SHAH ALAM - Sebarang cadangan pentadbiran baharu kerajaan negeri Melaka untuk mewujudkan semula jawatan Timbalan Exco perlu berlandaskan inisiatif kajian terperinci dan tidak bersifat terburu-buru. Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sebarang cadangan pentadbiran baharu kerajaan negeri Melaka untuk mewujudkan semula jawatan Timbalan Exco perlu berlandaskan inisiatif kajian terperinci dan tidak bersifat terburu-buru.

Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew berkata, sehingga kini, pihaknya tidak pernah terlibat dalam mana-mana perbincangan dengan Ketua Menteri baharu, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, sama ada dari sudut rundingan agihan kuota jawatan Exco untuk wakil rakyat parti itu atau pun diskusi cadangan mewujudkan jawatan Timbalan Exco.

Jelasnya, sekiranya cadangan itu memang benar dikemukakan, DAP berharap pentadbiran baharu perlu meneliti bentuk skop kerja terbaik bagi jawatan Timbalan Exco jika direalisasikan.

Tey Kok Kiew
Tey Kok Kiew

"Selain itu, saya juga meminta pentadbiran kerajaan baharu ini untuk meneliti sama ada proses pelantikan jawatan Timbalan Exco itu benar-benar memenuhi keperluan dan kemampuan kos pentadbiran kerajaan.

"Sebelum ini, jawatan Timbalan Exco memang wujud sehingga zaman pentadbiran Datuk Seri Idris Haron (bekas Ketua Menteri). Bagaimanapun, jawatan itu dimansuhkan sewaktu zaman pentadbiran kerajaan PH atas faktor penjimatan kos selain tidak mahu ada pertindihan peranan," ujarnya kepada Sinar Premium pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan jawatan Timbalan Exco mungkin bakal diwujudkan dalam struktur pentadbiran kerajaan negeri baharu di Melaka dengan membabitkan beberapa portfolio.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk memastikan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan dapat menganggotai barisan dalam struktur kerajaan negeri.

Ab Rauf yang baru dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 memaklumkan barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka yang baharu akan mengangkat sumpah jawatan pada Rabu ini.

Ditanya jumlah ADUN PH dan DAP yang bakal dilibatkan dalam barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka baharu, Kok Kiew menjelaskan setakat ini tiada sebarang perbincangan diadakan dengan pihak Ab Rauf.

Bagaimanapun, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banda Hilir menegaskan DAP dan PH Melaka akan menghormati setiap keputusan pelantikan barisan Exco dikemukakan pentadbiran kerajaan baharu, biarpun tanpa penglibatan parti itu.

"Bagi saya, usaha paling penting adalah usaha mengukuhkan kerjasama politik di antara BN dan PH bagi mendepani PRN atau Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)," jelas Kok Kiew.

Sementara itu, ADUN Asahan, Fairul Nizam Roslan menyokong penuh cadangan mewujudkan semula jawatan Timbalan Exco oleh pentadbiran kerajaan Melaka baharu.

Jelas Ketua Pemuda UMNO Melaka itu, langkah mengadakan semula jawatan berkenaan amat penting demi memastikan setiap maklumat berkaitan keputusan mesyuarat penting kerajaan negeri akan dapat disampaikan ke peringkat ADUN penyokong kerajaan (backbenchers) dengan lebih cepat.

Fairul Nizam
Fairul Nizam

"Bila diwujudkan semula jawatan itu, sudah pasti kerajaan negeri kena teliti semula soal kos pentadbiran kerajaan dan fungsi pelantikan itu kelak.

"Tetapi saya sangat bersetuju sekiranya Ketua Menteri baharu mewujudkan jawatan berkenaan kerana ia amat membantu mempercepatkan penyampaian maklumat berkenaan portfolio Exco masing-masing ke peringkat 'backbenchers'," jelasnya.

Mengenai spekulasi nama beliau disebut-sebut antara muka baharu yang bakal mewarnai barisan Exco baharu kerajaan negeri Melaka, Fairul menganggapnya sekadar 'khabar angin' yang sudah bertiup kencang sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 selesai.

"Spekulasi adalah spekulasi. Dari lepas PRN Melaka hingga sekarang, nama saya disebut-sebut akan dilantik sebagai Exco baharu.

"Setakat ini, saya tidak terlibat dalam perbincangan pelantikan barisan Exco baharu Kerajaan Melaka dan belum lagi dengar apa-apa berita mengenainya. Kita tunggu sahajalah upacara pelantikan Exco baharu pada Rabu ini," dedahnya.

Klik di sini untuk terus membaca