SHAH ALAM - Mana-mana pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bakal menggunakan dana persaraan itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan dinasihatkan mengehadkan jumlah pinjaman mengikut keperluan sahaja.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Mana-mana pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bakal menggunakan dana persaraan itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan dinasihatkan mengehadkan jumlah pinjaman mengikut keperluan sahaja.

Pakar ekonomi daripada University College i-CATS Kuching, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, kaedah tersebut juga perlu benar-benar menjadi jalan terakhir bagi mana-mana pencarum yang terdesak dalam memenuhi keperluan dan kelangsungan hidup.

"Kerajaan memang sudah beri kata putus tiada pengeluaran KWSP, jadi kemudahan pinjaman bank dengan menjadikan dana KWSP sebagai cagaran ni wajar dimanfaatkan.

"Itu pun bagi yang betul-betul dan sudah tidak ada jalan lain lagi. Daripada meminjam along, lebih baik manfaatkan kemudahan ini kerana pencarum masih dapat menikmati dividen.

"Walaupun layak menerima jumlah pinjaman yang besar, ambilah yang perlu sahaja. Biarkan lebihan dana untuk simpanan hari tua,” katanya kepada Sinar Harian.

Kerajaan mengumumkan pencarum KWSP berusia 40 hingga 50 tahun, perlu mempunyai tabungan berjumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 masing-masing layak membuat pinjaman bank mulai 7 April ini.

Tarikh untuk Fasa 2 membabitkan ahli KWSP di bawah umur 40 tahun, akan diumumkan dalam masa terdekat.

Di bawah kemudahan ini, semua ahli KWSP warga Malaysia di bawah umur 55 tahun, boleh membuat notis awal untuk Pengeluaran Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, dengan syarat mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP mereka.

Jumlah pembiayaan maksimum telah ditetapkan pada RM50,000, tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP, dengan tempoh pembayaran balik hingga 10 tahun.

Dua bank tempatan menyediakan kemudahan pinjaman berkenaan iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN) dan MBSB Bank dengan kadar faedah (Konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) antara 4-5 peratus, lebih rendah berbanding kadar pasaran semasa iaitu 8-15 peratus.

Mengulas lanjut, Shazali berkata, kerajaan perlu memastikan kadar keuntungan yang dikenakan oleh bank adalah rendah berbanding peratusan dividen yang diterima pencarum.

"Pastikan pencarum juga menikmati dividen caruman mereka setiap tahun, sehingga tempoh matang nanti,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca