KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) digemparkan dengan isu kira-kira 8,000 pegawai perubatan kontrak di negara ini bakal mengambil keputusan untuk meletak jawatan secara beramai-ramai sebagai tanda protes dan mendesak kerajaan akur kepada... Klik di sini untuk terus membaca

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) digemparkan dengan isu kira-kira 8,000 pegawai perubatan kontrak di negara ini bakal mengambil keputusan untuk meletak jawatan secara beramai-ramai sebagai tanda protes dan mendesak kerajaan akur kepada beberapa tuntutan mereka.

Menurut akhbar harian Tamil, Malaysia Nanban, isu kontroversi melepaskan jawatan dalam kalangan pegawai perubatan itu sememangnya akan membawa implikasi agak serius kepada operasi kesihatan di hospital dan klinik kerajaan.

Malaysia Nanban menegaskan pihak KKM dan kerajaan wajar membuka ruang untuk melaksanakan tuntutan dan mendengar luahan para doktor itu bagi mengelakkan impak buruk kepada sektor kesihatan tempatan.

Para doktor telah sekian lama mengetengahkan isu-isu dihadapi golongan itu antaranya implementasi pelantikan jawatan tetap kepada kesemua doktor kontrak tanpa sebarang syarat atau temu duga dan kenaikan gaji pokok serta kadar elaun 'on call' yang lebih tinggi.

Mereka juga meminta solusi untuk masalah kekurangan doktor pakar dan pengurangan secara automatik dalam tempoh perkhidmatan wajib bagi pegawai perubatan kepada tiga tahun.

Selain itu, desakan turut melibatkan pengurangan waktu panggilan dan kerja untuk doktor dan pegawai rumah serta waktu panggilan tidak boleh melebihi enam kali sebulan dan waktu bekerja perlu dihadkan kepada 60 jam seminggu.

Malaysia Nanban berkata, tuntutan-tuntutan itu bagaikan terbiar begitu sahaja tanpa sebarang jalan penyelesaian yang muktamad sehingga hari ini.

Sedangkan pada fasa pandemik Covid-19, golongan doktor itu pernah mengadakan mogok untuk menyedarkan pihak berkuasa untuk mengambil langkah penyelesaian terbaik.

Bagaimanapun senario pada kali ini pula menyebabkan 8,000 daripada 20,000 doktor bertindak secara ekstrem untuk meletak jawatan secara beramai-ramai di mana 3,000 akan melepaskan kerja mereka pada 1 April selebihnya pula tidak akan hadir bekerja dari 3 hingga 5 April ini.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi harapan baharu kepada golongan doktor berkenaan dengan menyatakan pihak kerajaan perpaduan memerlukan tempoh kira-kira tiga tahun untuk menyelesaikan isu dan tuntutan itu.

Anwar juga telah memberi jaminan seramai 1,500 doktor kontrak ditawarkan jawatan tetap.

Jelas Anwar, isu pelantikan tetap doktor kontrak itu sukar diselesaikan dalam tempoh setahun kerana jika kerajaan bertindak terburu-buru dan menawarkan pelantikan jawatan tetap kepada kesemua doktor, ia akan membebankan ekonomi negara.

Dalam pada itu, Malaysia Nanban berpendapat, golongan doktor itu terpaksa mendesak kerajaan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka disebabkan warga perubatan itu berasa kesetiaan, kepercayaan, kelayakan akademik dan usaha murni tidak mendapat penghargaan setimpal.

Sebaliknya, golongan itu saban hari dibebankan dengan longgokkan kerja yang menjangkau kapasiti fizikal dan intelek mereka. Kini Malaysia semakin kehilangan pakar perubatan dan ramai doktor mula berhijrah ke luar negara untuk menjana pendapatan dan 'penghormatan' yang lebih baik.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor.

Klik di sini untuk terus membaca