SELEPAS tarawih di surau, saya lebih suka moreh di restoran mamak sahaja. Hidangan saya sekadar segelas teh tarik.
Sambil menghirup teh bersendirian, saya melihat berita dan mesej di telefon sebelum pulang.
Tapi, pada satu malam minggu lalu, saya terdengar perbualan sepasang remaja di meja sebelah. Saya percaya mereka berdua adalah pasangan pelajar sebuah kolej berhampiran.
"You selalu ponteng kuliah. Tugasan pula tak hantar. Lepas tu asyik bertengkar dengan pensyarah bila kena tegur. You kata nak berubah tapi perangai you sama aje,” bebel si gadis.
"Pandailah aku. Aku tahu punca masalah aku. Nanti aku berhentilah,” jawab si lelaki.
Saya mengagak lelaki itu dinasihati agar berhenti daripada sesuatu yang buruk. Si gadis berkata, tabiat itu sudah menjadi ketagihan, membazirkan wang dan menjejaskan kesihatan temannya.
Namun, di sepanjang ‘sesi’ itu, si lelaki asyik memandang ke mana-mana, asalkan bukan wajah gadis di depannya. Tentunya dia bosan.
Tidak tahulah apa kesudahan sesi mereka kerana saya tidak boleh berlama-lama di restoran itu.
Namun, suasana tegang begitu biasa terjadi dalam adegan tegur menegur. Pasti akan berlaku pergeseran hujah dan boleh bertukar panas.
Kita semua pernah berdepan situasi menasihati ataupun dinasihati.
Kadangkala apabila kita minta dinasihati daripada seseorang, kita akan tersentap juga dengan kata-kata orang yang menasihati walaupun asalnya kita juga yang meminta nasihatnya.
Dalam situasi sebaliknya, kita juga pernah rasa malas untuk menegur apabila orang yang ditegur itu menarik muka masam mencuka.
Kita juga tahu nasihat itu baik.
Secara logiknya, kita mahu menerima nasihat tetapi apabila tiba masa berdepan dengan orang yang memberi nasihat, secara lumrah kita akan menjawab untuk mempertahankan diri.
Malah, kadangkala kita boleh bersikap degil walaupun kita tahu nasihat itu untuk kebaikan diri. Ia berpunca daripada mekanisme pertahanan semula jadi manusia.
Mereka yang ditanya ketika dinasihati akan berasa tercabar kerana kelakuannya dipersoalkan.
Caranya untuk melegakan rasa tertekan adalah dengan menafikan teguran kerana tidak mahu berasa diadili.
Tidak boleh tidak, dia akan menjawab untuk mempertahankan dirinya.
Manusia juga sukar berubah kerana akan berasa kehilangan.
Perokok atau penghisap vape misalnya, akan menafikan nasihat agar dia menghentikan tabiat itu kerana ia menakutkan apabila dia sudah menganggap tabiat tersebut berharga buat dirinya.
Lebih-lebih lagi apabila tabiat itu sudah menjadi ketagihan.
Jangan terkejut ada juga dalam kalangan mereka yang diberi nasihat menolaknya berlapikkan pelbagai alasan.
Mereka rasa perubahan itu tidak diperlukan kerana ia tidak membantu apa-apa untuk kebaikan diri mereka.
Faktor-faktor itulah yang boleh membuatkan seseorang berubah fikiran untuk menolak nasihat, meskipun pada mulanya dia mungkin memintanya daripada orang dipercayainya.
Jadi, apabila berada dalam ke-dudukan sebagai pemberi nasihat, kita perlu berhati-hati ketika melakukannya.
Hadis Rasulullah SAW menyebut: "Berkatalah yang benar, walaupun pahit.”
Walaupun kita berkata yang pahit seperti saranan baginda, kita perlu saluti gula pada kata-kata yang pahit itu dengan penuh hikmah.
Walau siapa pun dia, yang penting pendekatan penuh kefahaman dan empati.
Kita yang menasihati sebenarnya sudah menang kerana berada di premis kebenaran.
Tetapi kita boleh tewas dan nasihat kita boleh mentah-mentah ditolak apabila ia disampaikan dengan cara marah-marah, sinis serta penuh emosi.
Dalam hal ini, apabila kita dalam kedudukan sebagai pemberi nasihat, kita perlu ingat bahawa kita ingin membantu.
Kita tidak rugi jika yang dinasihati itu menolak tetapi kita juga akan turut beruntung jika nasihat itu diterima.
Tambahan pula, kita juga tidak mahu kehilangan seorang teman apabila dia menjauhkan diri semata-mata kerana tidak mahu lagi mendengar nasihat kita.
Ketahuilah, perhubungan yang sampai ke tahap boleh nasihat menasihati itu adalah perhubungan akrab. Perhubungan itu tetap kekal meskipun salah satunya sudah tiada berjasad. Dalam keadaan begitu, yang tinggal akan berasa kehilangan seorang sahabat.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca