihat sudah bertukar angin dan ‘diserap’ masuk ke dalam kumpulan presiden baharu yang lebih berkuasa?

"Sekiranya Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali didakwa seperti yang dicadangkan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana telah melanggar Seksyen 220 Kanun Keseksaan, kes Najib akan dibicarakan semula di hadapan panel hakim yang tiada konflik kepentingan.

"Kedua, sekiranya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan dan mendapati dakwaan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bahawa wujudnya campur tangan politik dalam badan kehakiman negara terbukti benar, ia juga boleh membantu Najib dibebaskan dari penjara,” katanya kepada Sinar Premium.

Lokman yang turut turun ke Mahkamah Persekutuan sewaktu perbicaraan Najib pada Jumaat berkata, keputusan mahkamah tidak akan mempengaruhi sokongan dan pengaruh Najib sebagai orang kuat dalam UMNO.

"Sebagai bekas presiden, sudah pasti pengaruh Najib dalam UMNO masih kuat. Apa jua keputusan mahkamah tidak menjejaskan sokongan kerana orang-orang UMNO tahu tentang pendakwaan terpilih yang dihadapi oleh beliau.

"Bagi saya, pengaruh Najib dalam UMNO sama seperti pengaruh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih teguh dan tidak goyah,” katanya.

Lokman turut menyangkal dakwaan kononnya Presiden UMNO akan menyerap beberapa pemimpin yang selama ini menjadi ‘tulang belakang’ untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan beliau.

"Penyokong Zahid ialah penyokong Najib. Kami sekali dan sehaluan, tiada beza. Tidak timbul isu penyerapan kerana gandingan kerajaan lama adalah Najib-Zahid. Jadi, sokongan kepada bekas presiden kami masih sama seperti dahulu,” katanya.

Zaman Najib dah berlalu

Dalam pada itu, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berpandangan Najib perlu melantik pasukan pembelaan baharu untuk membebaskan dirinya daripada semua pertuduhan mahkamah.

"Peguam bicara dan hakim perlu diubah. Itu sahaja caranya. Jika mengekalkan orang yang sama, tidak mustahil keputusan tidak akan berpihak kepada beliau selamanya,” katanya.

Hasan berkata, penyokong Najib masih setia, cuma kecewa dan hampa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

"Najib tidak perlu risau kerana beliau mempunyai penyokong dalam kalangan orang-orang yang setia. Saya sendiri mengenalinya secara peribadi dan yakin dia seorang yang baik.

"Semestinya keputusan hari ini menyebabkan ramai penyokong yang kecewa. Namun, semua mendoakan yang terbaik buat Najib,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Politik daripada Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali berkata, biarpun Najib banyak berjasa kepada negara, zaman Bossku telah berlalu dengan Ahmad Zahid selaku Presiden parti kini mengambil alih peranan menguasai UMNO.

"Hakikatnya, Ahmad Zahid ialah Presiden yang berkuasa dan bertanggungjawab dalam UMNO. Ia bukan bermaksud beliau mengabaikan Najib, tetapi keadaan bekas Perdana Menteri itu yang disabitkan bersalah telah menyebabkan dirinya tidak boleh lagi memimpin parti.

"Sekalipun Najib hilang pengaruh dalam UMNO, ia tidak akan memberi kesan ketara kerana beliau sedang berdepan kes di mahkamah.

"Sekiranya terdapat pembebasan, beliau dilarang daripada menyertai politik selama lima tahun kecuali mendapat pengampunan diraja,” katanya.

Mazlan turut menyarankan ahli-ahli UMNO yang menyokong Najib untuk menunjukkan taat setia mereka kepada status quo kepimpinan parti sedia ada demi kesejahteraan UMNO untuk jangka masa panjang.

"Ahmad Zahid memerlukan sokongan yang padu. Fokus yang perlu diberikan oleh ahli-ahli UMNO serta penyokong Najib adalah menunjukkan taat setia kepada pemimpin agar tidak memberi implikasi buruk kepada parti.

"Tidak salah kalau penyokong Najib beralih arah menyokong Ahmad Zahid kerana mereka mempunyai hubungan yang baik. Sama seperti menyokong Bossku,” katanya.

Tegas Mazlan, keputusan mahkamah menunjukkan sistem kehakiman negara adalah telus selain membuktikan tiada campur tangan daripada mana-mana pihak.

"Ini suatu cabaran berat buat Najib kerana kes SRC beliau sangat kuat apabila didapati bersalah dan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman tersebut.

"Nasib beliau kini bergantung kepada pasukan pembelaannya sama ada mereka boleh menimbulkan keyakinan mahkamah atau tidak.

"Sebagai seorang negarawan, mahkamah akan mengambil kira jasa-jasa Najib dan beliau boleh dibebaskan lebih awal seperti kes bekas Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Mokhtar Hashim yang diubah hukumannya daripada gantung sampai mati kepada penjara seumur hidup selepas mendapat pengampunan diraja.

"Keputusan hari ini menunjukkan sistem kehakiman di negara kita telus dan tiada campur tangan kerajaan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca