SHAH ALAM - Pelantikan Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 dilihat mampu merapatkan barisan di pelbagai peringkat dalam parti itu.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, pelantikan itu juga bakal mengakhiri teka-teki sama ada perubahan kepimpinan harus dilakukan atau tidak berikutan isu tersebut sudah berpanjangan sejak berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau berkata, ia juga membawa formula Kerajaan Perpaduan melibatkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) sekali gus pelantikan Exco baharu perlu dilakukan.
"Saya percaya pemilihan Ab Rauf kerana pengalamannya di peringkat pusat dan negeri, selain pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
"Beliau juga memegang jawatan Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri menjadikan antara titik tolak kenapa beliau dilantik.
"Perkara penting adalah pelantikan beliau selepas ini untuk pastikan dapat merapatkan barisan dalam UMNO di peringkat negeri, selain mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya kepada Sinar Ahad.
Sementara itu, Sivamurugan menyifatkan Ab Rauf akan menggunakan pengalamannya untuk mengatasi apa sahaja cabaran di mana cabaran paling utama adalah memastikan perpaduan dalam parti terpelihara dengan membawa semua ketua bahagian bersama beliau.
Ujarnya lagi, cabaran kedua adalah untuk memastikan soal kepentingan dan kebajikan, kos sara hidup, ekonomi, kesihatan, pendidikan, pelancongan di peringkat negeri itu terus diperhebatkan.
Bagi cabaran ketiga pula, beliau menjelaskan adalah dengan membentuk kerjasama bersama exco PH berdasarkan model di peringkat kerajaan persekutuan.
"Saya percaya barisan Exco perlu dirombak untuk memulihkan formula Kerajaan Perpaduan dan madani peringkat Persekutuan tersebut dibawa ke negeri dengan melantik beberapa Exco dari PH dalam kerajaan negeri Melaka,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca