SHAH ALAM - Proses penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) atau akta baharu yang dibentangkan di Parlimen kebiasaannya mengambil masa tidak lebih dari enam bulan untuk diluluskan dan diwartakan. Bagaimanapun, pakar undang-undang daripada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Proses penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) atau akta baharu yang dibentangkan di Parlimen kebiasaannya mengambil masa tidak lebih dari enam bulan untuk diluluskan dan diwartakan.

Bagaimanapun, pakar undang-undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood menjelaskan, proses itu turut bergantung kepada jenis undang-undang yang ingin dilaksanakan.

"Kalau undang-undang itu rumit, mungkin ia ambil masa yang agak lama tapi kalau (draf) undang-undang itu sudah siap sedia dan apabila dibentangkan di kabinet serta Jemaah Menteri pun tidak ada masalah, tiada bantahan, maka ia boleh (terus) dibentangkan di Dewan Rakyat.

"Katakan sesi ini dibentangkan dan setelah itu dibawa ke sesi Dewan Negara yang selalunya sama waktu dengan Dewan Rakyat, maka selepas diluluskan (dalam Dewan Negara) akan dipersembahkan pula kepada Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) untuk diperkenan.

"Saya rasa tidak ambil masa lebih dari enam bulan (dan), mungkin dalam tempoh dua hingga tiga bulan sudah diluluskan (diwartakan),” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tempoh masa diambil untuk proses penggubalan akta baharu berhubung dengan cecair atau gel mengandungi nikotin atau RUU baharu untuk mengawal selia produk dan peranti rokok.

Sementara itu, ditanya sama ada pewartaan pelaksanaan cukai dan pengecualian yang telah dibuat kerajaan boleh ditarik balik, Nik Ahmad Kamal berkata, sesuatu RUU yang tidak dibentang dan diluluskan di Parlimen tidak boleh dikuatkuasakan.

Ini kerana katanya, sesuatu akta atau RUU perlu dibawa ke Parlimen terlebih dahulu sebelum diwartakan.

RAKYAT TIDAK SETUJU PENGECUALIAN NIKOTIN

Sementara itu, rata-rata rakyat tidak bersetuju dengan langkah kerajaan mengenakan duti produk vape dan pengecualian nikotin daripada Akta Racun 1952.

Peniaga, Sharifah Amira Syed Aris, 27, berkata, pengecualian itu amat tidak wajar dan jangan kerana nak kutip cukai, kesihatan generasi muda tergadai.

Bagi penulis bebas, Khairul Aiman Mat Udin, 27, langkah kerajaan itu dikhuatiri memudahkan lagi penjualan cecair vape kepada golongan remaja atau kanak-kanak bawah umur.

Sementara itu, Adib Mudzahar, 26, berkata, tindakan kerajaan itu dilihat tergesa-gesa kerana pengecualian berkenaan diberi sebelum akta baharu diwartakan.

Klik di sini untuk terus membaca