SHAH ALAM - Bekas Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis menegaskan beliau tidak akan sesekali menerima sebarang tawaran pelantikan jawatan Exco di bawah pentadbiran Ketua Menteri baharu, Datuk... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis menegaskan beliau tidak akan sesekali menerima sebarang tawaran pelantikan jawatan Exco di bawah pentadbiran Ketua Menteri baharu, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia itu berkata, beliau juga enggan mengambil bahagian dalam apa-apa jawatan kerajaan negeri di bawah pentadbiran baharu ini disebabkan Ab Rauf didakwa memungkiri ‘manifesto’ Pilihan Raya Negeri (PRN) Barisan Nasional (BN) pada tahun 2021.

Katanya, tindakan menukarkan Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang dipilih sebagai poster boy UMNO pada PRN Melaka adalah bertentangan dengan kehendak rakyat Melaka di mana beliau percaya parti itu mungkin tidak akan memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga sekiranya calon lain ditampilkan.

"Asasnya saya tidak mahu mengharapkan apa-apa dengan pentadbiran baharu Kerajaan Negeri Melaka. Kalau ditawarkan semula jawatan Exco sekalipun, saya tidak mahu kerana saya berkhidmat sebagai ADUN bukan tuntut diberikan jawatan.

"UMNO Melaka juga perlu sedar yang saya tidak ada berhutang apa-apa dengan parti itu, tetapi mereka yang terhutang budi kepada saya.

"Dengan saya memainkan peranan penting dalam pembentukan pentadbiran kerajaan negeri baharu pada tahun 2020 termasuk memilih menyertai semula UMNO bagi mempertahankan kerusi DUN Rembia pada PRN Melaka 2021, sikap UMNO Melaka terhadap saya ibarat melepaskan anjing yang tersepit,” katanya kepada Sinar Premium

Muhammad Jailani berkata demikian bagi mengulas desas-desus namanya dan seorang lagi Exco Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Sulaiman sebelum ini iaitu ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan, mungkin tidak akan dilantik semula menggalas jawatan berkenaan.

Sementara itu, Muhammad Jailani turut menggesa UMNO Pusat agar tidak bersikap dwistandard dengan sekadar mengarahkan pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka, tetapi tidak diselaraskan kesinambungannya di peringkat negeri Johor dan negeri-negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Menegaskan beliau tiada masalah dengan konsep berkenaan, Muhammad Jailani sebaliknya meminta UMNO Pusat tidak terlalu terikut-ikut dengan kehendak dan nafsu parti-parti PH untuk mendapat jawatan penting di negeri-negeri pimpinan BN.

"Hendak buat kerajaan perpaduan kena selaraskan di semua negeri pimpinan BN dan PH. Jangan dwistandard dengan arah Melaka kena buat, tetapi Johor dengan negeri lain (pimpinan PH) tidak payah buat.

"Di Melaka, kita menang atas dasar penguasaan UMNO-BN pada PRN, tetapi bila parti membuang Exco BN untuk digantikan Exco PH, itu bukan tindakan bijak,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar melihat pembentukan kerajaan perpaduan di Melaka meskipun UMNO-BN memperolehi kemenangan majoriti dua pertiga pada PRN negeri itu tahun 2011 adalah mesej jelas parti tersebut kepada PH bahawa satu formula agihan lantikan politik dan pembahagian kerusi pilihan raya perlu dicapai segera sebelum PRN enam negeri.

Strategi

Hisommudin percaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggunakan peluang penawaran jawatan Exco kepada PH di Melaka sebagai strategi menuntut PH mengagihkan lebih banyak kerusi pilihan raya dan jawatan kerajaan kepada BN di negeri-negeri dikuasai PH.

"Saya melihat apabila tiada formula pengagihan lantikan politik dan kerusi pilihan raya dipersetujui oleh BN dan PH menerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan, ia memberi masalah kepada kerajaan Madani dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid untuk mengatur usaha pengagihan lantikan politik, terutama di negeri-negeri dikuasai BN-PH.

"Satu lagi isu besar yang bakal menjadi persoalan sekiranya formula agihan lantikan jawatan politik dan pembahagian kerusi pilihan raya tidak diselesaikan adalah kesukaran BN mahupun PH untuk menentukan siapa sebenarnya koalisi yang bakal memikul beban poster boy di negeri-negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) pada PRN enam negeri.

"Justeru saya percaya langkah politik di Melaka juga merupakan strategi Ahmad Zahid untuk memberi mesej kepada PH bahawa tindakan berjiwa besar mereka itu perlu disusuli dengan sikap jiwa besar PH untuk memberi laluan UMNO-BN mengetuai kempen menawan kembali negeri-negeri majoriti pengundi Melayu dikuasai PN ketika ini,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca