APA yang boleh kita pelajari daripada peristiwa ratusan orang berebut-rebut untuk mendapatkan baju raya berharga RM1 yang ditawarkan oleh sebuah kedai pakaian di Shah Alam baru-baru ini?
"Itu tandanya kehidupan rakyat makin terhimpit,” kata seseorang yang baginya semua perkara mesti dipolitikkan.
"Orang kita memang tamak haloba. Yang berebut itu bukannya orang susah.
Ramai lebih daripada mampu tapi kerana halobanya, mereka sanggup bersusah payah,” kata seorang lain yang suka menyalahkan bangsanya sendiri.
"Ah, orang kita memang begitu. Suka berebut-rebut. Bila kisah rumah tangga seorang artis tular di media sosial, yang lain-lain pun berebut juga hendak tularkan kisah rumah tangganya,” kata yang lain.
Setiap pendapat itu ada kebenarannya tetapi pendapat paling betul ialah kita – maksud saya umat Islam – sekarang ini dalam mood hendak menyambut hari raya.
Jadi adalah perkara biasa jika mood itu merangsang kita melakukan perkara yang dalam keadaan biasa mungkin kita tidak suka seperti berebut-rebut, bersesak dan sebagainya.
Jangan lupa, menunjuk-nunjuk pun termasuk dalam senarai juga.
Bukanlah juga luar biasa jika orang ramai berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu yang ditawarkan pada harga lebih murah daripada biasa.
Di Amerika Syarikat dan banyak negara Barat, saban tahun diadakan jualan Black Friday, hari kebanyakan barang dijual dengan harga murah sehingga menjadikannya umpama hari pesta membeli-belah.
Ia lazimnya diadakan selepas Hari Thanksgiving dan diberi jolokan Black Friday oleh pihak polis di Philadelphia pada 1950-an berikutan kekalutan dicetuskan oleh pesta jualan itu sehingga menyulitkan tugas mereka.
Tidak juga pelik jika baju raya dijual dengan harga RM1 kerana difahamkan ia terhad untuk 100 pelanggan pertama sahaja. Kalau dijual kepada semua pelanggan, barulah pelik.
Dan lebih pelik jika semua baju raya di kedai-kedai lain juga dijual pada harga sama.
Maklumlah, jika diikutkan logik hendak buat sepasang baju kertas macam dipakai Pak Kadok semasa pergi menyabung ayamnya dengan ayam raja itu pun kosnya tentu lebih RM1.
Tetapi baju kertas Pak Kadok itu pun kalau dijual pada zaman ‘now’, harganya mungkin berpuluh ringgit. Alasannya, ‘sekarang ini harga ayam mahal, ikan mahal, sayur mahal, susu pekat mahal...’
Mahal memang telah menjadi kata kunci utama dalam kehidupan kita sejak beberapa tahun kebelakangan. Apa pula yang boleh kita pelajari daripada kenyataan itu? Mudah.
Kita hanya perlu membezakan antara keperluan dan kehendak. Contohnya, untuk hari raya, kita perlu baju baharu.
Untuk memenuhi keperluan itu kita boleh beli sepasang baju Melayu yang harganya RM70-RM80 tetapi kalau kita membeli 10 pasang yang harga RM200-RM300 sepasang, itu namanya kehendak.
Demikian juga menyediakan juadah hari raya. Memadai lima enam jenis kuih. Itu boleh ditakrifkan sebagai keperluan walaupun sebenarnya kita boleh sahaja beraya tanpa juadah.
Tetapi jika sajiannya memenuhi meja, hendak mencapai balangnya pun terpaksa beralih tiga tangan sebelum sampai kepada kita, itu bukan lagi keperluan tetapi kehendak.
Memang benar, kehendaklah yang menjadi salah satu kunci kemeriahan Aidilfitri.
Perlumbaan memenuhi kehendak akan menyebabkan semua orang menjadi sibuk sehingga lupa antara tujuan sebenar berpuasa sebulan adalah melatih diri menahan hawa nafsu.
Samalah juga sepanjang Ramadan. Ramai berlapar berdahaga sepanjang siang tetapi sepanjang malamnya berpesta makan.
‘Baguslah’ kalau ditakdirkan hayat kita cuma setakat Aidilfitri ini sahaja. Tertutuplah buku kehidupan di dunia fana tetapi bagaimana kalau kita masih hidup selepas itu.
Sudah tentu kita perlu mendengar kembali perkataan mahal berulang-ulang setiap hari. Kita juga tentulah terus perlukan wang untuk mengimbangi perkataan itu.
Jika semua wang itu kita habiskan atau hampir habiskan kerana menyambut hari raya, wang mana yang akan digunakan selepas hari raya berlalu pergi.
Apa-apa pun, tepuk dada tanyalah akal. Susah-susah sangat ikutlah pesan bijak pandai, kalau ayam mahal, jangan makan; kalau kain baju mahal, jangan pakai! #dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat
Klik di sini untuk terus membaca