SHAH ALAM - Melaka memerlukan seorang nakhoda yang berpersonaliti kuat dan agresif bagi mengelakkan krisis politik berpanjangan di negeri itu. Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Melaka memerlukan seorang nakhoda yang berpersonaliti kuat dan agresif bagi mengelakkan krisis politik berpanjangan di negeri itu.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpandangan, pemilihan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu adalah satu keperluan dan bukannya dibuat secara semberono.

Beliau juga kurang bersetuju dengan pandangan ‘langkah’ Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai Presiden UMNO, sebaliknya melihat ia sebagai proses pemulihan dan menguatkan parti.

"Kalau kata Zahid nak lantik ‘orang’ beliau, (Datuk Seri) Sulaiman (Md Ali) juga baik dengannya. Jika Zahid nak buat tindakan itu, sudah pasti orang pertama yang akan ditukar ialah Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) kerana dia pernah desak Zahid letak jawatan.

"Kedua, jika kata beliau tidak memberi ruang kepada orang yang menentangnya, kenapa perlu Zahid melantik (Tan Sri) Shahrizat (Abdul Jalil) sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebab dia dianggap orang yang mesra dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Beliau juga melantik Datuk Seri Jalaluddin Alias sebagai Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, sedangkan Ahli Parlimen Jelebu itu dianggap kurang mesra dengan kumpulan presiden.

"Ketua Menteri Melaka sebelum ini mempunyai imej yang baik sedangkan Melaka perlukan seseorang yang boleh kawal orang lain dan agresif, sebagaimana Ab Rauf. Dalam konteks baik ini, apabila berlakunya pergolakan, beliau (Sulaiman) tak dapat kawal suasana politik Melaka. Jadi, satu keperluan untuk tukar nakhoda baharu dan ia juga sesuai sebab baru sahaja selepas pemilihan UMNO,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mendakwa kemelut pertukaran Ketua Menteri Melaka sebagai ‘langkah’ Zahid untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai Presiden parti.

Khairy mendakwa, ini kerana Ahli Parlimen Bagan Datuk itu ingin memastikan semua menteri besar atau ketua menteri terdiri daripada ‘orangnya’ dan majoriti ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO adalah orang Zahid.

Dalam pada itu, Awang Azman berkata, beberapa keputusan politik Ahmad Zahid ini sebenarnya ke arah proses penyusunan, pemulihan dan menguatkan UMNO kembali.

"Sudah pasti ada saki baki dalam pembersihan ini. Namun, ia perlu mengambil masa dua ke tiga tahun selepas Pilihan Raya Negeri (PRN),” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca