SHAH ALAM - Seorang banduan dalam tahanan boleh mendapat pengampunan diraja seawal empat tahun selepas menjalani hukuman penjara. Peguam, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid menjelaskan, proses tersebut bergantung kepada laporan disediakan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang banduan dalam tahanan boleh mendapat pengampunan diraja seawal empat tahun selepas menjalani hukuman penjara.

Peguam, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid menjelaskan, proses tersebut bergantung kepada laporan disediakan pegawai penjaga yang dilantik di penjara berdasarkan beberapa saranan atau syor.

"Laporan berkenaan akan dihantar kepada menteri besar sebelum dibawa ke hadapan Yang di-Pertuan Agong untuk diteliti,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, banduan juga boleh memohon pengampunan diraja dengan memasukkan petisyen kepada Seri Paduka Baginda (bagi Wilayah Persekutuan) atau sultan (bagi negeri) mengikut Peraturan 113 Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

Ahmad Shamil berkata, petisyen tersebut boleh dibuat sejurus sabitan dikenakan dan banduan sudah mula menjalani hukuman.

"Petisyen kedua boleh dibuat setelah banduan terlibat selesai menjalani hukuman pemenjaraan selama tempoh tiga tahun.

"Sebarang petisyen lanjut boleh dibuat setiap dua tahun selepas itu, kecuali sekiranya wujud alasan-alasan tertentu,” katanya.

Sementara itu, peguam, Arik Zakri Abdul Kadir menjelaskan, pengampunan diraja merupakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong, sultan atau Yang di-Pertua Negeri yang diiktiraf termaktub sebagai kuasa dalam sistem raja berperlembagaan.

"Mereka akan dinasihatkan oleh Lembaga Pengampunan bagi sebarang permohonan namun setiap keputusan masih kuasa mutlak diraja.

"Secara prinsipnya, pengampunan dijalankan dengan ihsan Yang di-Pertuan Agong ke atas seseorang yang diiktiraf telah didapati bersalah oleh mahkamah.

"Kesannya ialah pemaafan dan kebersalahan dari segi undang-undang akan dihapuskan selama-lamanya.

"Namun perlu diingat, hanya kebersalahan dihapuskan tetapi bukan bukti-bukti yang telah dipungut oleh penyiasat, dikemukakan oleh pendakwa dan diterima oleh mahkamah,” ujarnya.

Pada Jumaat, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kekal menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas tidak dibenarkan untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan, hukuman dan denda terhadapnya berhubung kes menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Dengan majoriti 4-1, empat panel hakim menyokong untuk menolak rayuan Najib kerana tiada merit.

Ini bermakna, pilihan terakhir bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk dibebaskan adalah menerusi pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Klik di sini untuk terus membaca