UNITED Kingdom (UK) bukan sekadar destinasi beli-belah, tetapi kotanya seperti London, Oxford, Bath dan Wales adalah destinasi impian peminat buku seantero dunia. Bagi mereka, tiada yang lebih membahagiakan daripada menghirup kopi panas di celah timbunan buku yang menanti diteroka. Bagi ulat buku, UK adalah syurga!
Kemajuan sesebuah negara dan kehebatan budaya membacanya tidak dapat dipisahkan. Apatah lagi bagi masyarakat benua Eropah yang pernah berabad-abad sengsara dalam kegelapan zaman pertengahan.
"Tunjukkan padaku satu keluarga yang cinta membaca, dan akan aku tunjukkan padamu orang-orang yang mampu mengubah dunia.” - Napoléon Bonaparte
Sejarah benua ini menunjukkan, buku yang mengandung pelbagai ilmu bukan sekadar mengubat bodoh dan menghilang derita, malah ia seperti ‘kuasa sakti’ yang membolehkan mereka menakluki dunia.
Kerana pernah merasa deritanya kebodohan, sehingga hari ini mereka begitu komited mengekalkan budaya membaca. Masyarakat Eropah terus memegang rekod ulat buku kedua terbesar di dunia. Budaya membacanya dibentuk secara sistematik. Ibu bapa mula membacakan buku cerita seawal anak dalam kandungan. Di sekolah, sesi membaca buku bersama guru paling dinantikan si kecil.
Membaca juga dianggap suatu kemahiran penting untuk dikuasai. Di UK misalnya, membaca bukan sekadar untuk mendapatkan maklumat. Ia merangkumi keupayaan mendalami teks, menganalisis maklumat serta membincangkan secara kritis bahan yang dibaca.
Mereka ada mata pelajaran Reading di sekolah rendah dan menengah. Golongan terpencil tidak ditinggalkan. Terdapat banyak NGO yang aktif mengumpul dan mengedar buku kepada keluarga miskin, pesakit di hospital dan banduan di penjara. Mereka percaya manusia hanya dapat keluar daripada kesengsaraan dengan membaca.
Pada tahun 2020, terdapat 3,667 perpustakaan awam dengan 345 juta transaksi fizikal atau online direkodkan di UK. Ini termasuk Perpustakaan British, yang tersenarai dalam 10 perpustakaan terbesar di dunia.
Ia menempatkan lebih 150 juta bahan bacaan dalam pelbagai medium termasuklah buku digital yang kian diminati. Dengar cerita, kita boleh menemukan koleksi 100 jilid dan lebih 300 manuskrip dari Tanah Melayu di sana.
Bagi pelajar universiti atau kolej di sekitar London pula, tidak sedikit yang mengambil peluang menjelajah dan meneroka bahan bacaan yang tersedia di perpustakaan universiti sekitar mereka. Cukuplah dengan sekali pendaftaran ke sistem SNOCUL.
Kedai-kedai bukunya juga begitu menggiurkan. Antara yang popular, Hatchards Bookshop di Piccadiliy Circus yang merupakan kedai buku tertua di London, beroperasi sejak 1797.
Namun, bagi peminat buku, Cecil Court, sebuah lorong terpencil di pinggir kesibukan Leicester Square lebih menghiburkan. Dikenali sebagai Bookseller’s Row, ia menempatkan lebih 20 kedai buku terpakai pelbagai genre merentas zaman. Dengan reka bentuk kedainya, Cecil Road mampu membawa anda pulang ke zaman silam. Ia adalah Diagon Alley bagi peminat Harry Potter.
Namun, seperti kebanyakan negara, mengekalkan budaya membaca pada era digital ini kian mencabar walau UK sudah ada segala yang diimpi pencinta buku. Statistik membaca di UK merekodkan penurunan membimbangkan terutama dalam kalangan pembaca berusia bawah 18 tahun.
Kajian oleh National Literacy Trust pada 2022, 50 peratus responden berusia lapan hingga 18 tahun merasakan membaca buku itu sesuatu yang membosankan. Lebih membimbangkan, kurang tiga daripada 10 responden mengatakan mereka membaca setiap hari. Aktiviti membaca kekal popular dalam kalangan orang dewasa.
Mereka menghabiskan sekurang-kurangnya satu jam sehari. Jika di dalam kenderaan awam atau di kafe sekitar UK, kita akan lihat generasi X dan Y lebih ramai yang menelaah bahan bacaan bercetak atau digital. Generasi Z pula lebih leka bermain game atau melayari media sosial.
Ironinya, kerajaan UK dilihat kurang berminat untuk mengekang trend ini dari berterusan. Sebagai contoh, akibat pengurangan 30 peratus peruntukan daripada kerajaan mulai 2010, UK menyaksikan penutupan sekurang-kurangnya 773 perpustakaannya. Bagi yang masih beroperasi, mereka terpaksa mendapatkan dana daripada pertubuhan, badan korporat da NGO.
Tidaklah dapat dipastikan bagaimana pula kita di Malaysia. Dengan purata kita duduk di kedai makan lebih lama setiap hari, dan hanya tiga jam membaca setiap minggu, mungkin semakin sukar untuk kita jumpa ulat buku di tempat kita. Yang lebih banyak kita jumpa mungkin ulat dadah atau ulat buah saja.
* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca