SHAH ALAM - Pakar berpendapat memiliki emas sebagai satu bentuk pelaburan adalah menguntungkan kerana ia mudah dicairkan berbanding hartanah, selain harganya terus meningkat jika disimpan dalam tempoh masa yang panjang.
Pakar Perunding Emas Quantum Metal, Dr Ahmad Asmadi Yusof berkata, emas yang disimpan dalam kuantiti yang banyak dan dalam tempoh masa lama akan memperoleh pulangan nilai berkali ganda.
"Jika dibandingkan harga emas sekarang dengan 20 tahun lalu, berlaku peningkatan sebanyak 540 peratus, ini bermakna nilainya naik lima kali ganda dalam tempoh tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Pada masa sama, Ahmad Asmadi turut menjelaskan pelaburan emas tidak perlu melalui fasa pembelian dan penjualan yang panjang.
"Bagi mereka yang mahu membeli emas, kita hanya memerlukan interaksi antara pembeli dan penjual sahaja, tidak perlu melalui kerenah birokrasi seperti mahu memiliki hartanah.
"Bukan itu sahaja, emas sangat mudah untuk dicairkan berbanding hartanah. Kini, urusan jual beli emas boleh dilakukan menerusi dalam talian dan kurang dari seminggu, wang akan dikreditkan ke dalam akaun bank,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, emas adalah penyimpan nilai dan boleh dibawa ke mana-mana sahaja kerana semua negara akan menerimanya.
Sementara itu Pakar Kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad berpendapat bahawa pelaburan emas hanya akan memberi keuntungan sekiranya ia disimpan dalam satu tempoh masa yang panjang.
Tambah beliau, sekiranya seseorang membuat pembelian emas dan menjualnya dalam tempoh masa singkat, pulangan wang diterima tidak berbaloi.
"Saya juga ingin menggalakkan orang ramai yang mahu membuat pelaburan emas, dengan menyimpan wang terlebih dahulu.
"Elakkan membeli sedikit demi sedikit kerana apabila mahu menjual emas, ia akan mengalami sedikit susut nilai bagi setiap keping yang dibeli,” katanya.
Jelas Azizul Azli, pembelian emas yang terbaik adalah dengan membeli sebanyak 500 gram dan ke atas.
Dalam pada itu beliau berkata, emas dan hartanah tidak boleh dibandingkan kerana kedua-keduanya mempunyai matlamat yang berbeza kerana rumah untuk didiami manakala emas yang dibeli tidak boleh kesemuanya dipakai.
"Namun saya tidak nafikan bahawa emas bersifat mudah cair, rendah risiko dan mudah dijaga. Ia sememangnya memberi keuntungan jika dijadikan sebagai pelaburan,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca