SHAH ALAM - Langkah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan ahli memohon pinjaman bank bermula Jumaat ini memberi sedikit kelegaan kepada pencarum menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri dua minggu lagi. Rata-rata mereka berharap... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Langkah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan ahli memohon pinjaman bank bermula Jumaat ini memberi sedikit kelegaan kepada pencarum menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri dua minggu lagi.

Rata-rata mereka berharap permohonan itu segera diluluskan, walaupun masih ada yang mengharapkan sekali lagi pengeluaran khas KWSP memandangkan persediaan menyambut hari raya memerlukan kos yang tinggi termasuk untuk membeli baju baharu dan barangan keperluan lain.

Bagaimanapun, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid mengingatkan pencarum akan risiko jika pinjaman Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) itu tidak dilunaskan dalam masa ditetapkan.

"Kemudahan ini lebih berbentuk memberi akses kepada pencarum untuk mendapatkan pembiayaan daripada institusi perbankan dan wang ini dijadikan cagaran melibatkan wang persaraan mereka.

"Langkah ini memberi kelegaan kepada mereka dari segi keperluan kewangan dan wang tunai yang diperlukan. Namun terdapat risiko yang mungkin dilalui seperti risiko mungkir.

"Jadi, mereka juga perlu tahu risiko yang perlu mereka lalui sekiranya pembiayaan tidak dilunaskan dalam masa ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas Ucapan Tahunan Gabenor Bank Negara Malaysia pada Forum Ekonomi Malaysia anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia di Kuala Lumpur pada Isnin.

Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa.

Sementara itu, pakar kewangan pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, KWSP seharusnya memperincikan pengiraan jumlah pinjaman bank yang layak dimohon berdasarkan baki dalam Akaun 2.

"Walaupun kadar faedah yang dikenakan adalah rendah berbanding bank lain, KWSP perlu juga memperincikan jumlah yang layak dimohon pencarum bagi memudahkan mereka membuat pengiraan.

"Sebagai contoh, sekiranya baki simpanan Akaun 2 pencarum ialah RM3,000, berapa jumlah maksimum pinjaman yang layak dimohon mereka berdasarkan baki tersebut. Adakah dua atau tiga kali ganda (daripada jumlah baki), atau sebaliknya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) itu turut berpandangan, KWSP perlu menjelaskan alternatif yang boleh diambil pencarum sekiranya tidak mampu membayar balik pinjaman tersebut.

"Perlu dijelaskan cara lain sekiranya pencarum tidak mampu membayar semula pinjaman yang dilakukan. Kita tidak boleh mengandaikan bahawa semua orang boleh bayar (dalam tempoh ditetapkan),” katanya.

Beliau turut menyarankan KWSP supaya menyatakan insentif seperti rebat sekiranya peminjam melangsaikan pinjaman kurang daripada tempoh ditetapkan.

Mohamad Fazli bagaimanapun mengingatkan pencarum membuat keputusan bijak terhadap peluang diberikan kerajaan ini dengan mengambil kira keperluan sebelum memohon pinjaman berkenaan.

Klik di sini untuk terus membaca