PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan kejutan apabila Pas menerusi calonnya Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor berjaya merampas kerusi Parlimen Ketereh yang sebelum ini dimenangi oleh BN selama dua penggal.
Walaupun kali pertama melangkah masuk ke Dewan Rakyat, bekas pegawai tinggi tentera ini lantang memperjuangkan nasib bekas-bekas perajurit yang telah berbakti kepada negara sebelum ini selain membangkitkan isu-isu melibatkan kepentingan rakyat serta pengundi di kawasan beliau.
Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, HAZELEN LIANA KAMARUDIN bersama Khlir baru-baru ini.
SINAR HARIAN: Apakah harapan rakyat di Ketereh selepas Datuk dipilih sebagai wakil rakyat?
KHLIR: Sebenarnya banyak harapan yang disuarakan oleh rakyat di Parlimen Ketereh terutama golongan muda dan tua melibatkan aspek kebajikan dan kemudahan infrastruktur. Sebagai ahli Parlimen, saya akan cuba menunaikan tanggungjawab yang diberikan dalam menentukan kawasan Ketereh mendapat segala-segalanya. Saya akan menggunakan platform yang ada untuk berjuang bagi memastikan mereka berpuas hati, selain menjadi suara rakyat Ketereh.
Tan Sri Annuar Musa cukup sinonim dan bekerja membela rakyat Ketereh.
SINAR HARIAN: Sebagai wakil rakyat baharu, adakah ini memberi tekanan kepada Datuk untuk berkhidmat?
KHLIR: Saya tidak melihat perkara itu sebagai satu tekanan, malah lebih bersemangat lagi untuk berkhidmat kepada rakyat. Walaupun sekarang ini saya berdepan dengan masalah peruntukan yang langsung tidak diberikan, tetapi akan cuba berhabis-habisan untuk membantu rakyat. Berbeza dengan semasa Annuar menjadi ahli Parlimen, pelbagai peruntukan diberikan. Ketereh antara kawasan yang sarat dengan pusat ilmu (matrikulasi, politeknik, kolej komuniti, Giat Mara Premium).
SINAR HARIAN: Apa lagi nafas baharu yang mahu disuntik oleh Datuk?
KHLIR: Memang tidak dinafikan banyak (perubahan) yang telah dibawa oleh Annuar kepada Parlimen Ketereh sehingga digelar sebagai koridor ilmu. Tetapi bagi saya, ada beberapa perancangan baharu yang akan cuba diketengahkan untuk memberi manfaat kepada rakyat antaranya pusat rekreasi dan stadium mini yang lengkap dengan pelbagai kemudahan bagi memudahkan mereka beriadah serta meluangkan masa dengan bermanfaat. Malah Ketereh juga dilihat berpotensi sebagai tempat pelancongan bersejarah. Semua ini akan saya cuba ketengahkan.
SINAR HARIAN: Bagaimana Datuk melihat keadaan bekas tentera pada masa ini?
KHLIR: Rata-rata bekas tentera termasuk dalam golongan B40 dan ke bawah. Tetapi sekarang ini saya telah menyuarakan perkara tersebut kepada pihak tertentu terutamanya Kementerian Pertahananan mengenai bekas tentera yang hidup dalam daif dan mundur. Oleh itu, saya cuba berusaha memohon kerajaan agar membantu mereka terutama dalam menyelesaikan isu pengurusan pencen yang sudah hampir 10 tahun tidak diselesaikan.
SINAR HARIAN: Apa perkara paling penting yang boleh dilakukan untuk membela nasib mereka?
KHLIR: Sekarang ini tanggungjawab diberi kepada Hal Ehwal Veteran, jadi kalau kita tengok belanjawan 2023 telah bertambah lebih RM26 juta untuk dibelanjakan bagi membantu veteran tentera. Saya akan menggesa jabatan tersebut agar mereka lebih prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh golongan ini.
SINAR HARIAN: Bagaimana Datuk melihat Pas sebagai pembangkang yang berwibawa pada ketika ini?
KHLIR: Perjalanan Pas dalam arena politik negara bukan baharu. Pas sudah lama bertapak di Malaysia, malah sudah masak dengan arena politik negara. Pas berjaya melaksanakan tugas dengan baik di Parlimen dan sekarang ini menyertai Perikatan Nasional (PN). Saya rasa PN akan menang lebih besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Jun ini.
SINAR HARIAN: Datuk sering dilihat beremosi ketika bercakap di Parlimen, mengapa begitu?
KHLIR: Saya ini seorang veteran tentera yang telah bertugas selama 40 tahun. Sudah tentu semangat dan darah tentera menebal dalam diri terutama apabila ada pihak mencabar saya dalam hal melibatkan tentera. Saya tidak akan berkompromi tentang perkara itu kerana jasa bekas tentera kepada negara cukup besar. Jadi jangan cuba mempertikaikan apa jasa bekas tentera kepada negara.
PROFIL
Nama: Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor
Asal: Ketereh
Status: Berkahwin dan mempunyai lapan orang anak.
Kelulusan: Diploma Pengajian Strategik dan Pertahanan, Universiti Malaya (1995)
Jawatan:
- Ahli Parlimen Ketereh
- Pemerhati Tentera (UNIMOG), Iraq (15 Ogos 1988-26 Februari 1989)Tim Pemantau Antarabangsa, Filipina (10 September 2004-14 Ogos 2005)
- Ketua Penolong Pengarah MTCBO (Malaysia/Thailand Border Coordination Office), Thailand (1 Februari-28 Februari 2007), Penasihat Pertahanan, Filipina
(1 Mac 2007-16 Februari 2009)
Klik di sini untuk terus membaca