TIGA tahun lepas, Aisha Desai pengasas 'Ramadan Lights, UK' telah memulakan usahanya untuk memasang lampu 'Happy Ramadan' di tempat kelahirannya di Utara London.
Beliau dipengaruhi oleh suasana malam-malam bulan Ramadan yang meriah sewaktu beliau bermastautin di Timur Tengah sebelum itu. Bagi saya, 'Blessed Ramadan' adalah lebih tepat dengan sebutan 'Ramadan al-Mubarak'.
Aisha Desai berkata bahawa sewaktu ia membesar dulu, keluarganya menyaksikan lampu Krismas di tempat yang berdekatan yang bernama Piccadilly Circus.
Kini beliau sendiri mempelopori 'Ramadan Lights' di Piccadilly Square pula; dan beliau mengharapkan fenomena ini dapat menjadi mesej positif tentang Ramadan kepada masyarakat Barat.
Buat pertama kalinya di Coventry Street berhampiran Piccadilly Square, London, pada malam 21 Mac 2023, Sadiq Khan Datuk Bandar London telah menekan suis untuk menyalakan lampu perhiasan 'Ramadan Lights' itu.
Hayat Ramadan yang penuh barakah mempunyai makna yang penting dalam ranah masyarakat – satu daripada empat ranah hayat holistik, yakni biologikal, psikologikal, sosial dan spiritual.
Di ranah sosial, semua persengketaan bersenjata dan pertelingkahan peribadi perlu dihentikan, kerana pada bulan Ramadan tazkiah nafsiyyah (pembersihan jiwa) berlaku secara intensif.
Kesucian dan kemuliaan amalan Ramadan mengislah diri dan masyarakat. Tidak ada gunanya jika usaha pengislahan diri tidak merangkumi sikap rahmah sesama insan dan permohonan maghfirah (keampunan) daripada Tuhan.
Jika kita mempunyai musuh, ketahuilah apa salah kita dan mulakan usaha bermaaf-maafan. Janganlah tunggu hari raya baharu hendak berdamai.
Menunggu untuk berdamai pada masa hadapan bermakna kita percaya bahawa kita akan panjang umur; walhal usia itu ditentukan oleh Tuhan Maha Pemberi Hayat dan Maha Penyampai Maut.Pertelingkahan mempunyai banyak jenis dan tahap.
Pertelingkahan yang kronik sukar diselesaikan jika kedua-dua pihak berdegil dan tidak mahu bertolak ansur. Kemungkinan satu pihak atau kedua-dua pihak yang bersalah berlaku dalam konflik antara peribadi atau antara negara.
Sebaliknya ALLAH SWT mengizinkan tiga teman jiwa yang mahu membangunkan diri insan: 1. Para hamba ALLAH SWT yang salih; 2. Qarin malaikat atau 'pendamping' yang menemani setiap jiwa insan dari lahir hingga maut; 3. An-nafsu al-lauwamah atau jiwa yang mencela dirinya, hinggalah diri mencapai maqam an-nafsu al-mutmainnah atau jiwa yang tenang.
Di pentas dunia kita menyaksikan perbalahan siasah yang kronik selama bertahun-tahun antara Arab Saudi dengan Iran. Perdamaian yang diusahakan datang daripada orang tengah, iaitu negara China yang semakin mempunyai pengaruh dan suara penting di dunia.
Ini berlaku beberapa hari sebelum bermulanya bulan Ramadan. Bayangkan kelegaan umat Islam di Yemen yang terpaksa menjadi mangsa keganasan ketenteraan yang disokong oleh Saudi dan Iran.
Berbalik kita kepada negara Malaysia. Mengelakkan pembaziran makanan yang mula diusahakan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia ingin memastikan bahawa keberkatan rezeki dikecapi oleh semua lapisan masyarakat.
Banyak NGO serta agensi kerajaan yang mengusahakan majlis iftar di banyak tempat di kota atau di desa membuktikan bahawa rezeki melimpah ruah – dikecapi oleh masyarakat Islam dan non-Muslim.
Mutakhir ini, saya sendiri menerima beberapa jemputan majlis iftar daripada rakan-rakan non-Muslim Malaysia.
Keberkesanan bulan Ramadan bagi umat Islam juga dirasai oleh rakyat Malaysia semua kepercayaan bila rahmah yang dikecapi pada bulan mulia itu menerangi alam insan.
* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penulis dan aktivis sosial
Klik di sini untuk terus membaca