DUNIA hari ini, kita selalu keliru antara orang yang baik dan orang yang durjana. Tatkala kita melihat ada yang berkopiah dan berperawakan mulia, tiba-tiba di hujungnya kita mendengar pula bermacam-macam kes salah laku yang mengekori... Klik di sini untuk terus membaca

DUNIA hari ini, kita selalu keliru antara orang yang baik dan orang yang durjana. Tatkala kita melihat ada yang berkopiah dan berperawakan mulia, tiba-tiba di hujungnya kita mendengar pula bermacam-macam kes salah laku yang mengekori mereka.

Ia bukan sekadar cerita orang biasa, malah orang ternama dan personaliti dikenali ramai pun terjangkit sama dengan imej dua watak ini.

Di kalangan ahli politik, tentulah kita tak begitu terkejut. Memang kita tahu, segelintirnya begitulah wataknya. Ketika berkempen, banyak gula-gula indah yang mereka taburkan.

Menderma dan bersedekah di sana sini. Tetapi di belakangnya pula, kita dengar banyak cerita aneh. Termasuklah kes video terakam di bilik hotel. Atau kes khianat wang rakyat untuk kesenangan diri sendiri dan kaum keluarga. Malah, ada yang bercakap lain ketika kempen, setelah menang wataknya lain pula.

Kita anggaplah, kita semua manusia begitulah wataknya. Kita perlu melakonkan watak, sesuai dengan tempat dan waktunya. Kita semua bertopeng.

Laud Humphreys, antara ahli sosiologi yang pernah mengkaji kehidupan manusia yang banyak topeng ini. Dalam kajian Doktor Falsafah di Washington University pada tahun 1968, beliau cuba menerokai kehidupan para homoseksual. Walaupun bukanlah homoseksual ini isu utama tulisan ini, tetapi kisah ini mungkin berkait juga dengan banyak kisah lain dalam hidup kita.

Masa itu, kegiatan homoseksual ini masih lagi hal yang janggal dalam masyarakat Barat, dan sebab itulah dilakukan secara sembunyi di tandas awam. Ia juga dianggap hal salah dan tak bermoral.

Laud Humphreys menyamar banyak kali. Ketika di tandas, beliau memberitahu beliau seorang watch queen atau dalam bahasa mudah, seorang mata-mata yang akan memberitahu isyarat kepada pelaku homoseksual ini jika ada penguat kuasa datang.

Tapi, kerana ingin tahu siapa sebenarnya pelaku homoseksual ini, Laud Humphreys mencatatkan nombor plat kereta mereka ini. Dengan nombor plat ini, beliau mendapatkan pula alamat si pelaku seks songsang ini dari balai polis. Beliau beritahu beliau ejen pemasaran pula. Setelah mendapatkan alamat, beliau ke rumah pelaku homoseksual ini dan menukar imejnya pula. Beliau mengaku sebagai pekerja kesihatan pula.

Walaupun banyak kali Laud Humphreys menipu, dalam kajiannya yang menyeleweng daripada banyak hukum etika penyelidikan, tetapi motifnya satu. Beliau ingin mencari kebenaran. Beliau ingin tahu siapa sebenarnya lelaki-lelaki ini yang kerjanya memadu asmara dengan kaum sejenis di tandas awam ini.

Agak mengejutkan. Daripada ramai lelaki yang berjaya dijejakinya ini, hampir kebanyakannya bukan orang yang tiada adab dalam hidup mereka. Mereka ada anak isteri, dan malah rajin ke gereja juga. Banyaknya juga berpelajaran tinggi, aktif dalam komuniti dan agak dihormati.

Satu pengajaran mudah daripada kajian Humphreys ini ialah, manusia ini umumnya ada banyak watak, dan pandai berlakon. Mungkin sesuailah juga jika istilah 'personaliti' itu sendiri sebenarnya datang daripada patah kata 'persona' - atau topeng. Manusia ini sebenarnya terlalu banyak topeng, dan mungkin bermuka-muka juga.

Kita ini juga, sebagai manusia mungkin perlu belajar sesuatu daripada kisah ini. Jangan mudah terpedaya dengan sesiapa pun. Manusia bertopeng ini ada di mana-mana sahaja.

Tak lama lagi Pilihan Raya Negeri datang lagi. Kita akan sekali lagi menemui dengan banyak manusia mulia yang cuba memberi bakti ini. Tapi jika selepas itu mereka hilang, dan lebih sibuk membahagi jawatan dan kuasa, kita jangan pula berasa kecewa. Ia sebenarnya lumrah dalam hidup kita semua. Manusia perlu memakai topeng yang sesuai dengan masa dan tempatnya.

Laud Humphreys dari tahun 1972 hingga 1988 ialah seorang profesor di Pitzer College, California. Pada Ogos 1988, di usia 57 Laud Humphreys telah meninggal dunia akibat kanser. Walaupun beliau telah tiada, tetapi kisah manusia berpura-pura, curang dan bermuka-muka seperti yang ditemui dalam kajiannya akan terus muncul di mana-mana.

Kita ini, tak perlu banyak topeng. Cukuplah menjadi diri sendiri.

* Dr. Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.

Klik di sini untuk terus membaca