KEKECOHAN yang menyelubungi lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini mengingatkan saya kepada peristiwa menjadi tetamu anak raja ketika mengerjakan umrah. Peristiwa tersebut pada 29 Disember 1987... Klik di sini untuk terus membaca

KEKECOHAN yang menyelubungi lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini mengingatkan saya kepada peristiwa menjadi tetamu anak raja ketika mengerjakan umrah.

Peristiwa tersebut pada 29 Disember 1987 sewaktu saya menyertai rombongan Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika itu Menteri Belia dan Sukan merangkap Ketua Pemuda UMNO Malaysia mengadakan lawatan ke Libya.

Di Libya, kami menjadi tetamu sebuah pergerakan dakwah di Tripoli. Rombongan terdiri daripada Exco Pemuda UMNO pergi ke negara tersebut bagi menunjukkan solidariti kepada Libya setelah Amerika Syarikat (AS) melakukan pengeboman besar-besaran terhadap beberapa sasaran Libya pada 15 April 1986.

Susulan serangan itu, AS mengisytiharkan Libya sebagai no fly zone, membawa maksud sekatan udara dikenakan terhadap Tripoli. Pengecualian diberikan kepada syarikat penerbangan tertentu untuk masuk dan keluar Libya.

Rombongan yang saya sertai ke Libya dengan syarikat penerbangan Jordan, Alia dan keluar dengan Swiss Air, syarikat penerbangan Switzerland.

Walaupun rombongan Pemuda UMNO hanya tetamu kepada sebuah pertubuhan dakwah tetapi kami diberi penghormatan bertemu dengan Presiden Libya, Muaamar Gadafi pada hari terakhir kami berada di Tripoli, memaksa kami membatalkan penerbangan ke Jeddah dengan Egypt Air pada hari sama sebelah petangnya.

Justeru, untuk ke Jeddah dan seterusnya ke Makkah menunaikan umrah, kami tiada pilihan kecuali menunggu dua hari lagi bagi menggunakan perkhidmatan Swiss Air untuk ke Zurich terlebih dahulu dan selepas itu ke Jeddah dengan syarikat penerbangan sama.

Sebaik sahaja Swiss Air yang kami naiki mendarat di Lapangan Terbang King Abdul Aziz di Jeddah dan berhenti di tempat parkirnya pada subuh, 29 Disember 1987, saya melihat tidak kurang 10 kereta berjenama berderet menunggu di tangga kapal terbang.

Macam tidak percaya sebaik turun meninggalkan pesawat, kami diberitahu bahawa kereta-kereta itu sebenarnya adalah untuk kami. Kamilah tetamu VVIP itu.

Lazimnya, tetamu yang melakukan kunjungan peribadi akan melalui pemeriksaan kastam dan imigresen sebelum dibenar meninggalkan lapangan terbang. Tapi kami tidak melalui proses itu, sebaliknya menaiki kenderaan disediakan dan terus dibawa ke hotel.

Pasport kami diserahkan kepada seorang pegawai Arab Saudi yang menunggu di tangga pesawat untuk diperiksa dan dicap oleh pihak imigresen. Mengapa rombongan Najib diberi layan begitu istimewa?

Jawapannya kerana Arab Saudi ialah sebuah negara yang tahu menghargai negara-negara lain yang dianggap sebagai sahabat istimewa. Perkara itu dijelaskan oleh Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Mokhtar Ahmad sewaktu sarapan di hotel kami menginap.

Katanya: "Kedatangan rombongan Najib bagi mengerjakan umrah telah dinaikkan status menjadi tetamu anak Raja Saudi.”

Saya bertanya: "Mengapa kami menjadi tetamu anak raja?”Jawab Mokhtar: "Apabila pihak istana Saudi mendapat tahu dalam rombongan Pemuda UMNO ada Najib, anak kepada Tun Abdul Razak dan ibundanya, Tun Rahah, balu kepada Tun Razak, maka pihak istana mengeluarkan perintah supaya anda semua diberi status tetamu anak raja.”

Tun Rahah ialah salah seorang ahli yang mengikuti rombongan Pemuda UMNO ke Libya, selain isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

Tanpa diminta Mokhtar menjelaskan bahawa Allahyarham Tun Razak mempunyai hubungan sangat akrab dengan raja-raja Arab Saudi semasa menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Malaysia antara 1957 sewaktu negara mencapai kemerdekaan sehinggalah beliau meninggal pada awal 1976.

Bukan itu sahaja kejutan yang kami terima. Sewaktu mengerjakan umrah, kami dihantar dengan kereta berjenama tadi sampai ke pintu utama Masjidil Haram sewaktu bertawaf dan bersaie, pergerakan kami diiringi oleh pengawal disediakan khas.

Selepas tawaf selesai, Hajarul Aswad dikepong untuk membolehkan setiap anggota rombongan bergilir-gilir mencium salah satu batu hitam dari syurga sempena nama isteri Nabi Ibrahim yang terdapat di penjuru Kaabah.

Malah, sepanjang berada di Makkah dan kemudian Madinah, rombongan Najib diberi layan mesra serta istimewa sesuai dengan status tetamu anak raja yang diberi kepada kami.

Pengalaman mengerjakan umrah tersebut adalah testimoni bahawa Arab Saudi ialah negara yang tahu menghormati dan menghargai tetamu asalkan tetamu itu berkenan di hati mereka!

* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Klik di sini untuk terus membaca