SHAH ALAM - UMNO dijangka mengambil sikap berdiam diri dalam menangani nasib terkini bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sekurang-kurangnya sehingga selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang bakal diadakan pada Julai atau Ogos hadapan.
Pengarah Pengajian Asia, Universiti Tasmania, Profesor Dr James Chin berkata, UMNO terpaksa mengambil pendekatan ‘mengunci mulut’ disebabkan nama bekas Ahli Parlimen Pekan itu kini benar-benar terpalit dengan label ‘korupsi’, sekali gus menghakis keyakinan segmen pengundi Melayu.
James bagaimanapun menolak teori bahawa Najib sudah ‘ditinggalkan’ UMNO, sebaliknya parti itu terpaksa berdiam diri bagi mengelakkan imej UMNO selaku parti nasionalis Melayu terus dicemari dengan label ‘kluster mahkamah’ dan ‘korupsi’ menjelang PRN enam negeri.
"Alasan semua pihak termasuk pucuk kepimpinan UMNO berdiam diri mengenai Najib kerana namanya dianggap sinonim dengan korupsi dan mungkin memberi kesan negatif kepada peluang parti itu untuk menang PRN enam negeri.
"Keadaan mungkin berbeza jika beliau menang dua proses rayuan mahkamah terdahulu. Justeru, langkah terbaik UMNO mengendurkan tekanan isu Najib adalah dengan berdiam diri sekurang-kurangnya sehingga selepas PRN itu.
"Selain Najib, UMNO juga akan berdiam diri terhadap kes mahkamah dihadapi Presidennya (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi),” tegasnya kepada Sinar Premium.
Beliau berkata demikian bagi mengulas implikasi nasib Najib susulan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak beliau untuk menyemak semula keputusan mahkamah sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.
Susulan keputusan terkini Najib itu, terdapat suara-suara pemimpin pro beliau yang menuntut pucuk kepimpinan UMNO tidak berdiam diri dan melakukan ‘sesuatu’ dalam memastikan ‘Bossku’ itu mendapat hak perbicaraan semula mahkamah secara adil.
PENERANGAN
Dalam pada itu, James berkata, UMNO pasca pemenjaraan Najib akan lebih menumpukan usaha menyampaikan penerangan terhadap pencapaian Kerajaan Perpaduan bagi mengembalikan keyakinan segmen pengundi Melayu yang jelas dilihat memihak kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tambahnya, UMNO yang kini bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) perlu menunjukkan kepada penyokong parti itu serta pengundi Melayu atas pagar bahawa Ahmad Zahid dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh bekerjasama memenuhi kehendak rakyat, terutama dalam aspek pemulihan ekonomi.
"Kekalahan teruk UMNO pada PRU15 membuktikan isu korupsi akhirnya menjadi perkara utama kebimbangan segmen pengundi Melayu dengan ramai kalangan mereka sudah mula mempercayai pendakwaan terhadap Najib bukan lagi bersifat pendakwaan terpilih,” jelasnya.
Sementara itu, Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa dan Penasihat Utama Singapura di Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia, Dr Oh Ei Sun bersetuju dengan pandangan tiada pihak dalam UMNO yang cuba mengenepikan Najib, susulan kegagalan rayuan semakan kehakiman kes mahkamah beliau.
Bagaimanapun, beliau melihat kempen membebaskan Najib yang digerakkan di peringkat akar umbi semakin lesu disebabkan inisiatif itu didanai sendiri oleh bekas Presiden UMNO itu dan tidak dilaksanakan seiringan dengan unit penerangan UMNO.
"Dengan Najib kini meringkuk di dalam penjara, sudah pasti kempen pembebasan beliau sukar digerakkan oleh pengikut-pengikut setianya,” ujarnya.
Dari sudut lain, Ei Sun masih berteka-teki sama ada penyokong Najib termasuk akar umbi UMNO boleh menyokong sebarang usaha parti itu untuk menjadi lebih bersederhana dan tidak terlalu nasionalis pasca PRU15.
"Memandangkan landskap politik negara sudah berubah dengan UMNO kini sudah menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai PH.
"Tidak dapat dipastikan sama ada penyokong Bossku mampu menyertai UMNO berwajah baharu yang lebih bersederhana pada saat pertembungan politik terbesar negara adalah di antara gelombang hijau (PN) dan koalisi bersederhana (moderate) seperti Kerajaan Madani,” tegas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca