SHAH ALAM - Tinjauan Sinar Harian di laman sosial mendapati topik memiliki emas sebagai satu aset pelaburan turut menjadi percakapan netizen.
Seorang pengguna Facebook, Nana Nafysa berkata, setiap keluarga mesti simpan emas sebagai ‘backup’ kepada simpanan tunai.
Katanya, sekiranya perlukan wang kecemasan, emas adalah aset yang paling mudah ditukarkan kepada bentuk tunai.
"Berbanding kecairan untuk aset rumah atau tanah yang memerlukan masa dan proses yang agak lama, kecairan emas ini paling mudah dan cepat serta di hujung jari sahaja,” katanya.
Aminah Othman pula berpendapat setiap orang wajar ‘menukar duit mereka kepada emas’ kerana harganya menunjukkan trend menaik setiap tahun.
"Dulu masa harga emas RM35 segram, ramai orang cakap ‘Mahalnya! Tunggulah turun lagi baru beli.
’"Kemudian, emas cecah RM200 segram, masa itu ada yang cakap, 1 gram RM200? Siapa nak beli? Tunggulah emas turun baru beli.
"Sekarang, emas nak menghampiri RM300 segram,” tulisnya.
Cik CtEmma turut menceritakan pengalaman dirinya menyimpan emas sebelum mencairkannya.
"Betullah, kalau simpan sikit-sikit beli emas 999 ini memang berbaloi. Walaupun tak ada cash (tunai) di tangan, tapi masih rasa berduit.
"Bila masa betul-betul memerlukan, boleh cairkan semula. Tak susah pun,”ujarnya.
Sementara itu, Aizat Arif Jamalullail menasihatkan orang ramai supaya jangan terlalu sayangkan emas yang dimiliki sehingga tidak sanggup untuk menjualnya semula.
"Memang dari awal kita simpan emas dan perak untuk capai beberapa matlamat dan tujuan kewangan, bukan? Jadi apabila peluangnya dan masanya tiba, laksanakanlah,” katanya.
Harga emas melambung lepasi AS$2,000 seauns
Sementara itu, harga emas pukal meneruskan kenaikan melepasi paras utama AS$2,000 (RM8,700) seauns pada Selasa.
Situasi itu meningkatkan jangkaan kenaikan kadar faedah yang lebih perlahan walaupun kebimbangan meningkat terhadap inflasi yang dipelopori minyak.
Harga spot emas (harga emas semasa yang boleh dibeli atau dijual) meningkat 1.9 peratus kepada AS$2,021.74 (RM8,908.62) seauns selepas mencecah paras tertingginya sejak 9 Mac iaitu AS$2,024.79 (RM8,922.05).
Niaga hadapan emas pula diniagakan pada AS$2,040.80 (RM8,992.60) seauns.
Emas menjadi daya penarik terutamanya dalam kalangan peniaga yang memegang mata wang lain, dengan dolar menambah kerugiannya selepas data menunjukkan pembukaan pekerjaan Amerika Syarikat (AS) pada Februari jatuh ke paras terendah hampir dua tahun manakala pesanan pembuatan juga merosot. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca