SHAH ALAM - Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) mencadangkan kerajaan menarik balik atau menangguhkan dahulu pelaksanaan pengecualian produk cecair atau gel nikotin daripada Akta Racun 1952. Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) mencadangkan kerajaan menarik balik atau menangguhkan dahulu pelaksanaan pengecualian produk cecair atau gel nikotin daripada Akta Racun 1952.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata, walaupun pengecualian itu telah diwartakan, pelaksanaannya masih boleh ditangguhkan sehingga Akta Kawalan Produk Tembakau dan Merokok dibentangkan dan diluluskan di Dewan Rakyat.

Katanya, ia kerana jika tiada lagi kawalan, cecair vape boleh ditambah dengan apa saja bahan terlarang yang seterusnya meningkatkan risiko berlakunya penyalahgunaan dadah atau bahan terlarang lain sekali gus akan mengakibatkan kes ketagihan dadah menjadi lebih parah.

"Sekiranya tiada kawalan terhadap paras nikotin dalam cecair vape juga, paras nikotin boleh menjadi sangat tinggi. Sekarang telah ada di pasaran vape yang mengandungi paras nikotin sehingga 50 miligram per mililiter (mg/ml) jadi risiko keracunan dan ketagihan akan meningkat.

"Selain itu, ketiadaan kawalan terhadap bahan perisa dan bentuk peranti vape juga boleh menarik perhatian kanak-kanak.

"Ketika ini sudah ramai kanak-kanak yang sudah mula menghisap vape di luar sana dan gejala Ini menjadi satu masalah besar pada pihak sekolah bila ia berlaku di kawasan sekolah. Ia sukar dikesan oleh pihak sekolah maka telah wujud kluster penghisap vape baharu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Kerajaan dilaporkan mengeluarkan produk cecair atau gel nikotin daripada Akta Racun 1952 dan mengenakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik (e-rokok) pada kadar 40 sen setiap ml berkuat kuasa 1 April.

Notis pewartaan kerajaan persekutuan itu dikeluarkan pada Sabtu oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ditanya lanjut tentang keputusan kerajaan mewartakan perkara itu lebih awal tanpa sempat akta baharu berkaitannya digubal, Amrahi berkata, keadaan itu sangat mendukacitakan.

"Pewartaan pengecualian produk cecair atau gel nikotin daripada Akta Racun 1952 ini telah dilakukan dengan tergesa-gesa. Sepatutnya ia dilakukan secara tertib dan teratur demi kepentingan semua pihak yang terlibat.

"Akibat keputusan ini, vape ini tidak dikawal oleh mana-mana akta dan peraturan-peraturan seperti rokok biasa. Maka tiada kawalan langsung terhadap bahan nikotin yang bersifat racun,” tegasnya.

Berikutan itu, Amrahi mengesyorkan pewartaan pengecualian produk cecair atau gel nikotin daripada Akta Racun 1952 ditangguhkan sehingga Dasar Generasi Penamat (GEG) dilaksanakan untuk menghentikan ancaman ketagihan nikotin demi kebaikan generasi akan datang.

"Bebaskan negara daripada ketagihan nikotin yang merbahaya ini. Jadi penggubalan Akta Kawalan Produk Tembakau dan Merokok perlu disegerakan oleh kerajaan dan disokong oleh semua ahli Parlimen,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca