BIDANG sains, teknologi dan inovasi (STI) bukanlah asing buat CHANG LIH KANG yang kini menerajui Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (Mosti) memandangkan beliau sendiri berlatar belakang dalam kejuruteraan awam.
Setelah empat bulan bergelar menteri, Lih Kang mengakui Mosti adalah sebuah kementerian yang cukup mencabar, apatah lagi di saat pembangunan vaksin manusia menjadi keutamaan negara sebagai persediaan keselamatan dalam menghadapi pandemik pada masa depan.
Ahli Parlimen Tanjong Malim itu turut berkongsi impiannya untuk mengumpul RM2 bilion dalam menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang STI.
Beliau juga memaklumkan keutamaan kerajaan dalam meneroka bidang teknologi angkasa dan menjawab persoalan Malaysia tidak meneruskan program angkasawan kedua buat masa ini.
Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Ahad, FARAH SHAZWANI ALI bersama Lih Kang baru-baru ini.
SINAR AHAD: Selepas 100 hari berkhidmat dalam Mosti, apa misi utama YB yang telah dicapai?
LIH KANG: Kalau dilihat dari segi program, memang banyak yang telah kita laksanakan tapi secara amnya, 100 hari ini saya gunakan untuk belajar dan memahami peranan Mosti. Ada beberapa aktiviti atau program yang sangat bermakna, antaranya saya telah ke Sepanyol untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan di sana.
Kita juga berjaya menandatangani MoU tiga pihak antara National Institutes of Biotechnology (NIBM Malaysia) melalui Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) dengan MVP Healthcare Sdn Bhd dan Pfizer Malaysia Sdn Bhd tentang pembangunan vaksin. Ini antara dua MoU yang agak penting yang kita tandatangani.
Pada masa sama, saya juga ada town hall dengan pihak berkepentingan termasuk syarikat pemula. Kementerian ini banyak berurusan dengan syarikat pemula yang berkaitan dengan STI. Dalam town hall ini, saya belajar dan mendengar masalah yang mereka hadapi dan ambil tahu perkhidmatan apa yang Mosti boleh perbaiki. Itu dikira proses pembelajaran juga.
Selain itu, ada banyak program dan promosi STI seperti penganjuran Karnival STI di UPSI Tanjung Malim, Perak. Itu antara beberapa program yang sangat bermakna.
Pada masa akan datang, kita akan ada banyak program lagi untuk mempromosikan STI dan ada beberapa MoU penting untuk tujuan aktiviti penyelidikan serta pembangunan (R&D).
Bila kita bercakap tentang sains dan teknologi, di mana sebenarnya keutamaan Kerajaan Perpaduan?
Kerajaan Perpaduan memandang berat dan merasakan sains dan teknologi ini sangat penting. Itu sebabnya dalam Belanjawan 2023 kali ini, ada tambahan peruntukan. Sains dan teknologi ini adalah bidang yang sangat luas, tapi kita ada beberapa fokus.
Pertamanya, hidrogen sebagai satu renewable energy (tenaga boleh diperbaharui). Sekarang, kajian kita dalam peringkat R&D dan ada prototaip yang dikira berjaya. Kita akan teruskan R&D hidrogen. Kita juga beri penekanan kepada bagaimana STI boleh menyelesaikan masalah yang kita hadapi. Sebagai contoh, keselamatan makanan. Kita memang ada beberapa projek dan bekerjasama dengan beberapa syarikat swasta melalui agensi di bawah Mosti untuk menyelesaikan masalah ini.
Kedua, promosi STI dan tujuannya untuk menarik minat anak-anak kita dalam bidang sains, teknologi dan inovasi sehingga pada akhirnya, mereka akan memilih bidang sains. Kita perlukan ramai bakat STI pada masa akan datang kerana sasaran negara untuk menjadi negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030. Itu sebabnya kita perlukan banyak bakat STI dan kena mulakan promosi sekarang supaya orang berminat dan memilih aliran ini.
Belanjawan 2023 memperuntukkan sebanyak RM428 juta untuk tujuan aktiviti R&D. Boleh YB kongsikan bagaimana Mosti akan membelanjakannya?
Semua orang melihatnya sebagai satu peruntukan yang besar tapi mereka sebenarnya tertinggal satu ayat selepas itu, iaitu peruntukan itu akan diagihkan antara Mosti dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Kebanyakan peruntukan itu akan pergi ke KPT kerana banyak dana untuk R&D ini adalah untuk asas kajian di universiti dan pusat penyelidikan di bawah KPT. Hanya sebahagian sahaja, iaitu kira-kira 20 peratus pergi ke Mosti untuk applied research. Sebenarnya, tak banyak dan tak cukup. Namun, kita bersyukur dan berterima kasih dengan peruntukan itu dan akan diagihkan untuk agensi di bawah kementerian.
Apakah belanja yang banyak untuk R&D itu relevan kerana ia memerlukan dana dan masa panjang. Sedangkan, kerajaan perlu fokus kepada perkara yang lebih mendesak seperti masalah kos sara hidup?
Kita kena seimbangkan. Memang masalah kos sara hidup kita perlukan bantuan kerajaan tetapi pada masa yang sama, kena ingat bahawa STI adalah untuk masa depan. Kalau kita tak labur sekarang, kita akan hadapi masalah pada masa depan. Sebagai contoh, kita tak akan ada bakat yang cukup untuk menampung keperluan industri. Kalau nak jadi negara berteknologi tinggi menjelang 2030, tidak cukup bakat bermaksud pelabur tidak akan masuk. Pada masa itu, kita akan ada masalah. Jadi, kena seimbangkan.
Kita tak boleh terlalu menitikberatkan situasi sekarang atau pada masa depan. Cuma, untuk jangka masa panjang, tak boleh terlalu bergantung pada dana kerajaan sahaja sebab dananya ada had dan sumbernya terhad. Bagaimana nak atasi masalah ini? Sebab itu kita wujudkan Malaysia Science Endowment (MSE).
Apa peranan Malaysia Science Endowment (MSE) dalam pembiayaan R&D?
Kita perlu sedikit dana daripada kerajaan sebagai dana permulaan tetapi pada masa sama, kita terbuka untuk pihak industri, swasta dan badan antarabangsa yang berminat untuk menyumbang kepada MSE. Ini bermakna, kita tidak lagi bergantung kepada dana kerajaan sahaja dan sasaran kita agak tinggi iaitu mengumpul RM2 bilion. Sasarannya, pada masa akan datang, kita tak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan sahaja. Sekiranya kita dapat kumpul RM2 bilion ini, setiap tahun kita boleh agihkan RM100 juta untuk R&D sahaja.
Sebenarnya, ada banyak bidang yang perlukan dana. Sebagai contoh, memang kita ada roadmap untuk vaksin iaitu kapasiti bagi membangunkan vaksin manusia. Setakat ini, kita tak ada, hanya ada kapasiti untuk buat vaksin binatang. Jadi, kita perlukan dana yang banyak sebab R&D vaksin memakan masa yang lama.
Keduanya, saya sebutkan tentang hidrogen. Itu juga satu R&D yang memerlukan dana yang banyak sebab selain dana kerajaan, boleh juga agihkan melalui endowment ini.
Bagaimana kita nak tarik lebih ramai anak muda bekerja dalam bidang sains dan teknologi?
Sebagaimana yang kita tahu, pekerjaan penting seperti jurutera hanya menerima bayaran rendah di negara ini? Ia perlukan usaha banyak pihak. Pertama, kita kena banyakkan promosi dan kerjasama antara Mosti, Kementerian Pendidikan (KPM) dan KPT untuk menarik minat anak muda kepada STI. Kalau anak muda rasa sains ini subjek yang sangat bosan, mereka tak akan berminat.
Keduanya, universiti kena bekerjasama dengan pihak industri supaya graduan mereka boleh menampung keperluan. Maknanya, bila graduan ini masuk ke industri, mereka tidak perlu berikan latihan tambahan kepada pekerja baharu. Pekerja terus boleh blend dalam workforce dan menambah nilai pada industri.
Ketiga, kerajaan juga perlu memainkan peranan untuk transform industri. Contohnya, kalau kita naik taraf SME (perusahaan kecil dan sederhana) sekarang, mereka akan guna teknologi automasi, robotik, sistem IOT (internet pelbagai benda) dan lain-lain. Pada masa sama, ia akan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja berkemahiran rendah, tetapi ia akan menambah permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi. Ia perlukan orang yang mempunyai kemahiran dan ilmu untuk mengoperasikan sistem.
Sama juga dengan sektor tradisional seperti pertanian. Selama ini kalau kita guna cara konvensional, perlukan ramai pekerja. Tapi, kalau kita aplikasi IOT, ia akan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan perlukan orang yang menjaga sistem. Jadi, permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi akan bertambah. Dengan adanya usaha-usaha ini, sains akan menjadi sangat relevan dalam semua sektor. Sekarang ini tidak sama, pilihan yang ada sangat terhad.
Tapi, kalau semua bidang perlukan orang yang celik sains dan teknologi, ia akan berbeza kerana pilihan kita banyak. Pastinya, gaji juga akan naik sebab permintaan itu ada terhadap pekerja berkemahiran tinggi.
YB ada nyatakan yang kerajaan belum berhasrat menandatangani Perjanjian Artemis membabitkan program penerokaan angkasa antarabangsa yang diterajui Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat (AS). Apa sebenarnya dah jadi dengan Program Angkasawan kita?
Memang belum ada pelan untuk menandatangani perjanjian itu. Fokus kita kini adalah dalam teknologi angkasa dan kita tidak letak sasaran untuk hantar angkasawan. Kita lebih berminat dari segi teknologi itu seperti GPS, satelit, remote sensing, komunikasi dan seumpamanya. Kita lebih berminat kepada teknologi itu dan mungkin kepada pelancar satelit daripada menghantar angkasawan.
Penekanan kita sekarang bukan pada angkasawan tetapi sangat berhasrat untuk membangunkan teknologi angkasa. Dalam LIMA 2023 kali ini, buat kali pertama Mosti melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) menerajui Space Tech Nexus. Ini adalah pembangunan yang sangat positif, sekurang-kurangnya orang akan memberikan perhatian kepada teknologi angkasa. Dalam LIMA 2023 juga, kita ada banyak program yang membincangkan tentang teknologi terkini tentang angkasa.
Dulu kita ada pakar angkasa lepas yang hebat seperti Tan Sri Mazlan Othman yang juga berperanan melahirkan angkasawan negara pertama, Datuk Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie. Apakah kita tidak beriltizam melahirkan lebih ramai angkasawan?
Setakat ini, belum ada projek untuk melahirkan seorang lagi angkasawan tetapi saya rasa, misi sebelum ini sudah tercapai iaitu menarik minat orang ramai tentang teknologi angkasa. Sebenarnya, Tan Sri Mazlan masih bekerja dengan kita selaku Felo Akademi Sains Malaysia (ASM). Saya yakin, selain daripada projek angkasawan, kita ada banyak lagi bidang yang boleh difokuskan dalam teknologi angkasa ini.
Bagaimana dengan peranan Akademi Sains Malaysia?
Kita baru sahaja melantik Felo Kanan ASM, Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim sebagai Presiden ASM keenam. Saya yakin, sebagai seorang saintis terkemuka, akademi ini akan terus memainkan peranan penting terutamanya sebagai penasihat sains kepada Perdana Menteri. Akademi ini memang memainkan peranan sebagai sebuah badan pemikir atau think tank di bawah Mosti yang banyak menawarkan pendapat atau nasihat berkaitan pembangunan STI dalam negara serta banyak menghasilkan laporan dan hala tuju dalam bidang-bidang tertentu.
Malaysia dikatakan akan mengeluarkan vaksin sendiri menjelang 2030 sebagai usaha kesiapsiagaan negara dalam menghadapi pandemik pada masa akan datang. Bagaimana dengan projek pembangunan ekosistem vaksin tempatan?
Sebenarnya, untuk membangunkan vaksin manusia, kita masih belum ada kapasiti itu. Kita perlu bangunkannya dengan bekerjasama, dan bantuan multi-nasional korporat seperti Pfizer dan Sinovac. Apa yang penting adalah kita ada pemindahan teknologi dan kena ada syarikat tempatan yang boleh mengambil bahagian dalam pembangunan itu. Saya yakin, menjelang 2030, kita akan dapat mencapai matlamat untuk membuat vaksin manusia. Selepas itu, barulah ekosistem itu akan lengkap.
Apa pendirian kerajaan terhadap AI (teknologi kecerdasan) dalam kerancakan dunia mengadaptasi teknologi AI? Sektor apa yang dirasakan sangat perlu kepada teknologi tersebut ketika ini?
Saya rasa, AI adalah satu teknologi yang sangat bagus dan membantu dalam menggerakkan STI ke depan. Saya yakin, dengan adanya teknologi ini, banyak industri yang dapat dipertingkatkan.
Sebagai contoh dalam sektor pertanian, dengan adanya AI iaitu machine learning, algoritma itu akan membuat kiraan sendiri berapa jumlah air dan baja yang diperlukan tumbuhan itu. Ia akan buat kiraan sendiri dan memang akan membantu kita dari segi penjimatan, bilangan hasil dan produktiviti.
Itu adalah kebaikan AI tetapi pada masa sama, kita perlu berhati-hati sebab AI juga boleh mendatangkan masalah kepada masyarakat jika kita tak menggunakannya dengan berhati-hati.
Contohnya, ChatGPT adalah teknologi tipikal AI. Kalau sebagai seorang yang matang, kita tahu bagaimana nak menggunakannya untuk membantu kehidupan harian. Tapi, katakan ada pelajar yang belum matang dan percayakan apa yang ChatGPT katakan, dia akan percaya itu semua adalah kebenaran dan akhirnya mungkin akan ada masalah. Itu sebabnya kita perlu berwaspada apabila bangunkan AI dan perlu ada regulasi untuk teknologi AI. Sekarang ini di peringkat antarabangsa, kita sedang bincang tentang bagaimana nak gunakan AI dengan cara yang beretika iaitu Etika AI.
Apa pandangan YB tentang minat sains dalam kalangan pelajar kita? Adakah kita ada satu dasar sains negara dalam konteks meletakkan Malaysia selari dengan negara yang menekankan sains dan teknologi?
Saya rasa, tahap minat pelajar kita masih tidak memuaskan sebab untuk sains tulen, daripada sekolah menengah nak masuk ke universiti, pelajar sains tulen hanya ada sekitar 19 peratus, STEM (Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi) ada lebih 40 peratus. Tapi, ia agak tidak memuaskan kerana untuk menjadi negara berteknologi tinggi, kita perlu bakat yang ramai.
Memang kita ada dasar sains negara iaitu Dasar Sains, Teknologi, Inovasi Negara (DSTIN) 2021- 2030, cuma bagaimana nak menarik minat itu adalah satu cabaran untuk semua termasuk Mosti, KPM dan KPT. Itu perlukan usaha daripada semua pihak.
Boleh YB terangkan perkembangan Ruang Daya Cipta (RDC) yang dikatakan sangat mendapat sambutan ketika ini?
RDC ini lebih kurang seperti mini Pusat Sains Negara. Dalam RDC itu, kita akan bawa teknologi yang boleh menarik minat anak muda dan seterusnya mengurangkan jurang pengetahuan STI antara kawasan desa dan bandar. Biasanya bila kita wujudkan RDC, kita akan masukkan drone, 3D printer, ada robotik dan komputer untuk mereka belajar IOT. Kita juga ada studio supaya apabila ada orang kampung berminat untuk membuat perniagaan secara e-commerce, kita boleh bantu mereka. Setakat ini, memang ia mendapat sambutan yang cukup baik daripada penduduk tempatan.
RDC ini biasanya tidak dibuat di kawasan bandar tetapi di desa, yang mana pendedahan mereka kepada STI mungkin kurang sedikit. Selain mempamerkan peralatan yang ada, kita juga ada program-program untuk membantu orang tempatan mempelajari macam mana mereka boleh gunakan teknologi, katakan seperti dron. Kita ada satu RDC yang mana di kawasan itu ada ramai petani. Kita boleh adakan kelas kepada petani, bagaimana nak gunakan dron untuk membantu dalam kerja-kerja harian mereka seperti menyiram pokok, menyembur racun dan membaja.
RDC kita bukan hanya untuk pameran tapi ada juga kapasiti membina dan melatih. Saya rasa, ini membantu dalam menarik minat orang ramai terhadap STI. Itulah tempatnya mereka menyedari bahawa STI sangat berkaitan dengan kehidupan harian mereka. RDC ini telah bermula kira-kira dua tahun lalu dan untuk tahun ini, memang kami berhasrat untuk mewujudkan 10 lagi RDC. Jika kita dapat kerjasama daripada kerajaan negeri atau mana-mana wakil rakyat, mungkin kita boleh perbanyakan lagi. Satu RDC memakan belanja sehingga RM300,000. Jika ada kerajaan negeri yang sudi, kita boleh berkongsi peruntukan untuk bina lebih banyak RDC.
Apa yang YB mahu Mosti capai sekurang-kurangnya akhir tahun ini?
Ada beberapa perkara, pertamanya adalah RDC. Saya harap, menjelang hujung tahun ini, kita boleh sediakan 10 RDC di seluruh negara. Keduanya, saya harap kita boleh melaksanakan program-program promosi yang sebelum ini agak berjaya seperti Minggu Sains Negara. Ia sangat popular dan banyak program kesedaran STI. Ketiga, Techlympics yang sangat berjaya pada tahun lepas dan kita harap ia akan berjaya dilakukan pada tahun ini juga.
Selain itu, MyHackathon yang juga merupakan salah satu program flagship kita untuk membantu agensi kerajaan atau syarikat korporat dengan penyelesaian yang diberikan oleh inovator-inovator kita.
Itu adalah antara beberapa perkara yang saya harap dapat lakukan dan semua program itu berkait rapat dengan promosi STI. Program-program ini juga diharap dapat betul-betul menarik minat anak-anak muda terhadap bidang STI.
PROFIL
Nama: Chang Lih Kang
Tarikh lahir: 23 Oktober 1980
(43 tahun)
Asal: Ipoh, Perak
Isteri: Zhuang Li Zhen
Anak: 2 orang
Jawatan:
Menteri Sains, Teknologi & Inovasi
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat
Ahli Parlimen Tanjong Malim
Kelulusan:
Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Universiti Putra Malaysia
Sarjana Pentadbiran Awam, Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, Universiti Kebangsaan Singapura
Klik di sini untuk terus membaca