PADA bulan Februari yang lalu satu laporan khas telah dikeluarkan oleh jawatankuasa khas yang dikenali sebagai SIGAR (Special Inspector General for Afghanistan Reconstruction). Jawatankuasa khas diketuai oleh seorang ahli Dewan Perwakilan... Klik di sini untuk terus membaca

PADA bulan Februari yang lalu satu laporan khas telah dikeluarkan oleh jawatankuasa khas yang dikenali sebagai SIGAR (Special Inspector General for Afghanistan Reconstruction).

Jawatankuasa khas diketuai oleh seorang ahli Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) bertujuan menilai keberkesanan dan akauntabiliti terhadap perkara-perkara utama berkaitan kegagalan Amerika Syarikat di Afghanistan.

Laporan awal sebenarnya telah pun tersedia pada bulan Mei 2022, namun beberapa pihak yang dikaitkan langsung dengan konflik tersebut, khususnya Jabatan Pertahanan serta Jabatan Negara AS telah menolak untuk bekerjasama.

Antara tindakan adalah keengganan kedua-dua jabatan untuk membaca dan menilai laporan, menghalang kakitangan jabatan untuk ditemu ramah serta tidak menjawab apa-apa soalan yang diajukan kepada mereka.

Penilaian badan bebas SIGAR ini penting bagi tujuan ketelusan dan akauntabiliti memandangkan AS sejak dari tahun 2002 telah membelanjakan kira-kira AS$90 bilion di sektor pertahanan dan keselamatan bagi membantu pasukan tentera Afghanistan menjadi sebuah angkatan profesional, berupaya menangani ancaman dari dalam dan luar negara.

Salah satu isu yang kini mula menghantui Jabatan Pertahanan serta Setiausaha Negara AS ialah apakah sebenarnya yang berlaku terhadap pelbagai kelengkapan dan persenjataan yang tidak dapat dibawa keluar sebelum pihak Taliban menguasai negara itu.

Pada 2021, Jeneral Kenneth McKenzie, Pengarah U.S. Central Command memaklumkan bahawa sebahagian besar kelengkapan ditinggalkan telah di’nyah tentera’ atau demilitarized, bermaksud ia dirosak atau dimusnah sehingga tidak lagi boleh dioperasi atau dianggap sebagai sejenis kelengkapan ketenteraan.

Antara kelengkapan yang ditinggalkan di Lapangan Terbang Kabul menurut beliau adalah kira-kira 70 kenderaan berat kalis periuk-api MRAP (Mine Resistant Ambush Protected Vehicle), 27 Humvee serta 73 buah pelbagai jenis pesawat udara.

Kemusnahan kenderaan dan kelengkapan ini dilakukan dengan sama ada meletupkan atau mencairkan komponen menggunakan bom grened termit. Grened termit membakar menghasilkan api bersuhu sehingga 4,000 darjah Fahrenheit yang mampu mencairkan apa jua logam.

McKenzie menambah bahawa kelengkapan ini tidak akan dapat digunakan oleh pihak Taliban dalam menyokong operasi-operasi ketenteraan mereka.

Kenyataan ini disokong oleh penganalisis ketenteraan terkemuka seperti dari Lexington Institute yang banyak memberikan input terhadap polisi politik-ketenteraan AS.

Dr Loren Thompson yang merupakan Pengarah Operasi institut tersebut menyatakan bahawa kemampuan Taliban untuk mengoperasi dan membaik pulih kenderaan, pesawat serta sistem persenjataan adalah amat minima.

Episod ini pada awalnya dijangka tidak akan dibangkitkan semula, namun pada penghujung bulan Mac lalu, pihak Taliban telah mengeluarkan foto mempamerkan sejumlah kira-kira 300 kenderaan berat MRAP peninggalan Amerika Syarikat yang bakal diperbaiki dan memasuki perkhidmatan tidak lama lagi. Ini hanya di satu lokasi sahaja!

Foto-foto tersebut mengejutkan banyak pihak kerana jelas bertentangan dengan kenyataan-kenyataan Jabatan Pertahanan AS sebelum ini. Beberapa perwakilan di Kongres telah bertindak mengambil tindakan mahkamah terhadap Anthony Blinken, Setiausaha Negara AS.

Beliau telah disepina untuk mendedahkan maklumat berkaitan komunikasi serta keputusan tindakan mereka ketika pengunduran dari Afghanistan dibuat pada 2021 agar hakikat berkaitan jenis dan nilai kelengkapan dan peralatan yang ditinggalkan dapat diketahui lebih terperinci.

Keadaan tidak tepat ini juga menimbulkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat umum AS yang merasakan kekesalan kerana ketiadaan ketelusan dan akauntabiliti di Jabatan Pertahanan negara kuasa besar dunia itu.

Kesan langsung yang lebih teruk terhadap kepercayaan masyarakat umum mungkin boleh dikaitkan dengan satu kajian yang dilakukan oleh pihak akhbar terkemuka Wall Street Journal di Amerika Syarikat.

Kajian yang dilakukan antara 1-13 Mac tahun ini, membandingkan berapa peratus kah rakyat AS yang meletakkan patriotisme sebagai nilai amat penting dalam kehidupan mereka dan membandingkan dengan keputusan soalan sama pernah diajukan pada tahun 1998.

Hasil kajian mendapati pada tahun 1998, 70 peratus daripada yang disoal menyatakan bahawa nilai patriotisme adalah penting dalam kehidupan mereka. Namun pada tahun 2023, hanya 38 peratus sahaja yang mempunyai pendapat sama!

SIGAR juga dalam penilaian AS di Afghanistan merumuskan antara lain, ketiadaan akauntabiliti, hubungan antara agensi yang lemah, ketiadaan kayu pengukur jelas dalam menilai prestasi, kepimpinan lemah serta rasuah adalah penyumbang utama kepada kegagalan yang kini memberi implikasi buruk kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca