KEYAKINAN Perikatan Nasional (PN) menang di 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang sangat menarik perhatian. Walaupun diperli Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid... Klik di sini untuk terus membaca

KEYAKINAN Perikatan Nasional (PN) menang di 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang sangat menarik perhatian.

Walaupun diperli Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seperti bermimpi di siang hari, keyakinan tersebut perlu dilihat secara mendalam.

Secara umum, jika PN menang kesemua kerusi Melayu, ia masih tidak memungkinkan pakatan itu menguasai pentadbiran negeri.

Angka 15 masih jauh untuk memperoleh majoriti mudah 21 kerusi daripada 40 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Namun kemampuan untuk menyapu habis semua kerusi Melayu sudah cukup untuk menggambarkan pengaruh PN menerusi kebangkitan politik etno-agama yang bersifat konservatif, sesuatu yang paradoks dalam dinamika toleransi masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia.

Secara mikro, ia turut memperlihatkan peralihan sokongan orang Melayu kepada parti-parti Melayu yang established terutamanya UMNO, PKR dan Amanah.

Mungkin UMNO sudah tidak dominan di sini sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), namun bagi PKR dan Amanah (baca:PH) hilang pengaruh di negeri seperti Pulang Pinang sememangnya membimbangkan.

Tidak perlu mengungkit bagaimana kawasan-kawasan Parlimen Melayu hilang dibadai ‘Gelombang Hijau’ dalam PRU15 lalu. Persoalannya, dalam PRN nanti adakah ia boleh berulang dan mampu kah ia dihalang?

Untuk melihat senarionya, kemampuan PN menguasai kerusi-kerusi Melayu ketika PRU15 memberikan petanda bahawa gelombang tersebut masih berpotensi untuk berulang.

Pertama peralihan undi sokongan orang Melayu di Pulang Pinang memperlihatkan faktor hilang daya tarikan terhadap parti Melayu yang menjadikan PN sebagai alternatif.

Kedua pecahan undi di kalangan orang Melayu sepertimana sebelumnya masih memperlihatkan kebarangkalian berlaku hayunan di mana ia berlaku secara ketara di kalangan pengundi baru dan muda.

Sebelumnya, kelompok ini masih belum boleh mengundi dan pecahan undi memihak kepada PH di samping kemerosotan sokongan orang Melayu terhadap UMNO sejak 2008 serta Pas yang masih bergantung kepada kekuatan sokongan setempat secara satelit. Namun begitu taburan undi yang diterima parti masing-masing masih lagi relatifnya seimbang.

Secara umum pecahan undi Melayu dalam beberapa pilihan raya memperlihatkan pola taburan undi yang diterima tidaklah konsisten kepada mana-mana parti, di sebalik kemerosotan pengaruh UMNO dan populariti mendadak PN.

Cuma PRU15 memperlihatkan keseimbangan tersebut telah berubah di sebalik ketidakseragaman pola pengundian orang Melayu dalam setiap pilihan raya.

Paling penting, kebangkitan politik etno-agama dan konservatisme Melayu di samping sentimen serta skeptikal orang Melayu terhadap PH terutamanya DAP yang berakar umbi sejak sekian lama menjadi faktor tertinggi untuk menjejaskan sokongan kelompok Melayu kepada PH.

Dengan DAP menjadi ‘sasaran utama’ serangan, kebarangkalian untuk ia meningkatkan sokongan kepada PN di kawasan Melayu amat besar. Malah dikhuatiri ia mungkin akan membawa kesan limpahan ke Selangor dan Negeri Sembilan.

Menjangkakan bahawa kerjasama ‘pakatan perpaduan’ PH-BN di sini dan menjadikan pertandingan satu lawan satu dengan PN dalam PRN akan menjadikan persaingan seimbang masih terlalu awal untuk diperkatakan.

Yang pasti, PN tidak boleh mengharap undi Melayu semata-mata untuk menawan Pulau Pinang. Tetapi kemampuan PN memenangi kesemua kerusi Melayu dalam PRN nanti akan lebih menyakitkan ‘pakatan perpaduan’ PH-BN kalaupun mereka masih kekal memerintah untuk penggal seterusnya.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca