HASIL kunjungan rasmi delegasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China baru-baru ini membuahkan hasil lumayan apabila berjaya meraih komitmen pelaburan terbesar dalam sejarah bernilai RM170 bilion.
Perolehan pelaburan tersebut adalah yang tertinggi direkodkan setakat ini dari China yang memegang status selaku rakan dagang utama Malaysia selama 14 tahun berturut-turut dengan jumlah perdagangan sebanyak AS$110.6 bilion (RM488 bilion) pada 2022.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, pelaburan bernilai RM170 bilion itu merupakan hasil daripada 19 memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara syarikat perniagaan kedua-dua negara.
Tidak dinafikan, pencapaian ini datang tepat pada masanya berikutan negara masih bertatih untuk merancakkan kembali prestasi ekonomi pasca pandemik Covid-19.
Namun, dengan nilai pelaburan sebesar itu, kerajaan perlu memastikan ia dimanfaatkan sebaik mungkin dan mendatangkan situasi menang-menang kepada kedua-dua negara.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Malaysia perlu memanfaatkan sepenuhnya komitmen pelaburan mega tersebut demi kepentingan ekonomi industri domestik.
"Setiap pelaburan China yang bakal masuk menerusi inisiatif ini seharusnya turut melibatkan pemain (syarikat) tempatan sekali gus akan ada kesan limpahan ekonomi domestik.
"Ini bermakna, selain China dapat melabur untuk kepentingan keuntungan mereka, pemain industri tempatan juga boleh mendapat manfaat,” ujarnya kepada Sinar Premium pada Ahad.
Katanya, tanpa mengira sektor atau industri mana yang akan terlibat dalam komitmen pelaburan ini, negara boleh belajar dari China sebagai sebuah negara yang berjaya maju dalam masa singkat demi membangunkan industri tempatan.
"Apa jua industri, ia pasti akan melibatkan rantaian perniagaan seperti buruh, vendor (pembekal) dan bahan mentah, dengan adanya sokongan pelaburan China dapatlah pemain tempatan mendapat manfaat terutamanya dari sudut perpindahan teknologi.
"Perpindahan teknologi dari China ini dapat membolehkan firma-firma di Malaysia meningkatkan tahap produktiviti dengan lebih berdaya saing,” kata beliau.
Jelasnya, sekiranya formula ini boleh dilaksanakan maka ekosistem pelaburan akan menjadi lebih harmoni berikutan ia menjanjikan situasi menang-menang untuk kedua-dua negara.
Sementara itu, penganalisis ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi mengharapkan agar sebahagian besar pelaburan bernilai RM170 bilion itu tidak ditumpukan kepada sektor pembinaan dan hartanah.
"Ini berikutan dua sektor terlibat telah mengalami oversupply (lebihan bekalan) dan negara mempunyai banyak syarikat yang boleh menjalankan sektor berkenaan.
"Sebaliknya, pelaburan patut bertumpu kepada sektor agro makanan dari China. Ini selari dengan keperluan mendesak negara untuk memastikan bekalan makanan terutama bagi kegunaan domestik lebih terjamin,” katanya ringkas.
Dalam pada itu, menyingkap di sebalik pelaburan besar bernilai RM170 bilion itu, timbul persoalan mungkinkah China sebenarnya berniat melobi sokongan Malaysia kerana perseteruannya dengan Amerika Syarikat (AS)?
Umum mengetahui, China dan AS bukan sahaja musuh ekonomi dan perdagangan, malah dua kuasa besar dunia itu juga bertelagah dalam pelbagai isu termasuk krisis Taiwan-China serta kontroversi Laut China Selatan.
Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Mohd Mizan Aslam tidak menolak kemungkinan China menggunakan alasan pelaburan besar bagi ‘memenangi hati’ Malaysia.
Ujarnya lagi, perlumbaan China-AS dalam memusatkan kuasa dan pengaruh serta kekuatan pertahanan di kawasan penuh sumber semula jadi di Laut China Selatan telah menjadikan Malaysia sebagai pilihan untuk meraih sokongan.
"Jika dilihat kepada sambutan luar biasa yang diberikan Presiden Xi JinPing terhadap delegasi negara dalam lawatan kali ini, termasuk komitmen pelaburan sebesar ini, ada kemungkinan niat melobi dihasratkan China secara tersirat.
"Namun soal sama ada pelaburan itu adalah ‘gula-gula’ untuk meraih sokongan adalah perkara kedua. Yang lebih penting adalah Malaysia melihat signifikan pelaburan tersebut daripada segi ekonomi untuk kepentingan dan kebajikan rakyat dan negara,” ujarnya.
Ulas beliau lagi, China turut mengagumi Anwar yang memperjuang kebenaran, keadilan dan kesamarataan serta membenci rasuah.
"Prinsip-prinsip ini termasuk memberikan hak kepada semua kaum termasuk masyarakat Cina di Malaysia dianggap naratif sempurna,” katanya.
Tambah beliau, hubungan diplomatik dan perdagangan yang erat sejak sekian lama antara Malaysia dan China tidak boleh dijadikan alasan untuk negara harus bermusuh dengan seterunya, AS.
Klik di sini untuk terus membaca