PADA 27 Ogos 2022, satu perhimpunan Taklimat Khas Presiden UMNO melibatkan 3,000 perwakilan parti itu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur telah diadakan sebagai solidariti menuntut keadilan terhadap bekas Perdana... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 27 Ogos 2022, satu perhimpunan Taklimat Khas Presiden UMNO melibatkan 3,000 perwakilan parti itu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur telah diadakan sebagai solidariti menuntut keadilan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kempen solidariti ditunjangi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ekoran bekas Ahli Parlimen Pekan itu gagal menangguhkan rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC International) tahun lalu.

Perhimpunan itu secara jelas menjadikan modal Najib sebagai subjek utama UMNO bagi menaikkan semangat lebih tiga juta ahlinya di seluruh negara dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Secara tersiratnya, taklimat khas berkenaan telah dijadikan platform pucuk kepimpinan UMNO bagi memberi tekanan terhadap Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk segera membubarkan Parlimen.

Kini selepas enam bulan perhimpunan itu diadakan, nasib Najib masih lagi tidak berubah walaupun UMNO sudah menjadi sebahagian parti Kerajaan Perpaduan pasca PRU15.

Bahkan, sebilangan penyokong Najib seolah-olah kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan ‘Bossku’ iaitu gelaran popular kepada Najib untuk menyemak semula keputusan mahkamah sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Lima panel hakim yang bersidang melibatkan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang serta Datuk Nordin Hassan termasuk Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dengan keputusan 4-1.

Keputusan terkini mahkamah terhadap kes Najib hakikatnya tidak perlu dipertikaikan lagi memandangkan empat daripada lima panel hakim bersidang memutuskan Najib telah ‘menulis’ nasib malangnya sendiri susulan tindakan pasukan peguam bela beliau menarik diri sewaktu kes rayuan akhir perbicaraan.

Akur keputusan itu, seorang ketua UMNO bahagian bagaimanapun mempersoalkan komitmen pucuk kepimpinan parti berkenaan yang sebilangan besarnya menjadi menteri kabinet kerajaan Madani, dalam memastikan Najib mendapat perbicaraan adil di mahkamah.

Bagi Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, beliau mempersoalkan kehilangan suara pemimpin-pemimpin UMNO termasuk Ahmad Zahid yang menganjurkan himpunan solidariti menyokong Najib tahun lalu itu.

Beliau turut membangkitkan tentang hujah seorang hakim iaitu Abdul Rahman yang berpendapat bahawa keputusan yang wajar diberikan terhadap Najib adalah dibebas dan dilepaskan.

Dalam alasan penghakiman bertulis setebal 78 muka surat, nampak jelas baginya bahawa telah berlaku penyelewengan keadilan apabila Najib telah dinafikan daripada hak mendapat perbicaraan yang adil.

"Jadi saya minta Datuk Seri Azalina Othman Said mengambil peduli dan jangan bersikap lepas tangan terhadap alasan penghakiman bertentangan diberikan Abdul Rahman.

"Azalina yang kini dilantik Ketua Penerangan UMNO juga perlu bersidang dengan panel tertinggi institusi kehakiman negara untuk membincangkan langkah terbaik memastikan sebarang dakwaan terhadap kredibiliti hakim yang terlibat dalam perbicaraan kes Najib perlu diteliti sepenuhnya.

"Sebagai contoh, terdapat laporan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang terlibat dalam perbicaraan kes Najib, sudah dikemukakan kepada Ketua Hakim Negara berhubung pelanggaran peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009.

"Sehingga kini, saya mempersoalkan mengapa Mohd Nazlan masih tidak didakwa di mahkamah? Azalina dan pucuk kepimpinan UMNO tidak boleh berdiam diri begitu sahaja kerana merekalah individu yang paling lantang melaung-laungkan desakan pembebasan Najib dahulu,” tegasnya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Armand Azha (kiri) dan Anis Anwar.
Armand Azha (kiri) dan Anis Anwar.

TAMPARAN HEBAT

Sementara itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Zaid Ibrahim mengakui keputusan terkini rayuan semakan kehakiman kes Najib yang ditolak Mahkamah Persekutuan sememangnya memberi tamparan hebat kepada penyokong figura politik popular itu.

"Saya fikir perkembangan terkini nasib Najib menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong beliau disebabkan kerajaan masih tidak mengemukakan respons terhadap isu pokok membicarakan status dan kredibiliti hakim yang mengadili kes Bossku itu.

"Selain itu, tindak-tanduk Ketua Hakim Negara dan kerajaan yang dilihat tidak melakukan apa-apa setelah laporan SPRM terhadap Mohd Nazlan dikemukakan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki lima minggu lebih awal daripada tarikh perbicaraan rayuan semakan kehakiman kes Najib, juga menimbulkan 1,001 persoalan.

"Sekiranya laporan SPRM itu diberi perhatian dengan panel lima hakim dimaklumkan status siasatan terhadap Mohd Nazlan, mungkin pertimbangan kehakiman berbeza akan dikemukakan mereka.

"Secara keseluruhannya, saya tidak hairan sebilangan besar penyokong Najib mempunyai persepsi kerajaan tidak memberi jawapan sebaiknya terhadap isu-isu pokok yang menjamin hak perbicaraan adil untuk Najib,” jelas beliau.

Dalam pada itu, seorang penganalisis politik tidak menolak teori kemungkinan penyokong pro Najib kini sudah mula menilai kembali kepercayaan dan sokongan mereka terhadap barisan kepimpinan UMNO yang selama ini dianggap memperjuangkan keadilan untuk Bossku.

"Golongan akar umbi penyokong Najib sedar bahawa institusi kehakiman perlu dihormati tetapi mereka kesal dengan tiadanya usaha pemimpin UMNO dan kerajaan membersihkan kembali pelantikan dalam badan tersebut.

"Natijahnya, perkembangan terkini kes Najib mungkin mendorong penyokong beliau untuk mengambil pendirian tunggu dan lihat serta memperlahankan aktiviti mempertahankan dasar dan populariti kerajaan semasa,” ujar Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi.

Sehubungan itu, beliau berpandangan sekiranya perkembangan trend sebegini tidak ditangani dengan berkesan oleh pimpinan UMNO khususnya dan kerajaan amnya, kelompok penyokong Najib dijangka mengambil sikap berpeluk tubuh dan berada di rumah sebagai signal protes dan tidak keluar membantu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri kelak.

"Dengan golongan Melayu atas pagar dilihat masih belum beralih arah dari corak PRU15 dan terdapat trend peralihan sentimen penyokong Najib, Kerajaan Perpaduan mungkin berdepan cabaran besar memenangi PRN enam negeri dengan pembangkang dijangka mendapat kelebihan politik,” tambah beliau.

Klik di sini untuk terus membaca