SHAH ALAM - Kumpulan doktor kontrak tidak boleh ‘dipersalahkan sepenuhnya’ apabila melancarkan mogok di seluruh negara selama tiga hari bermula Isnin. Menurut seorang doktor yang akan sertai mogok tersebut, kegagalan kerajaan dalam... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kumpulan doktor kontrak tidak boleh ‘dipersalahkan sepenuhnya’ apabila melancarkan mogok di seluruh negara selama tiga hari bermula Isnin.

Menurut seorang doktor yang akan sertai mogok tersebut, kegagalan kerajaan dalam mengenal pasti masalah pegawai perubatan kontrak menyebabkan pihaknya bertindak sedemikian.

Maklum sumber itu kepada Sinar Harian, mereka sudah memberikan '300 peratus' dalam melaksanakan tugas sebagai benteng pertahanan kesihatan buat negara.

"Dalam hal ini, sebenarnya doktor tidak boleh dipersalahkan.

"Kami penat bekerja, namun masih lagi berlaku penindasan tanpa dibela.

"Apabila kerajaan gagal mendengar permasalahan kami, makanya situasi ini memberi kesan kepada industri kesihatan seperti mengadakan mogok,” katanya.

Terdapat desas-desus berlangsungnya mogok doktor kontrak selama tiga hari yang berakhir pada Rabu ini dan laman Instagram DoctorsMalaysia menggesa doktor kontrak seluruh negara tampil menyertainya atau meletak jawatan secara beramai-ramai.

Tegasnya lagi, pelbagai cadangan dan idea yang dilontarkan seperti menaikkan kadar 'on call', penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan serta menambah kakitangan bagi meringankan beban petugas kesihatan.

"Namun sejak dari dahulu lagi, ia hanyalah perbincangan tanpa ada sebarang tindakan. Kerajaan dilihat tiada iltizam sama sekali untuk merealisasikan hal ini.

"Masih banyak perkara yang perlu dilakukan oleh kerajaan terutamanya dalam usaha meringankan beban kami setimpal dengan gaji diberikan,” ujarnya.

Beliau turut berpandangan, perkhidmatan yang baik dapat diberikan kepada rakyat sekiranya kerajaan turut membela nasib doktor kontrak.

Sementara itu, seorang wakil daripada kumpulan doktor kontrak menjelaskan, mogok tetap diteruskan meskipun selepas kabinet bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu dihadapi mereka.

Memetik laporan Astro Awani pada Sabtu, seorang wakil daripada kumpulan di sebalik akaun Instagram @mogokdoktormsia berkata, sudah banyak jawatankuasa dan sesi pertemuan diadakan tetapi masalah tidak lagi diselesaikan.

"Kami dah kecewa dan hilang kepercayaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Masalah tidak lagi diselesaikan dengan seramai 83 peratus doktor kontrak tidak diberikan jawatan tetap baru-baru ini,” kata wakil tersebut yang dikenali sebagai Dr Jamal.

Beliau yang mendakwa bekerja sebagai seorang pegawai perubatan kontrak di ibu negara, menganggarkan antara 10,000 dan 13,000 petugas kesihatan dijangka menyertai mogok itu dalam tempoh tiga hari bermula 3 hingga 5 April.

Katanya, petugas kesihatan dari serata negara telah menyatakan minat untuk menyertai mogok itu, kebanyakannya di Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru agar rakyat mendapatkan perkhidmatan di klinik atau hospital swasta sepanjang tempoh tersebut.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan berkata, mogok bukan suatu jalan penyelesaian terbaik bagi menangani sebarang masalah berkaitan pegawai perubatan.

Justeru, pada 31 Mac, jemaah kabinet bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang menggabungkan beberapa kementerian dan agensi termasuk Ketua Setiausaha Negara bagi menangani isu doktor kontrak.

INFO GERAKAN MOGOK DOKTOR MALAYSIA

- Dianggarkan seramai 8,000 daripada kira-kira 20,000 pegawai perubatan kontrak (MO) akan menyertai mogok.

- Dijangka diadakan selama tiga hari bermula 3 April hingga 5 April 2023.

- Mogok doktor Malaysia membuat enam tuntutan.

- Kabinet bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi pada 31 Mac bagi menangi isu doktor kontrak.

Klik di sini untuk terus membaca