CARA dua kementerian mengendalikan situasi semasa negara seminggu lalu menimbulkan kebimbangan – kerajaan akan hilang arah dan hala tuju penting sekiranya terlalu defensif serta menyalahkan pihak lain semata-mata.
Pertama, tindakan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyelar laporan sebuah akhbar mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah semalaman (OPR) adalah sesuatu melucukan, namun pada masa sama membimbangkan.
Melucukan kerana menteri seolah-olah tidak faham bahawa berita berbentuk spekulasi yang adil dan berasas sudah menjadi sebahagian tradisi kewartawanan sejak kurun ke-18. Ia juga sebahagian ciri-ciri civil society atau sekarang diangkat oleh kerajaan hari ini sebagai Masyarakat Madani.
Apatah lagi, dengan cabaran media sosial dalam merebut pembaca, media yang digerakkan oleh profesionalisme tidak lagi boleh kembali kepada kurun ke-85 sebelum Masihi – apabila pener-bitan kewartawanan pertama dikesan. Acta Diurna – yang hanya melaporkan kenyataan rasmi kerajaan, ucapan dan kejadian yang telah berlaku.
Ia bukan kali pertama Fahmi menjadi tumpuan kritikan rakyat. Beberapa minggu lalu, Fahmi melenting apabila kaji selidik lima media mengenai prestasi kerajaan selama 100 hari tidak menyebelahi Perdana Menteri.
Fahmi sebagai menteri berhak mempertahankan kerajaan daripada kritikan dapatan kaji selidik tersebut.
Namun, khabar berlegar dalam fraternity media bahawa menteri telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan media tertentu bagi memberi teguran.
Ia menimbulkan kebimbangan kebebasan media akan mula dihadkan. Bagaimanapun, untuk berlaku adil kepada Fahmi, ada tindakan kementeriannya harus diberi penghargaan dalam mengawal kandungan media agar tidak menyesatkan masyarakat dan memberi gambaran tidak benar langsung.
Langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) membuka kertas siasatan terhadap saluran televisyen tempatan membuat laporan berita tidak berasas mengenai keputusan kerajaan yang telah menimbulkan keresahan penjawat awam, perlu disokong.
Kita akui media tidak harus ada kuasa penuh sehingga melampaui garis kebenaran dan analisis kritis hanya untuk menarik penonton serta pembaca.
Namun, ketika media akan berdepan tindakan undang-undang sekiranya terkeluar daripada batas kebenaran dan spekulasi berasas, menteri mempunyai kebebasan agak luas dalam melaksanakan kuasanya sehingga menimbulkan keresahan pengamal media.
Adakah ia permulaan kepada satu era – kerajaan bukan sahaja tidak gemar kepada penulisan bercorak analisis kritis, malah berusaha menyekatnya?
Sangat membimbangkan apabila menteri menjadi terlalu sensitif dan fokus sebahagian waktu kerjanya untuk memantau media, sedangkan industri lain di bawahnya kelihatan masih belum bergerak bagi membantu memacu ekonomi negara
Perkara kedua menarik perhatian ialah lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi minggu lalu apabila kerajaan berdepan kritikan berikutan lawatan rasmi Perdana Menteri tidak melibatkan pertemuan dengan Raja Salman Abdul Aziz atau Putera Mahkota Mohammed bin Salman.
Kementerian Luar bukan sahaja ‘mengelak’ menjawab di Parlimen, malah mengambil masa agak panjang untuk menjustifikasikan situasi itu melalui kenyataan media.
Walaupun Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohammad Agus Yusoff tampil mempertahankan lawatan itu sebagai satu kejayaan, namun sanggahan beliau juga sangat jauh daripada realiti.
Bagaimana kita boleh menganggap ia satu lawatan rasmi yang berjaya jika ia bukan sahaja tidak menghasilkan pertemuan dengan pemimpin utama negara tersebut, malah tiada perbincangan bilateral antara kerajaan pun dilaporkan.
Justeru, sudah tentu ahli Parlimen dan rakyat berhak mempersoalkan kejayaan lawatan tersebut. Rakyat bukan mengkritik semberono. Sebelum lawatan, Wisma Putra sendiri menghebahkan pertemuan itu bagi tujuan meningkatkan populariti Perdana Menteri.
Kerajaan harus bersedia menerima kritikan kerana ia adalah salah satu ciri-ciri masyarakat madani ialah terbuka menerima kritikan dan memperbaiki kesilapan.
Justeru Malaysia memerlukan kerajaan yang waras untuk memacu pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Klik di sini untuk terus membaca