SHAH ALAM - Peniaga-peniaga bazar Ramadan berdepan dilema operasi perniagaan yang kurang memberangsangkan dipercayai kerana kurangnya kuasa membeli pengguna.
Presiden Gabungan Persatuan Peniaga dan Penjaja Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, berdasarkan maklum balas daripada ahli, mereka tidak mencapai keuntungan yang diharapkan.
Menurutnya, selain menanggung modal yang tinggi disebabkan harga barangan yang meningkat, cara berbelanja pengguna juga dilihat berkurangan berbanding sebelum pandemik Covid-19.
"Yang dapat keuntungan meningkat mungkin segelintir (peniaga) sahaja. Sedangkan peniaga-peniaga mengadu orang tidak berbelanja sangat.
"Harga barang mahal. Jika jual murah, peniaga rugi. Jual mahal, orang tak datang...dan bukan semuanya jualan habis.
"Orang ramai juga datang beli ikut keperluan. Bukan lagi ikut kehendak. Masyarakat sekarang sudah tidak boros seperti dulu,"katanya kepada Sinar Harian Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung hasil kajian dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang mendapati 63 peratus peniaga menyatakan peningkatan ke atas hasil jualan manakala selebihnya 37 peratus memberikan maklum balas penurunan hasil jualan mereka.
Kaji selidik ke atas 1,148 responden itu juga mendapati, 69 peratus peniaga menyatakan peningkatan pelanggan atau pengunjung di premis mereka manakala 31 peratus peniaga memberi maklum balas penurunan.
Mengulas lanjut, Rosli berkata, hasil kajian tersebut tidak memberi gambaran sepenuhnya situasi sebenar yang dialami peniaga.
Ujarnya, sambutan bazar Ramadan yang menjual makanan di ibu negara juga tidak seperti dahulu kerana terdapat banyak makanan yang tidak habis dijual.
"Itu kita lihat dari segi makanan. Belum lagi pakaian dan keperluan lain. Isunya, orang ramai kekurangan duit tunai. Mereka sukar untuk berbelanja. Rayuan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga tidak mendapat perhatian.
"Jika ada (kebenaran KWSP) dan selesai sebelum puasa, mungkin limpahannya akan pergi juga kepada peniaga," katanya lagi.
Klik di sini untuk terus membaca