SHAH ALAM - Tindakan kerajaan mahu mengekalkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah yang bakal dibentangkan di Parlimen menimbulkan 1,001 persoalan dalam kalangan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tindakan kerajaan mahu mengekalkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah yang bakal dibentangkan di Parlimen menimbulkan 1,001 persoalan dalam kalangan pengamal undang-undang serta pakar bahasa.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla mempersoalkan sama ada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kesungguhan politik untuk menterjemahkan pelbagai teks undang-undang sedia ada diguna pakai di Malaysia daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu.

Lebih menyedihkan, beliau melihat usaha ke arah itu masih samar termasuk inisiatif menterjemahkan Perlembagaan Persekutuan 1963, Kanun Prosedur Jenayah dan Kanun Keseksaan walaupun Malaysia sudah mencapai kemerdekaan lebih 67 tahun lalu.

"Mustahil untuk kita kata kerajaan tiada peruntukan atau kepakaran menterjemahkan semua teks undang-undang yang diguna pakai daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu.

"Ahli Parlimen sepatutnya tanya kepada kerajaan, mengapa masih ada undang-undang seperti Perlembagaan Malaysia 1963, Kanun Prosedur Jenayah dan Kanun Keseksaan belum diterjemahkan ke bahasa kebangsaan supaya rakyat marhaen lebih senang memahaminya,” katanya kepada Sinar Premium.

Sementara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, cadangan kerajaan membentangkan sebarang RUU di Dewan Rakyat dalam bahasa Inggeris adalah tidak selari dengan peruntukan di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.

Hal itu kerana beliau menegaskan, peruntukan dua fasal berkenaan mengehendaki semua urusan negara menggunakan bahasa kebangsaan.

Kok Seong yang juga pakar bahasa berpandangan, adalah amat baik jika pembentangan RUU berkenaan dibuat dalam bahasa Melayu sebagaimana dituntut Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, menurut Kok Seong, dari satu segi lain, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 mempunyai peruntukan yang membenarkan penggunaan kedua-dua, bahasa Melayu dan Inggeris bagi tujuan pembentangan RUU di Dewan Rakyat.

"Sehubungan itu, tidak dapat dinafikan bahawa keseluruhan 'kekecohan’ itu memang bersifat politik memandangkan teks Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah adalah dalam bahasa Inggeris.

"Oleh itu, penggunaan bahasa Inggeris pada RUU itu adalah untuk tujuan kesinambungan. Justeru, ia tidak perlu dikecohkan,” katanya.

Dalam pada itu, Kok Seog menyifatkan dakwaan sesetengah ahli Parlimen pembangkang bahawa tindakan menggunakan bahasa Inggeris adalah usaha meminggirkan bahasa Melayu, bukan sahaja bersifat melulu, bahkan memperlihatkan niat untuk ‘menyerang’ semata-mata.

Klik di sini untuk terus membaca