SHAH ALAM - Peletakan jawatan dan pelantikan Ketua Menteri Melaka yang baharu didakwa akan memberi kesan negatif kepada UMNO dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri nanti.
Penganalisis sosiopolitik, Datuk M Periasamy menjangkakan, ia bukan sahaja rakyat di Melaka, malah seluruh negara akan berasa muak dengan politik UMNO.
Jelas beliau, disebabkan masalah dalaman parti yang didakwa berpuak-puak, ia menyebabkan UMNO tidak akan mendapat sokongan padu seterusnya sukar memenangi PRN di enam negeri itu.
"Sekarang bila bertukar, nampaknya ada satu benda yang tidak kena sebab dulu sudah dikatakan (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh) tidak sesuai sebagai Ketua Menteri. Bagaimanapun, kini beliau dipilih pula sekali gus akan membuatkan puak-puak yang tidak berminat ini lebih besar.
"Pergolakan di Melaka mempengaruhi minda orang Melayu di luar. Sebelum ini situasi serupa berlaku di Johor. Ia menunjukkan UMNO lebih mementingkan kuasa daripada kepentingan parti.
"BN atau UMNO juga perlu lebih mementingkan faktor kelebihan parti dalam membawa pembangunan kepada masyarakat Melayu,” katanya kepada Sinar Ahad.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan persiapan UMNO untuk menghadapi enam PRN tidak terjejas dengan kemelut politik yang melanda Melaka ketika ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia berikutan kemelut yang berlaku itu bukan melibatkan masalah politik, sebaliknya atas faktor kesihatan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Sementara itu, penganalisis politik, Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berpendapat, pertukaran ketua menteri mendatangkan persepsi kurang baik orang ramai.
Jelasnya, ia turut mengukuhkan lagi anggapan bahawa UMNO hanya untuk Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selain memberikan kesan kepada parti semasa PRN.
"Apabila ada isu mengundang negatif kepada parti, rakyat yang ‘penat’ dengan situasi politik semasa akan bertindak untuk tidak turun mengundi pada pilihan raya.
"Kalau turun pun, mereka mungkin undi parti lain. Bukan kerana pro parti lain, tetapi sudah tidak meminati UMNO,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca