SUDAH sampai masanya bagi kerajaan memperkenalkan semula moratorium kepada semua rakyat yang memerlukan terutamanya yang berhadapan dengan masalah kewangan ketika ini.
Perkara ini pernah dilaksanakan oleh kerajaan Perikatan Nasional dan telah memberi impak positif kepada rakyat.
Penulis berpandangan situasi hari ini tidak banyak bezanya dengan keadaan semasa Covid-19 apabila rakyat berhadapan dengan tekanan ekonomi.
Bahkan keadaan sekarang sebenarnya lebih kritikal jika dilihat tekanan luar biasa yang dihadapi oleh rakyat ekoran kenaikan harga barang.
Terbaharu, berdasarkan maklumat daripada Bank Negara Malaysia menerusi Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2022, rakyat Malaysia yang tidak mengikut jadual bayaran balik pinjaman terus meningkat disebabkan pelbagai faktor termasuk peningkatan kos sara hidup.
Tahun ini keadaan mungkin lebih mencabar. Bahkan kesan daripada peningkatan kadar dasar semalaman (OPR) tahun lalu juga boleh memberikan lebih banyak tekanan kepada peminjam.
Selain peningkatan berterusan jumlah rakyat yang tidak mengikut jadual bayaran balik pinjaman, kuasa membeli pengguna juga berpotensi berkurangan disebabkan pengguna terpaksa menggunakan pendapatan yang ada untuk menampung kenaikan kos sara hidup selain cuba membuat bayaran pinjaman bulanan yang lebih tinggi.
Apa yang lebih memeritkan adalah selepas rakyat menghadapi dilema untuk memperuntukkan lebih banyak pendapatan mereka bagi membayar pinjaman, mereka juga perlu lebih berjimat untuk perbelanjaan lain ekoran kenaikan mendadak harga barang.
Persoalannya, bagaimana keadaan akan menjadi lebih baik jika rakyat memperoleh pendapatan yang hampir sama dan dalam masa yang sama perlu membayar kadar pinjaman yang lebih tinggi serta membeli barangan keperluan harian yang semakin mahal?
Secara rasionalnya, tentu akan ada perbelanjaan yang akan dikorbankan. Ketika ini, ia kelihatan seperti sebahagian bayaran balik pinjaman terpaksa menjadi mangsa demi kelangsungan hidup.
Tiga bulan berturutan yang kritikal iaitu bulan Mac, April dan Mei ini, rakyat Malaysia berbelanja lebih daripada kebiasaan, bermula dengan sesi persekolahan yang menelan belanja yang tinggi, ia disambung pula dengan persiapan bulan puasa dan seterusnya persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Sebagai contoh, rata-rata perbelanjaan anak masuk ke sekolah telah menelan kos melebihi RM500 untuk seorang anak dan ini tidak termasuk kos tambahan lain yang terlibat seperti tambang bas sekolah yang juga meningkat.
Bayangkan keluarga yang mempunyai empat orang anak yang mana kos yang terlibat lebih RM2,000.
Bantuan Awal Persekolahan adalah sebanyak RM150 bagi seorang anak. Namun, disebabkan kenaikan mendadak harga barangan keperluan persekolahan maka perbelanjaannya meningkat secara signifikan dan ini amat membebankan sebahagian besar rakyat Malaysia terutamanya B40 dan M40.
Disebabkan tiga bulan yang amat mencabar ini dan peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang tidak mengikut jadual bayaran balik pinjaman, maka moratorium boleh diperkenalkan semula untuk membantu rakyat yang amat terbeban sekarang.
Sekurang-kurangnya moratorium secara bersasar boleh dilaksanakan antara tiga ke enam bulan untuk memberikan ruang kepada sebahagian rakyat untuk bernafas semula, seterusnya membolehkan mereka mengimbangi perbelanjaan dengan pendapatan yang diperoleh tanpa melibatkan bayaran balik pinjaman dalam tempoh tiga ke enam bulan.
Moratorium ini juga dapat membantu sebahagian rakyat untuk menyusun semula pendapatan dan perbelanjaan agar selepas tamat tempoh moratorium, maka perbelanjaan termasuk bayaran balik pinjaman dapat dilaksanakan secara teratur mengikut jadual yang ditetapkan.
* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca